PAS yakin Tun Dr Mahathir Mohamad akan membuat perkara yang lebih besar
lagi selepas menyerang secara terbuka kerajaan pimpinan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Razak hari ini.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar), berkata Dr Mahathir umpama
singa yang cedera selepas kekalahan anaknya, Datuk Mukhriz Mahathir
dalam pemilihan Umno lalu.
“Saya jangka serangan Dr Mahathir terhadap Najib akan
lebih teruk lagi berbanding serangannya ke atas Pak Lah (Tun Abdullah
Ahmad Badawi) sebelum ini," katanya ketika dihubungi The Malaysian
Insider.
Dr Mahathir hari ini menyifatkan pentadbiran Najib lemah disebabkan
melayan kehendak ekstremis pembangkang serta semakin kurang mendapat
sokongan.
Bekas Perdana Menteri itu belum pernah mengkritik pentadbiran Najib
sejak Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya pada April 2009
malah pernah memuji pemerintahan Najib lebih baik berbanding Abdullah.
“Keadaan politik sekarang tidak stabil kerana wujud persepsi kerajaan lemah dan orang yang tidak betul memimpin negara.
“Kita mempunyai kerajaan yang lemah kerana kurang sokongan rakyat selain memenuhi keperluan ekstremis dalam puak pembangkang.
“Apa yang paling teruk adalah mereka membuat tuntutan melampau untuk
meninggalkan kerajaan apabila permintaan tidak dipenuhi. Jika anda fikir
mereka akan mengucapkan terima kasih dan memberi sokongan. Ia satu
kesilapan,” kata Dr Mahathir ketika berucap di Putrajaya dalam ucapannya
bertajuk "Trend Politik Semasa serta Kesan kepada Hala tuju Ekonomi dan
Sosial Malaysia."
Dalam pemilihan Umno baru-baru ini, Mukhriz gagal untuk merebut salah
satu kerusi Naib Presiden Umno apabila mendapat tempat keempat selepas
Datuk Seri Hishamuddin Hussein.
Ia menjadi luka yang besar kepada Dr Mahathir dan bakal menjadi dendam
kepada Najib kerana perdana menteri itu disifatkan sebagai pihak yang
berusaha memastikan penyandang jawatan naib presiden Umno itu kekal.
Kekalahan Mukhriz kali ini mengulangi kekalahannya ketika merebut
jawatan Ketua Pemuda Umno di tangan Khairy Jamaludin Abu Bakar.
"Saya rasa Najib akan lebih teruk dilanyak Mahathir berbanding ketika
beliau melanyak Pak Lah kerana dia dikatakan menyalahkan Najib atas
kesalahan anaknya itu," kata Salahudin yang bakal mempertahankan jawatan
naib presiden PAS dalam pemilihan kali ini.
Ketika Abdullah menjadi perdana menteri sebelum ini, Dr Mahathir
menyerangnya sehingga menyebabkan penggantinya itu meletakkan jawatan
selepas gagal mempertahankan majoriti dua pertiga dalam pilihan raya
umum ke -12 (PRU12) lalu.
Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada April 2009 selepas Abdullah mengosongkan jawatan itu.
Tetapi pencapaian Najib lebih teruk daripada Abdullah dalam pilihan raya
umum ke 13 (PRU13) lalu apabila kerusi yang dimenangi pembangkang lebih
banyak walaupun berjaya merampas kembali Kedah.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.