[SH] SHAH ALAM - Susulan kecoh isu wujudnya himpunan guling kerajaan,
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob menyatakan himpunan tersebut
tidak wujud sebaliknya hanya gerakan NGO untuk mendesak pemerintah
mendengar rintihan rakyat.
Menurut beliau yang dipetik dalam akaun Facebooknya, Ahmad berkata,
beliau akan sentiasa bersama Pas serta rakyat menjayakan program Gerakan
Turun Kos Sara Hidup (Turun), yang akan diadakan hujung bulan ini.
"Turun ialah gerakan rakyat. Ia hasil daripada denyut nadi rakyat yang
mengeluh sekian lama akibat kenaikan pelbagai harga barangan dan
perkhidmatan kerana salah urus BN.
"Saya sepenuhnya bersama kepimpinan Pas tentunya sentiasa bersama-sama
gerakan rakyat untuk terus mendesak kerajaan Malaysia mendengar suara
rintihan hari rakyat.
"Jika ada yang berkata bahawa ia bertujuan untuk menggulingkan kerajaan,
saya kira ia hanyalah omongan palsu semata-mata kerana takut akan
bayang-bayang sendiri," tulisnya, semalam.
Sebelum ini, mengikut laporan media beberapa pihak telah membuat laporan
polis meminta pihak berkuasa menyiasat penyebaran hasutan mengajak
orang ramai menyertai satu perhimpunan haram di Dataran Merdeka pada
malam 31 Disember ini.
Antaranya ialah NGO Persatuan Muka Buku Pulau Pinang yang turut
menganggap perkara itu satu isu serius dan perlu ditangani dengan tegas.
Hasutan itu dikesan menerusi laman sosial Facebook yang menggunakan nama
'Rejimen Anarki', mengajak orang ramai menyertai 'Himpunan Guling
Kerajaan', kata Presidennya Salleh Ismail kepada pemberita selepas
membuat laporan di Balai Polis Lebuh Pantai di Georgetown.
Katanya hasutan yang berbau ugutan "SAPA HALANG, KAMI LANGGAR...INI
PROTES RAKYAT SAPA HALANG KAMI LAWAN" itu dimuat naik oleh pengendali
akaun Facebook tersebut pada 18 Disember lalu.
Sehubungan itu, Ahmad yang juga Pesuruhjaya Pas Kelantan itu turut
menyatakan desakan berterusan yang dilakukan rakyat itu akan mencapai
matlamat.
"Insha-ALLAH dengan desakan berterusan daripada rakyat, saya optimis
gerakan ini akan berjaya mencapai matlamatnya," katanya lagi. -26/12/13
Duniacacamarba
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.