Muktamar Dewan Ulama PAS hari ini menerima
usul yang mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pusat
PAS bagi mewujudkan jawatankuasa khusus bagi mengkaji dan menyemak
kerjasama politik dalam Pakatan Rakyat.
Usul itu antara satu daripada lapan resolusi persidangan Multaqa
(pertemuan) Ulama Semalaysia di Kedah pada 14 September lalu yang
dihadiri jawatankuasa kerja dewan ulama peringkat pusat, negeri dan
kawasan.
Usul bersama Dewan Ulama PAS Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang itu
dibentang perwakilan Wilayah Persekutuan Abdul Hadi Abdul Halim dan
diterima sebulat suara oleh 521 perwakilan daripada 137 kawasan seluruh
negara.
"Saya berharap tahaluf siyasi (kerjasama politik) bukan menjadi satu
pakatan atau singkatan yang datang dan pergi begitu sahaja. Tetapi
diangkat dan dilaksanakan atau diteruskan untuk diperkukuhkan.
"(Kami) mencadangkan kepada kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa
Pusat PAS mewujudkan jawatankuasa khusus bagi mengkaji, menyemak serta
menilai kekuatan dan kelemahan, kejayaan dan kegagalan pendekatan
tahaluf siyasi dalam Pakatan sepanjang ia berlangsung dari sudut
kerosakan dan kebaikan syar'iyah dengan niat dan tujuan penambahbaikan
dan pengukuhan Pakatan untuk lonjakan PRU-14," kata Abdul Hadi
Muktamar sayap PAS itu juga sebulat suara mencadangkan Jawatankuasa
Pusat PAS menegaskan pendirian bahawa cukai barangan dan jualan (GST)
adalah bercanggah dengan prinsip percukaian Islam dan perlu ditolak.
Pemikiran merosakkan Islam liberal
Kertas usul yang diedarkan kepada media juga menyebut, konsep percukaian
Islam mensyaratkan antaranya kekurangan kewangan negara berlaku bukan
kerana ketirisan dan pembaziran dalam pengurusan kewangan negara.
Konsep itu turut mensyaratkan bahawa cukai tidak dikenakan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaya atau miskin.
"Muktamar Dewan Ulama juga mengusulkan PAS pusat menegaskan pendirian
ini dan mendesak kerajaan Malaysia menarik balik keputusan untuk
melaksanakannya pada pertengahan 2015," usul itu dipetik.
Bagi membanteras penularan pemikiran Islam liberal dalam PAS, Dewan
Ulama Perak mengusulkan supaya PAS berdepan dengan tegas terhadap NGO
yang didakwa membawa dakyah Islam liberal dan pluralisme termasuk
Islamic Renaissance Front (IRF).
"Kita wajib memboikot aktiviti-aktiviti IRF dan segala pemikiran hadamah (merosakkan) yang ditaja IRF.
"Pemimpin-pemimpin PAS yang terpalit dengan segala aktiviti-aktiviti
Islam liberal dan pluralisme hendaknya menafikan penglibatannya secara
telus dan terbuka.
"Malah kita menghendaki pemimpin-pemimpin terbabit menarik balik
sokongan kepada Islam liberalisme pluralisme terutama yang didokong IRF
dengan segera sebelum Umno dan BN menjadikannya sebagai alasan dan
senjata untuk menghentam PAS dan kepimpinannya," usul itu dipetik.- sumber
BATU VS KAYU
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.