Followers

Monday, September 16, 2013

Selepas 50 tahun, berjayakah Malaysia sebagai negara? OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA.

PhotoHari ini, genaplah 50 tahun usia Malaysia. Sudah separuh abad negara berdiri selepas Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak bersetuju untuk menubuhkan Malaysia pada 16 September, 1963.

Pada tanggal keramat ini 50 tahun lalu, Perdana Menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman berucap di Stadium Merdeka sempena penubuhan Malaysia.

"Dengan Nama Allah, Yang Amat Pemurah lagi Maha Mengasihani, saya Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Shah, Perdana Menteri Malaysia, dengan persetujuan dan perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang-Dipertuan Agong, Yang Terutama Yang Dipertuan Negara Singapura, Yang Terutama Yang Dipertuan Negara Sabah, Yang Terutama Gabenor Sarawak, dengan ini mengisytiharkan dan memasyhurkan bagi pihak umat Malaysia... akan kekal menjadi sebuah demokrasi yang merdeka lagi berdaulat serta berasaskan kebebasan dan keadilan."

Dua tahun selepas ucapan bersejarah itu, Singapura meninggalkan Malaysia, pada Ogos 1965.

Selepas 50 tahun, apakah Malaysia bergerak selari dengan janji Tunku semasa penubuhannya?

Prof Datuk Dr Mohd Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) merasakan walaupun tidak dapat dinafikan pembangunan fizikal di Malaysia berlaku, negara masih lagi lemah dari segi kepimpinan dan pengurusan.

“Dari segi pencapaian demokrasi dan kebebasan rakyat kita masih merangkak perlahan. Merugikan minda kerana kita tidak dapat manfaatkan modal-modal insan yang banyak,” katanya kepada The Malaysian Insider.

Menurut Agus, rakyat Malaysia masih belum dapat merasakan kehidupan sebenar dalam sebuah negara demokrasi kerana tidak mempunyai kebebasan sebenar untuk mempunyai perbezaan pendapat, kebebasan akademik dan berpersatuan.

Selepas 50 tahun, apakah Malaysia sebuah negara adil kepada semua negeri terutamanya kepada Sabah dan Sarawak yang merupakan watak-watak utama penubuhan negara?

“Umumnya tidak dapat dinafikan pembangunan banyak dicapai selepas 50 tahun Malaysia menjadi sebuah negara. Cuma ada golongan yang mendakwa tertinggal terutamanya di Sabah dan Sarawak,” kata Prof Dr Jayum A. Jawan dari Universiti Putra Malaysia (UPM), apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider.
 
Photo
 
“Agihan pembangunan diberi kerajaan tidak setimpal dan adil di Sabah dan Sarawak berbanding dengan Semenanjung Malaysia,” katanya.

Menurut Jayum, selepas 50 tahun bersama Malaysia, penyandang jawatan-jawatan birokrasi di peringkat pusat dari Sabah dan Sarawak masih lagi kurang.

“Orang Sabah dan Sarawak mendakwa mereka tidak punyai suara sebenar di peringkat pusat walaupun dari segi jawatan dalam kabinet tidak dapat dinafikan perwakilan dari Sabah dan Sarawak itu ada.

“Selepas 50 tahun masih belum ada orang Sabah dan Sarawak jadi KSU dan TKSU. Belum masuk GLC dan badan berkanun,” katanya merujuk kepada jawatan di kementerian seperti Ketua Setiausaha dan Timbalan Ketua Setiausaha.

Bagaimana pula hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama?


Aktivis dan pemerhati politik Hishamuddin Rais (gambar, kanan) mengatakan selepas 50 tahun, Malaysia masih lagi gagal sebagai sebuah negara bangsa kerana Perlembagaan Negara tidak menawarkan penyelesaian persoalan negara bangsa seperti Perlembagaan Rakyat yang ditawarkan gabungan politik terbesar negara sebelum Merdeka, Pusat Tenaga Rakyat (Putera) dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA).

Katanya ini menyebabkan sehingga hari ini, pertikaian antara masyarakat berbilang kaum masih lagi timbul dan belum selesai walaupun usia negara sudah separuh abad.

“Salah satu klausa fasa yang ada dalam Perlembagaan Rakyat yang saya anggap paling penting untuk saya ialah, 'sesiapa sahaja yang menganggap Tanah Melayu ini sebagai tanah tumpah darahnya mereka akan ditakrif sebagai Melayu'.

“Ini adalah satu klausa yang radikal pada 1947. Iaitu kita menerima Cina, kita menerima India, kita menerima sesiapa saja. Kalau dia hendak duduk berpayung di Persekutuan Tanah Melayu ini maka dia akan dianggap Melayu, dianggap Malayan. 
 
 
Tapi konsep ini menakutkan penjajah British ketika itu,” katanya kepada The Malaysian Insider. – 16 September, 2013.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.