PETALING JAYA: Mana-mana
artis yang berhasrat untuk muncul sebagai pelakon aksi seni
mempertahankan diri perlu belajar terlebih dahulu kemahiran itu agar
lakonan mereka kelihatan lebih realistik.
Aktor Eman
Manan, 55, berkata, kebanyakan pelakon hari ini gagal mempamerkan aksi
seperti yang dikehendaki sehingga ia kelihatan janggal apabila ditonton
gara-gara tiada asas ilmu berkenaan.
"Orang yang
tahu tentang seni mempertahankan diri akan dapat mengesan sejauh mana
individu itu memahami seni mempertahankan diri.
"Hasilnya,
lakonan daripada pelakon yang tiada ilmu itu akan memalukan. Jadi bagi
pelakon-pelakon yang ingin berlakon aksi, lebih baik pergi belajar asas
di mana-mana kelas mempertahankan diri terlebih dahulu tidak kiralah
sama ada silat, tekwando atau karate sekalipun," katanya kepada mStar Online.
Tambah Eman,
sesebuah filem atau drama perlu menitik beratkan aspek tersebut kerana
ia merupakan salah satu kayu ukur terhadap kualiti sesebuah filem.
"Tidak guna
kalau sesebuah filem aksi mendapat kutipan tinggi tapi kita tidak tahu
apa yang cuba mereka sampaikan apabila tampil dengan seni mempertahankan
diri yang tunggang-langgang.
"Mereka
seharusnya buat kajian tentang itu, barulah filem-filem kita ada
identiti tersendiri dan boleh dijual di luar negara," katanya.
Selain itu, Eman turut menegur adegan mengaji Al-Quran yang dilakonkan kebanyakannya tidak mengikut tajwid yang betul.
"Saya cukup marah dengan adegan yang memerlukan pelakon untuk membaca Al-Quran tetapi tidak membacanya dengan tajwid yang betul.
"Mereka tahu
berapa ramai yang menontonnya, jika tidak tahu membaca Al-Quran kenapa
tidak belajar menyebutnya dengan tajwid yang betul," katanya.
Bagaimanapun,
Eman berkata, masih terdapat pelakon baharu yang boleh dibanggakan dan
mampu membawa watak dalam lakonan mereka dengan berkesan.
"Kalau dulu
saya sangat suka lakonan Zulhuzaimy tapi kini sudah jarang melihat dia
berlakon, sekarang ini Shaheizy Sam, Namron, Que Haidar dan Remy Ishak,"
katanya.
Tambah Eman
biarpun tidak begitu aktif dalam bidang lakonan, dia masih mengikuti
perkembangan industri filem dan drama tanah air.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.