Followers

Friday, December 27, 2013

Genap 10 Tahun Pembunuhan Noritta… Siapa Pembunuhnya Yang Sebenar?



Kes Noritta menjadi berita hangat pada tahun 2003 apabila mayatnya ditemui dalam keadaan berbogel dan kematiannya disahkan berpunca akibat lemas setelah mulutnya disumbat dengan dua helai tuala muka.

 
Selain itu, kedua-dua tangannya terikat ke belakang dengan coli hitam begitu juga kedua-dua belah kakinya turut diikat dengan wayar elektrik hitam, segumpal tisu basah mengandungi air mani turut dijumpai dalam bakul sampah di biliknya.

Setelah melalui pelbagai proses perbicaraan yang mengambil masa lima tahun lamanya, tertuduh kes itu, Hanif Basree Abdul Rahman dibebaskan daripada pertuduhan membunuh pegawai eksekutif pembangunan perniagaan itu selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan tidak bersalah yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Panel lima hakim terdiri Datuk Arifin Zakaria, Datuk Nik Hashim Ab.Rahman, Datuk Hashim Yusoff, Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin dan Tan Sri Zaki Tun Azmi sebulat suara menolak rayuan pihak pendakwaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Hanif.

Hanif dituduh membunuh Noritta, 22, di No D71, Kondominium Puncak Prima Galleria di Sri Hartamas, Kuala Lumpur, antara 1.30 pagi dan 4 pagi pada 5 Dis, 2003.

Mahkamah Tinggi membebaskan Hanif tanpa dipanggil membela diri dan Mahkamah Rayuan menolak rayuan pihak pendakwaan untuk mengenepikan keputusan pembebasan itu pada 2005.
Tun-Zaki-Azmi
Zaki, semasa membacakan penghakiman itu berkata kehadiran seorang lelaki dengan bau badan yang busuk dalam apartmen Noritta dan juga DNA seorang lelaki yang tidak dikenali yang dibuktikan secara saintifik yang ditemui pada tubuh Noritta merupakan bukti paling menjejaskan pendakwaan kerana bukti itu tidak disangkal.

Beliau berkata DNA Hanif ditemui dalam keadaan yang boleh menimbulkan syak yang dia bersalah tetapi tidak cukup untuk membuktikan kesalahannya.

Zaki berkata: “Jika ada penjelasan yang munasabah kenapa DNA beliau ditemui dalam keadaan sedemikian, faedahnya perlu diberikan kepada beliau dan beliau perlu dibebaskan dan dilepaskan.

“Penemuan profil DNA Hanif pada tubuh si mati tidak mencukupi untuk merumuskan yang beliau menyebabkan kematiannya. Mungkin terdapat terlalu banyak penjelasan kenapa DNA beliau ditemui pada tubuhnya.

“Perlu ingat akan hubungan intim tertuduh dengan si mati, penjelasan tidak bersalah boleh diberikan kepada penemuan itu. Tertuduh tidak didakwa mempunyai hubungan intim dengan si mati,” kata Zaki yang mengambil masa 45 minit untuk membacakan penghakiman itu.

Beliau berkata tiada sekelumitpun bukti untuk menyokong cadangan pihak pendakwaan bahawa Hanif adalah lelaki yang mempunyai bau badan busuk yang badannya mungkin telah mengeluarkan bau itu selepas mengadakan hubungan seks dengan Noritta dan berusaha keras mengikat tangan dan kaki wanita itu.

Pihak pendakwaan juga tidak cuba mencabar keterangan rakan sebilik Noritta, Azura Abdul Hamid yang berkata Hanif tidak mempunyai bau badan busuk, katanya.


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Julai, 2004, memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan Hanif adalah orang terakhir yang mengadakan hubungan seks dengan Noritta kerana dua lelaki misteri turut terlibat.


Mahkamah Rayuan dalam keputusannya pada 29 Jan, 2005, memutuskan bukti yang dikemukakan pihak pendakwaan tidak mencukupi untuk menunjukkan bahawa kematian Noritta disebabkan oleh Hanif.


Perbicaraan itu yang berlangsung selama 29 hari dan mendapat publisiti meluas, diberitahu bahawa Noritta ditemui dalam keadaan tertiarap, mulutnya disumbat dengan dua helai tuala muka manakala tangan dan kakinya diikat, di atas katil dalam bilik tidurnya.

Dalam penghakiman setebal 21 muka surat yang turut dipersetujui empat lagi hakim, Zaki berkata mahkamah mendapati hakim yang mendengar perbicaraan itu membuat keputusan betul dalam meneliti keterangan apabila mengguna pakai prinsip keterangan mengikut keadaan dalam menilai kes itu, kerana terdapat kemungkinan yang munasabah bagi kewujudan orang lain yang melakukan kesalahan itu.

“Bagi alasan yang dibincangkan di atas, pihak pendakwaan tidak melaksanakan tugas dengan baik untuk membuktikan kes ini. Hakim yang bijaksana adalah betul dalam memutuskan untuk tidak memanggil pembelaan diri pada akhir kes pendakwaan dan melepaskan dan membebaskan tertuduh pada peringkat itu,” katanya.

Zaki berkata selepas membaca nota keterangan secara terperinci, mahkamah berpandangan bahawa hakim yang mendengar perbicaraan itu telah membuat keputusan betul apabila menolak keterangan dua pengawal keselamatan di kondominium itu bahawa mereka ternampak Hanif dan Noritta pada awal pagi hari kejadian.
p1000375
“Tidak ada apa-apa untuk menyokong cadangan bahawa hakim yang mendengar perbicaraan telah terkhilaf semasa menolak keterangan saksi berkenaan,” katanya.

Zaki juga berkata penemuan DNA telah benar-benar membawa pembaharuan dalam penyiasatan jenayah yang digunakan untuk membantu mendapatkan sabitan bagi yang bersalah dan pembebasan bagi yang tidak bersalah.

Dalam kes ini, DNA “lelaki tidak dikenali” amat berguna untuk menentukan bahawa DNA itu milik lelaki berkenaan.

“Malangnya identiti dan juga DNA orang itu tidak diketahui. Mungkin di masa depan akan terdapat daftar profil DNA sepertimana cap jari yang kita ada sekarang yang akan dapat membantu polis mengesan pemiliknya.

“Pakar DNA hanya boleh menyatakan sama ada DNA itu milik atau bukan milik orang yang dikenal pasti. DNA yang ditemui tanpa suspek tidak dapat digunakan,” katanya.

Hanya apabila orang berkenaan dikenal pasti dan DNA sepadan dengan orang yang dikenal pasti itu, ia dapat digunakan untuk menyelesaikan sesuatu jenayah, katanya.

“Malahan, namun begitu pihak pendakwaan perlu membuktikan bahawa DNA suspek(bersamasama dengan sebarang keterangan lain) hanya memberikan satu rumusan sahaja, iaitu kesalahan itu dilakukan oleh suspek.

Dalam kes ini, Zaki berkata kes pendakwaan terjejas oleh kewujudan DNA milik lelaki tidak dikenali kerana beberapa inferens boleh dibuat daripada penemuan bukti seumpama itu pada tubuh Noritta.
kes bunuh peragawati sambilan Noritta Shamsuddin
SEMENTARA itu, Hanif Basree sewaktu diminta mengulas mengenai pembebasannya tidak lama dulu pernah berkata;

“Walaupun saya bebas, namun saya sendiri ingin tahu siapakah pembunuh sebenar Noritta.”

Terdapat satu fakta menarik dalam kes ini apabila terdapat cakap-cakap kononnya terdapat penglibatan orang kenamaan dalam kes pembunuhan Noritta.

datopHamid
Mungkin penjelasan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Abdull Hamid Embong pada 1 Julai 2004 boleh memberi jawapan pada persoalan itu.

” Saya menolak cadangan yang tidak berasas pihak pembela yang kemungkinan pihak pendakwaan tidak melengkapi siasatan dalam kes ini kerana ingin melindungi seseorang orang kenamaan yang terlibat dalam jenayah ini.

” Hujah-hujah yang tidak berlandaskan fakta kes seharusnya ditolak oleh mahkamah ini,” tegasnya.

Dan tahun ini genaplah 10 tahun kes pembunuhan Noritta berlalu.

Kita masih tertanya-tanya…siapakah pembunuhnya yang sebenar.

Yang pasti, di dunia dia mungkin terlepas, tetapi tidak di akhirat sana.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Noritta Samsuddin.

* Kisah pengalaman wartawan yang pernah melihat jenazah Noritta boleh diikuti DI SINI
latnorittafile
Petikan dari: mynewshub.my

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.