Followers

Saturday, November 16, 2013

Raja Nazrin: Kekukuhan badan kehakiman, kemantapan sistem keadilan prasyarat untuk kemajuan negara


Badan kehakiman yang kukuh serta sistem keadilan yang mantap merupakan prasyarat bagi pertumbuhan dan kemajuan negara, kata Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah (gambar).

Baginda bertitah, dalam masyarakat demokratik seperti Malaysia, sistem undang-undang menjadi tonggak utama yang menjamin bahawa setiap pihak mendapat layanan secara adil dan saksama.

"Oleh itu, mahkamah dan peguam mempunyai peranan penting dalam memulihara hak, kesaksamaan dan kebebasan yang dijamin perlembagaan," titah baginda ketika menyampaikan ucaptama pada Syarahan Undang-undang Badan Peguam Perak 2013 di Ipoh hari ini.

Titah baginda sejajar dengan itu, peguam dan hakim perlu memiliki daya intelek serta kepintaran emosi dan sosial yang tinggi untuk mendapatkan kepercayaan dan keyakinan pemegang kepentingan terhadap sistem keadilan.

Titah baginda ini kerana setiap warganegara mengharapkan wujudnya sistem undang-undang yang tidak boleh dinodai.

"Seperti yang anda maklum, sistem undang-undang mempunyai beberapa pemegang kepentingan. Setiap pemegang kepentingan perlu bekerja dengan berlandaskan satu wawasan bersama untuk mewujudkan satu sistem undang-undang yang rapi serta telus dan adil.

"Matlamat pembangunan negara tidak boleh mengetepikan keperluan wujudnya satu sistem undang-undang yang mantap, adil dan dinamik, yang amat penting untuk melahirkan sebuah negara makmur dan maju," titah baginda.

Raja Nazrin bertitah oleh kerana peguam diamanahkan tugas menegakkan undang-undang dan keadilan, maka profesion guaman sepatutnya bukan sekadar menarik mereka yang memiliki ketinggian daya intelek, tetapi juga yang dianugerahi integriti dan kejujuran.

"Apabila berbangkit isu etika, selalunya ia bersifat menyulitkan, khusus dan tidak mudah memperoleh jawapan. Memanglah, ada kalanya, tiada jawapan yang benar-benar 'tepat' atau 'silap', namun terdapat satu pendekatan tepat, yang akan sekurang-kurangnya melahirkan suatu respons, hasil daripada kejujuran dan hati nurani yang dimiliki seseorang," titah baginda.

Oleh itu, titah baginda, untuk mewujudkan kesedaran secara beretika dalam sesuatu keadaaan, seseorang itu terlebih dahulu perlu memahami tanggungjawab umum dari segi etika dan peguam juga perlu sentiasa sedar bahawa mereka mempunyai tanggungjawab dari segi profesion dan moral.

Raja Nazrin bertitah, peguam tanpa mengira dari sektor awam atau swasta, terikat dengan tuntutan dan semangat peraturan profesion undang-undang yang ditetapkan oleh pelbagai badan pengawas profesional.

"Ini seterusnya diperkuatkan oleh 'common law' dan prinsip sama rata yang perlu dipatuhi seseorang peguam terhadap klien, masyarakat, mahkamah dan keadilan itu sendiri.

"Sebagai pegawai mahkamah, sama ada anda berkhidmat dalam kerajaan atau sektor swasta, anda mempunyai tanggungjawab dari segi etika terhadap mahkamah, tanggungjawab untuk menegakkan keadilan dan ini sebenarnya merupakan tanggungjawab paling penting. 

Ia tidak bercanggah dengan tugas lain kerana sebagai peguam, tanggungjawab utama anda ialah untuk berkhidmat demi kepentingan keadilan," titah baginda.

Baginda bertitah dalam menunaikan tugasnya di mahkamah, kadangkala seseorang peguam perlu bertindak dalam pelbagai cara, yang mungkin boleh merugikan kliennya.

"Peguam, sama ada dari sektor awam atau swasta, tidak sepatutnya memperdaya mahkamah atau menyebabkan mana-mana pihak atau saksi dipandang serong atau menyembunyikan sebarang dokumen yang boleh menjejaskan kes kliennya," titah baginda.

Baginda bertitah perkara yang perlu sentiasa diberi keutamaan ialah setiap kes dibentangkan kepada mahkamah secara adil kerana masyarakat mengharapkan agar setiap kes dibentangkan tanpa sebarang rasa takut serta dengan cekap dan secara bersungguh-sungguh. – Bernama, 16 November, 2013.

The Malaysia Insider.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.