Datuk Saifuddin Nasution Ismail membidas Jabatan Pendaftaran Pertubuhan
Malaysia (RoS) yang mudah meluluskan tiga kumpulan kongsi gelap, tetapi
sehingga hari ini Pakatan Rakyat (PR) dihalang dengan pelbagai cara
daripada didaftarkan.
Setiausaha Agung PKR itu yang juga wakil sekretariat PR, mendakwa RoS
tidak memberikan kerjasama untuk membantu mereka sejak permohonan kali
pertama dibuat pada 2009 sehingga kini.
"Kita sedia maklum RoS baru-baru ini mengakui terdapat tiga kumpulan
kongsi gelap yang berdaftar dengan mereka, jadi saya ingin menyoal
mereka.
"Mengapa begitu mudah tiga kumpulan kongsi gelap mendapat kelulusan
daripada RoS, tetapi tidak dengan pendaftaran Pakatan Rakyat? Kami
bukannya gengster atau penjenayah," katanya pada sidang media di ibu
pejabat PKR, Petaling Jaya hari ini.
Saifuddin berkata, RoS juga tidak pernah menghantar surat atau notis
kepada PR mengenai status pendaftaran yang dibuat, serta membidas agensi
itu yang menggunakan media sebagai saluran menyampaikan berita mengenai
perkara tersebut.
"Semua maklumat yang kami perolehi hanya menerusi media massa, mereka
tidak pernah menghantar surat mahupun notis kepada kami untuk
memberitahu status permohonan lama.
“Adakah sukar untuk menghantar surat kepada kami," katanya.
Semalam, media melaporkan RoS menolak permohonan PR kerana mereka hanya
pernah memohon sekali sahaja dan tidak pernah membuat tindakan susulan.
Malah, Ketua Pengarah ROS Datuk Abdul Rahman Othman berkata, pihaknya
tidak dapat memproses kelulusan buat masa ini kerana PR menukar pucuk
pimpinan sejak 2009, namun tidak memaklumkan status terkini mereka
kepada RoS. ~the malaysian insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.