Kumpulan pendesak Melayu Perkasa mengakui agensi-agensi kerajaan
membantu menaja beberapa program yang dianjurkan mereka dan
mempertahankan tajaan tersebut sama seperti yang diberikan kepada
kumpulan kaum lain.
Persoalannya, mengapa Putrajaya menaja kumpulan yang memperjuangkan
perkauman tetapi pada masa sama mempromosikan perpaduan negara dengan
inisiatif 1Malaysia.
Adakah masuk akal Putrajaya cakap lain tetapi perbuatannya lain pula?
Bolehkah mana-mana kerajaan atau agensinya menaja kumpulan yang
memperjuangkan hak eksklusif kaum, meminta bahagian berdasarkan bangsa
dan mahu bangsanya kekal dominan dalam sebuah negara berbilang kaum?
Bagaimana matlamat Perkasa berjalan selari dengan slogan 1Malaysia yang
dilaungkan pentadbiran Najib ataupun cita-cita Tun Dr Mahathir Mohamad
yang mahu melihat bangsa Malaysia dalam Wawasan 2020 yang dicadangkannya
pada tahun 1991? Atau adakah ia sekadar cakap kosong sahaja?
Penduduk Malaysia terdiri daripada 29 juta di mana kaum Melayu atau
Bumiputera membentuk 60% daripada keseluruhan populasi, sementara
bakinya terdiri daripada kaum Cina dan India.
Bagaimanakah kerajaan yang dipilih oleh rakyat pelbagai bangsa ini boleh memenuhi kehendak hanya satu bangsa?
Bolehkah Malaysia mempunyai kerajaan yang melindungi dan mengambil berat
semua rakyatnya dan bukan hanya satu kaum sahaja, melangkau retorik
1Malaysia dan menjalankan tanggungjawab tanpa berasaskan kaum?
Lagipun, jika Barisan Nasional (BN) serius dalam perpaduan negara,
mereka seharusnya menjauhkan diri daripada kumpulan berasaskan kaum yang
menyebarkan hak eksklusif dan membantu berdasarkan warna kulit.
Mungkin Putrajaya harus mendengar gesaan ahli politik veteran Umno dan
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah semasa berucap di
mesyuarat agung tahunan Perkasa hujung minggu lalu.
Putera Kelantan tersebut atau dikenali sebagai Ku Li berkata, Perkasa
perlu mencerminkan diri mereka dan bertanya mengapa dipersenda serta
tidak diendah masyarakat Melayu walaupun perjuangan mereka adalah demi
masyarakat Melayu.
Beliau berkata Perkasa dilihat banyak pihak sebagai punca perpecahan antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Beliau berkata ini adalah pandangan yang merosakkan parti itu kerana perpaduan negara adalah sesuatu yang berharga di Malaysia.
Perpaduan negara adalah satu-satunya perkara yang diperjuangkan
Putrajaya tetapi kumpulan seperti Perkasa dilihat sebagai menjadi batu
penghalang, sambil menekankan keutamaan adalah untuk kaum Melayu.
Bagaimana orang ramai boleh menerima hakikat Putrajaya menaja Perkasa?
Bolehkah Putrajaya menyalahkan sesiapa sahaja yang tidak dapat menerima
hakikat ini? Perkasa sendiri telah mengakui menerima tajaan daripada
Putrajaya.
Putrajaya perlu menilai diri mereka sendiri dan semua polisinya sebelum bercakap mengenai perpaduan negara.
Menaja program untuk kumpulan yang memperjuangkan hak sesuatu kaum hanya
menunjukkan kerajaan tidak ikhlas dan bukan keterbukaannya. ~tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.