Followers

Monday, November 11, 2013

Umno dikecam guna GLC bantu Utusan Malaysia - Oleh Md Izwan


 
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mengecam tindakan Umno menggesa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) supaya mengiklankan produk mereka dengan akhbar Utusan Malaysia kerana GLC bukan milik mutlak kerajaan.

Pemimpin PKR itu berkata, GLC adalah milik rakyat Malaysia dan bukan hanya berperanan menjaga kumpulan tertentu, malah Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan menyalahgunakan tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

"Beliau (Ahmad) perlu ingat sebagai timbalan menteri yang diberikan tanggungjawab dan kepercayaan oleh rakyat untuk berkhidmat kepada mereka, beliau perlu meletak kepentingan rakyat terlebih dahulu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Sim berkata, GLC diberikan mandat untuk menjaga kepentingan negara bukan hanya kepentingan Umno atau menjaga Utusan Malaysia sahaja.

"GLC diberikan mandat untuk menjaga kepentingan negara bukan hanya Umno sahaja.
"Pemimpin politik sentiasa datang dan pergi, tapi GLC akan kekal untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya.

Beliau berkata, Utusan Malaysia menjadi akhbar yang hilang kredibiliti dan integriti sejak ia diambil alih oleh Umno.

"Akhbar itu hilang integriti dan kredibiliti sejak ia diambil alih Umno pada 1969, walaupun terdapat kerisauan dan bantahan daripada pekerja sendiri ketika itu," katanya.

Beliau turut menyarankan Utusan Malaysia supaya mengikut contoh akhbar berbahasa Melayu seperti Sinar Harian yang beritanya tidak berat sebelah dan mempunyai jumlah pembaca yang tinggi.

"Satu lagi akhbar harian berbahasa Melayu, Sinar Harian pula kekal dengan laporan tidak berat sebelahnya dan mendapat jumlah pembaca tinggi serta peningkatan dalam jumlah iklan.

"Kebebasan dalam laporannya mendapat kepercayaan pembaca merentas bangsa," katanya.

Akhbar Utusan Malaysia milik Umno itu sering berdepan kes saman daripada pemimpin Pakatan Rakyat. Antaranya adalah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin daripada PAS.

Uusan Malaysia ialah akhbar berbahasa Melayu terbitan Utusan Melayu (M) Berhad.

Menurut laporan Audit Bureau of Circulations pada 2004 jualan harian akhbar Utusan Malaysia adalah sebanyak 256,247 naskhah tetapi pada 2009 jualan harian akhbar itu menjunam ke 169,548 naskhah sehari. - 11 November 2013.

The Malaysian Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.