Followers

Wednesday, November 6, 2013

BERITA Yang Menakutkan Najib.....

Mongolia dan bapa Altantuya tunggu penjelasan rayuan kes mereka

 
Setev Shaariibuu (gambar), bapa kepada Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang dibunuh, dan kerajaan Mongolia ingin tahu apa yang berlaku terhadap rayuan yang mereka bawa ke Putrajaya berikutan  pembebasan dua bekas polis yang membunuhnya pada 2006.

Ini rentetan tiada apa-apa perkembangan dan khabar berita daripada Pejabat Peguam Negara selepas lebih dua bulan pembebasan  Ketua Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar.

Peguam, Karpal Singh yang menjadi peguam pemerhati bagi  Shaariibuu berkata,  anak guamnya sentiasa berhubung dengannya untuk mengetahui perkembangan rayuan itu.

"Dua minggu lalu, duta Mongolia di Bangkok, yang juga bertanggungjawab terhadap Malaysia, menulis kepada saya untuk bertanya tentang kes ini," katanya kepada The Malaysian Insider.

Beliau berkata, kerajaan Mongolia berhasrat untuk menghantar delegasi untuk mengikuti prosiding di Mahkamah Persekutuan yang menjadi medan akhir bagi kes rayuan berkenaan.

"Kes ini bukan sahaja menarik perhatian penduduk tempatan, tetapi juga diikuti oleh orang luar di negara lain termasuk di Mongolia, " katanya.

Karpal berkata, rayuan bagi kes pembunuhan berprofil tinggi ini boleh berjalan dengan lebih cepat sekiranya Mahkamah Persekutuan mengambil inisiatif untuk menetapkan tarikh pendengaran.

"Mahkamah Persekutuan boleh membuat pengecualian kepada kes ini yang melibatkan kepentingan orang ramai, bukan sahaja dalam negara  malah di peringkat antarabangsa, " katanya.

Karpal membandingkan dengan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh rayuan dengan segera.

Pada 18 September, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Anwar untuk membatalkan pelantikan peguam Umno Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebagai Timbalan Pendakwa Raya atas alasan pelantikan itu adalah sah dan mengikut peruntukan undang-undang.

Dalam kes jenayah, ia adalah satu amalan bagi mahkamah menetapkan tarikh rayuan apabila perayu memfailkan petisyen rayuan (alasan untuk merayu keputusan).

Bagaimanapun, sebelum Anwar boleh memfailkan petisyen rayuan, Mahkamah Persekutuan menetapkan tarikh rayuan itu.

Rayuan Anwar untuk membatalkan Shafee akan didengar pada 11 November.

Awal tahun lalu, Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria, berkata bagi memastikan kes jenayah di Mahkamah Persekutuan diselesaikan dengan segera, semua rayuan akan didengar tiga bulan daripada tarikh rekod rayuan yang lengkap diterima.



"Jadi, terdapat pengecualian kepada peraturan umum seperti dalam perkara Anwar," kata Karpal yang juga peguam dalam kes itu.

Beliau berkata, Putrajaya dikatakan sengaja melengah-lengahkan rayuan terhadap pembebasan Azilah  dan Sirul.

Pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan itu pada 23 Ogos, hari yang sama rayuan polis itu dibenarkan.

Penghakiman bertulis disediakan pada 26 Ogos.

Satu panel yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamad Apandi Ali berkata, dalam penghakiman mereka,  antara lain kegagalan pihak pendakwaan untuk memanggil DSP Musa Safri, bekas pembantu peribadi Datuk Seri Najib Razak, melemahkan kes pendakwaan.

Namun Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata bahawa kes pendakwaan tidak  akan terjejas, walaupun tanpa memanggil Musa untuk memberi keterangan.

Karpal berkata, Pejabat Peguam Negara seharusnya memfailkan petisyen rayuan dan menyatakan sebab mengapa Mahkamah Rayuan bersalah apabila ia membebaskan dua anggota polis berdasarkan penilaian bertulis semata-mata.

"Mereka boleh mempercepatkan proses rayuan kepada Mahkamah Persekutuan walaupun tanpa mempunyai rekod keseluruhan rayuan," katanya.

Beliau berkata, Gani yang juga adalah pegawai mahkamah, mempunyai peranan dalam memastikan perbicaraan dan rayuan dijalankan tanpa bertangguh.



Pemeriksaan dengan peguam yang hadir bagi kedua-dua bekas anggota polis itu mendedahkan bahawa Pejabat Peguam Negara masih belum memfailkan rekod rayuan kerana tiada salinan diberikan kepada peguam itu.

Kedua-dua polis itu didapati bersalah membunuh Altantuya pada 2006.

Penganalisis politik, Abdul Razak Baginda, yang didakwa sebagai kekasih kepada  Altantuya, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi dari dakwaan bersubahat tanpa  dipanggil untuk membela diri.

Bapa Altantuya, Setev juga mahu kes ini diselesaikan dengan segera kerana ingin mengambil tindakan saman sebanyak RM100 juta terhadap Abdul Razak, Azilah, Sirul dan kerajaan atas kematian anak perempuannya itu.

Bagaimanapun, samannya itu tidak boleh didengar selagi kes jenayah berkenaan tidak selesai.  

- 6 November, 2013.

The Malaysia Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.