Followers

Tuesday, September 17, 2013

Umno “sakit tua dan bakal mati”, kata Dr Mahathir - OLEH MOHD FARHAN DARWIS

Menjelang pemilihan Umno hujung tahun ini, Tun Dr Mahathir Mohamad menasihati parti Melayu itu agar melantik pemimpin muda kerana ia sedang menghidap "sakit tua" dan bakal "mati".

"Ini naluri manusia. Lambat-laun manusia akan menemui ajalnya," kata Dr Mahathir.

Beliau yang pernah berkhidmat selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri menegaskan hanya dengan pemimpin muda, Umno akan dapat meneruskan legasi mereka memerintah negara ini.

"Pembaharuan umat manusia ialah melalui zuriat. Anak kita, cucu kita, cicit kita akan kekalkan kita secara tidak langsung di dunia, akan sedikit sebanyak meneruskan sumbangan kita yang terdahulu," katanya dipetik dari akhbar Utusan Malaysia hari ini.

Meskipun jelas Dr Mahathir, beliau cuba untuk menyedarkan Umno berhubung perkara itu, ada pihak yang memandang serong terhadapnya, malah menuduh beliau mempunyai agenda tersendiri.

"Malangnya ada pihak yang berpendapat tulisan saya mempunyai agenda tertentu, kononnya kerana saya ingin kekalkan kepimpinan saya melalui anak saya.

"Jika saya ingin tolong anak saya, sepatutnya saya berusaha semasa saya jadi Perdana Menteri," kata bekas Presiden Umno itu lagi.

Tegasnya, hanya jika Umno diperbaharui oleh generasi muda barulah parti Melayu itu dapat meneruskan perjuangan-perjuangan yang diamanahkan kepada Umno.

"Ahli Umno mestilah ditambah melalui kemasukan generasi muda yang bersemangat kebangsaan... demikian juga dengan kepimpinan Umno di semua peringkat, terutama di peringkat pusat, di dalam Majlis Tertinggi.

"Ahli-ahli badan ini mestilah terdiri sebahagiannya daripada yang muda," katanya.

Umno dahulu kata Dr Mahathir sentiasa bersemangat dan bercita-cita besar demi bangsa termasuk menewaskan Malayan Union kerana pemimpin mereka kebanyakannya adalah golongan muda.

"Saya masih ingat mereka yang menjadi pengasas Umno, mereka muda-muda belaka. 

Purata usia mereka belum pun setengah abad. Ramai yang hanya dalam lingkungan tiga puluhan. 

Mereka memiliki kecergasan minda orang muda, bersemangat, memiliki cita-cita besar untuk bangsa mereka.

"Dan Umno pun bertenaga, aktif kerana mudanya pemimpin dan ini memberi harapan kepada bangsa Melayu," katanya.

Pemimpin Umno sekarang bagaimanapun tegas Dr Mahathir masih enggan berundur meskipun sudah berusia, malah sanggup merasuah demi terus kekal sebagai pemimpin.

"Masa mereka sudah terlanjut... sumbangan mereka semakin merosot. Ya, menjadi pemimpin memang sedap. Segala kemudahan dapat dinikmati.

"Lagi pun sedap sungguh kerusi yang diduduki. Memuaskan sungguh kuasa yang dimiliki. Kenapakah pemimpin perlu undur, tarik diri," katanya.

Tetapi Dr Mahathir mengingatkan agar pemimpin-pemimpin ini harus sedar akan pentingnya mereka tidak melampaui masa mereka.

"Lambat-laun orang akan berasa bosan, bahkan naik meluat akan pemimpin yang sudah lapuk dan ketinggalan zaman tetapi masih tidak terima kebenaran," tegasnya.

Malangnya kata Dr Mahathir, ramai yang begitu mudah tergoda dengan sogokan wang.

"Tak banyak... RM200 pun boleh mengalih pemikiran sesetengah ahli Umno. Mereka bukan menjual undi. Sebenarnya mereka menjual bangsa, menjual maruah diri mereka," tegasnya.

Beliau juga menyeru agar amalan berkenaan dihentikan kerana apabila pemimpin yang dipilih adalah perasuah, mereka tidak akan teragak-agak menjual bangsa.

"Ingatlah negara kita dahulu lebih besar tetapi kerana duit ia sudah jadi kecil. Ia akan jadi lebih kecil lagi jika perasuah memimpin negara ini.

Orang Melayu yang menjadi tunjang perjuangan Umno tegas Dr Mahathir juga turut tidak mempercayai Umno, dan menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO).

"Jika mereka mempunyai banyak pilihan, Umno sudah kalah Pilihan Raya Umum ke-13," kata Dr Mahathir.

Justeru, Dr Mahathir menyeru agar pemimpin-pemimpin berkenaan mengetepikan kepentingan diri, dan memberikan peluang kepada generasi muda.

"Berilah tempat kepada yang muda. Terimalah mereka ke dalam parti. Pilihlah mereka dan tolaklah yang sudah tua.

"Hanya dengan cara ini sahaja barulah perjuangan Umno untuk bangsa, agama dan tanah air dapat diteruskan," katanya. -16 September, 2013.

The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.