Pasangan
suami isteri berjiwa murni yang tidak akan berpaling dengan jalan yang
dipilih mereka. Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain
Di negara di
mana rakyat beragama Islam jijik dengan anjing atas sebab keagamaan,
satu pasangan beragama Islam melangkau ‘halangan’ itu demi menjaga
anjing liar dan terbiar di Kedah.
Daripada bangun
pagi sehinggalah ke waktu tidur, pasangan itu yang lebih dikenali
sebagai Pak Mie dan Mak Intan, meluangkan setiap saat mereka untuk
menjaga 800 'anak berbulu' di Rumah Perlindungan Haiwan Pak Mie di
Tanjung Bendara.
"Kita sudah beroperasi selama 20 tahun. Kerja ini memang susah dan ia bukanlah dari jam 9 pagi hingga 5 petang. Kita tidak pernah tutup atau pulang ke rumah dan goyang kaki sambil menonton televisyen. Kita korbankan tidur dan makan.Walaupun dengan bebanan kerja yang berat untuk menjaga 800 ekor anjing, pasangan itu hanya ada cucu serta seorang penolong untuk membantu mereka di rumah perlindungan itu.
"Tapi
kita teruskan juga atas dasar belas kasihan. Perasaan ini sangat
penting walaupun untuk anjing liar," kata Pak Mie atau Muhammad Azmi
Ismail kepada The Malaysian Insider.
Oleh kerana
bekerja dengan anjing liar, isterinya Mak Intan, 56 tahun atau Halijah
Idris telah banyak menerima tohmahan serta kritikan darpada orang ramai
yang tidak dapat menerima hubungan rapatnya dengan anjing-anjing itu.
Bekas
kontraktor itu berkata, adik-beradiknya sendiri tidak boleh tahan dengan
beliau kerana banyak membelanjakan duit untuk makanan anjing, sesuatu
yang tidak memberi pulangan atau faedah.
"Orang pernah berkata macam-macam. Mereka kata saya dan isteri akan merana seumur hidup kerana menjaga anjing-anjing ini.
"Jadi saya
berhenti menjadi kontraktor dan Mak Intan pula mengambil pencen 23 tahun
lalu kerana kami ingin melihat kebenaran kata-kata mereka itu. Kami
menahan diri meminta tolong daripada sanak saudara. Nasib baik semuanya
berjalan dengan lancar. "
Sewaktu
mula-mula menjaga anjing-anjing berkenaan, mereka tidak mempunyai wang
yang cukup untuk menjaga serta merawat anjing yang sakit. Justeru, ia
terpaksa diletakkan di tempat sewa lain dan kemudian membuat Rumah
Perlindungan.
"Untuk makanan,
Mak Intan dan saya boleh saja makan roti tetapi untuk anjing, kita
perlu beri makanan yang lebih baik. Oleh itu, saya pergi ke kedai nasi
ayam Cina dan bercakap dengan tuan kedai yang kemudiannya setuju untuk
saya mengambil baki nasi dan daging setiap hari. Ada juga yang
tinggalkan tin sardin yang sudah tamat tempoh untuk kita. Namun, bagi
peniaga Melayu, mereka hanya membenarkan kita mengambilnya setelah sisa
makanan dibuang dalam tong sampah.
"Sehingga hari
ini, saya masih mencari sebab kenapa orang Melayu melihat anjing dengan
penuh benci, seolah-olah ia lebih teruk daripada syaitan," katanya.
Pak Mie
berkata, ramai orang termasuk daripada badan Islam pernah berjumpa
beliau tentang aktiviti menjaga anjing ini, tetapi beliau tidak pernah
berputus asa.
"Saya
tanya mereka satu soalan, tunjukkan kepada kami hadith yang mengatakan
memegang, memberi makan serta memberi ubatan kepada anjing malah
berkongsi katil bersama anjing adalah berdosa. Kalau betullah ia
berdosa, tunjukkan saya hadith itu.
"Tuhan beri
kita minda untuk berfikir sapa yang betul dan salah. Dalam banyak
ciptaan Tuhan, Dia telah menyebut anjing beberapa kali. Bukan unta,
kambing atau binatang lain," katanya serta menambah Allah pernah
memaafkan seorang pelacur apabila beliau memberi minuman daripada perigi
kepada anjing yang kehausan.
Beliau turut mengatakan tentang satu hukum yang tidak melarang Muslim memakan daging binatang yang dibunuh oleh anjing buruan.
"Kalau anjing
kelihatan kelaparan apabila dia melihat kamu makan, adakah kamu akan
campak batu kepadanya atau memberikan dia sedikit makanan? Ingat, kita
diberi minda untuk berfikir."
Selain daripada
cacian, pasangan itu juga berdepan dengan fitnah dan tuduhan sesetengah
orang yang merasakan cara mereka menjaga rumah perlindungan itu dan
menuduh beliau telah menggunakan wang derma untuk kepentingan diri
sendiri.
Dia yang
menuduh beliau mendapat AS$85,000 (RM280,000) sebulan daripada penderma
asing. Namun beliau 'berterima kasih' atas sangkaan orang ramai tentang
kehidupannya yang berada.
"Saya seorang
jutawan sekarang. Buat apa saya buat semua ini kalau saya kaya sangat?
Saya boleh sahaja bayar orang lain untuk menjaga anjing-anjing kami.
"Mak Intan dan
saya boleh pergi bercuti. Ini adalah salah satu sebab kenapa kita tidak
mahu sebarang publisiti untuk rumah perlindungan ini. Orang akan mula
mengata.
"Bila kita mula
beroperasi dulu, kita cuba buat secara senyap-senyap kerana sepasang
suami isteri beragama Islam menjaga anjing pasti akan menjadi isu. Saya
tidak pernah memberi temubual kepada media sehinggalah tahun lepas
apabila Dewan Bandaraya hendak merampas anjing-anjing itu," katanya
lalu menambah bahawa dia mengharap pengkritik akan membuat laporan polis
terhadap beliau supaya dia boleh membuka siasatan.
Beliau berkata,
RM40,000 hingga RM50,000 terpaksa dibelanjakan untuk menguruskan rumah
perlindungan ini yang tiada bekalan elektrik dan air yang sempurna buat
masa sekarang yang hanya bergantung kepada derma berupa wang tunai,
makanan dan ubatan sahaja.
Terdapat akaun
Facebook yang dinamakan Rumah Perlindungan Haiwan Pak Mie Neraka dan ada
juga blog-blog yang mengutuk aktiviti Pak Mie.
Pak Mie
berkata, ada yang melihat rumah perlindungan beliau lantas mengkritik
tanpa cuba memahami kepayahan serta pengorbanan yang diperlukan untuk
menjaga tempat ini.
"Ada yang telah
membuat aduan kepada doktor haiwan tempatan. Pegawai-pegawai dari sana
datang untuk memeriksa rumah ini, mendengar luahan hati saya lalu pergi
dengan tenang.
"Namun pengkritik saya tetap tidak berpuas hati dan membawa aduan ke Putrajaya tetapi kita tetap teguh di sini.
"Lebih mudah
untuk berkata-kata daripada benar-benar melakukannya. Mereka harus cuba
menyelamatkan anjing-anjing ini sendiri, tubuhkan rumah perlindungan
yang lebih bagus.
"Tunjukkan kepada saya dan saya akan mencontohi. Banyak faedahnya jika lebih ramai yang mula menyelamatkan haiwan terbiar."
Baru baru ini,
Pak Mie, Mak Intan serta anjing-anjing itu telah diusir oleh Dewan
Bandaraya Alor Star dari tanah kerajaaan itu untuk memberi ruang kepada
Indah Water Kosortium bersebelahan sungai di Tanjung Bendahara, di mana
mereka telah tinggal selama bertahun lamanya untuk rumah perlindungan
ini.
Pada masa yang
sama Pak Mie dilarang memindahkan haiwan-haiwan ke satu kampung di Kuala
Nerang 37 km dari situ, di mana beliau baru membeli tanah untuk membuka
rumah perlindungan baru.
Dia telah melaburkan wang sebanyak RM300,000 yang sebahagiannya adalah wang derma untuk projek itu.
"Tanah di Kuala
Nerang adalah tempat yang bagus oleh kerana ia jauh dari tempat
perumahan tetapi ramai pula penduduk kampung yang membantah.
"Saya pernah
membenarkan pelajar-pelajar kedoktoran haiwan untuk menjalani operasi
pemandulan bagi 10 anjing-anjing saya. Tetapi apabila penduduk kampung
ternampak, mereka pun membuat aduan.
"Kita ada
merancang untuk pindah pada bulan September tetapi sekarang kita harus
menjual tanah itu. Saya tidak boleh meneruskan projek ini untuk
mengelakkan masalah yang lebih besar dan tekanan daripada penduduk
tempatan. Ia tidak selamat untuk anjing-anjing saya lagi," katanya
sedih.
Dengan bantuan Ahli Parlimen Alor Star, Gooi Hsiao Leung, pasangan itu menerima penangguhan hingga akhir bulan ini.
Bagaimanapun,
pihak berkuasa telah membenarkan Pak Mie untuk mengekalkan rumah
perlindungan beliau di Tanjung Bendahara dengan syarat dia membina
tempat yang lebih sesuai untuk haiwan-haiwan itu.
"Saya telah
diarahkan untuk membina tempat yang lebih baik dengan lantai simen serta
tangki septik supaya najis haiwan-haiwan ini tidak akan mengalir ke
sungai.
"Saya tidak
tahu bila kita akan siapkan tempat baru itu. Kita hanya boleh membinanya
sedikit demi sedikit bila ada wang nanti," katanya sambil menunjukkan
persekitaran rumah perlindungan itu kepada The Malaysian Insider.
Pak Mie yang
menggelar dirinya 'ayah' kepada anjing-anjing itu berkata beliau dan
isteri hanya mahu menjaga anjing-anjing yang telah mereka selamatkan
daripada jalanan dan sanggup berdepan dengan meriam sekalipun jika ada
orang yang ingin merampas anjing-anjingnya.
"Mereka sangat
berharga buat saya dan kami telah berkorban macam-macam. Malah Mak Intan
mengambil masa untuk belajar daripada doktor haiwan untuk merawat luka
kecil dan penyakit ringan mereka. Dia tidak akan pulang ke rumah jika
dia harus menjaga haiwan-haiwan yang sakit."
Pak Mie
berharap pihak berkuasa boleh mencari jalan lebih baik untuk mengawal
haiwan-haiwan liar itu daripada menangkap dan membunuh mereka.
"Meletakkan anjing untuk tidur adalah lebih berperi kemanusiaan daripada membunuh anjing liar yang boleh dimandulkan.
"Jika pihak
kerajaan tidak mahu membelanjakan sesen pun untuk membina rumah
perlindungan, maka mereka haruslah berfikir untuk mencari jalan untuk
tidak membunuh anjing-anjing yang tidak bersalah itu."
Pak Mie berkata
beliau dan Mak Intan akan menyimpan dan menyelamatkan anjing-anjing itu
dan terus melindungi mereka sehingga ke akhir nyawa, walaupun usia
mereka sudah lanjut.
"Kami sedang
mengajar cucu kami, Afif Affandi untuk mengambil alih. Saya sudah
memberitahunya bahawa jika beliau gagal menjaga ia dengan betul, kami
akan sangat hampa."
Pak Mie tidak
membenarkan orang awam memelihara anjing di rumah perlindungan beliau
kerana ingin mereka menyelamatkan sendiri anjing-anjing liar di luar.
"Banyak lagi
anjing-anjing di luar sana yang harus diselamatkan dan diberikan
perlindungan. Itu cara yang paling baik untuk membantu." – 28 Disember,
2013.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.