Hishammuddin berkata transformasi yang dilakukan parti keramat orang Melayu itu bertujuan untuk memperkasa anggota di peringkat akar umbi, justeru mereka perlu bijak menggunakan kuasa yang diberikan itu.
Katanya, keputusan melaksanakan transformasi sejak tiga tahun lepas itu, bukan sesuatu yang mudah kerana berdepan ketidaktentuan antaranya perpecahan di kalangan anggota parti, namun ia tetap dilaksanakan.
"Kita beri keupayaan pada semua anggota apakah itu tidak transformasi, adakah itu tidak perubahan, adakah itu tidak pengupayaan dan pemerkasaan ... sememangnya Umno telah melalui transformasi, tetapi kadangkala orang tidak nampak atau perasan semua ini di hadapan batang hidung mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Umno Melaka dan Hari Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bersama Pelanggan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, di Melaka malam tadi.
Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Idris Haron, mantan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Ketua Pengarah JPJ Datuk Ismail Ahmad.
Sebelum pindaan Perlembagaan Umno pada 2009, seseorang yang mahu bertanding jawatan tertinggi parti perlu terlebih dahulu mendapat jumlah atau kuota sokongan tertentu daripada 191 Bahagian Umno.
Pada Oktober, anggota Umno di peringkat bahagian akan memilih pemimpin yang layak memegang jawatan di peringkat bahagian hinggalah ke peringkat Majlis Tertinggi, sayap dan naib presiden.
Ketika ditemui pemberita selepas majlis itu Hishammuddin berkata pertandingan di semua peringkat termasuk pertandingan enam penjuru bagi jawatan naib presiden yang dipertahankannya tidak sama sekali menggugat perpaduan anggota Umno seluruh negara.
"Setiap kali ada pemilihan, kita ada pertandingan tetapi Umno tetap kukuh, kalau nak ikut segi kerusi Parlimen dan negeri, kita jauh lebih kuat daripada dahulu," katanya.
Sementara itu, Idris berkata penarikan diri Baddrul Hissham Abdul Aziz daripada pertandingan jawatan ketua Umno bahagian Tangga Batu yang dipertahankannya merupakan bukti kesepakatan anggota Umno di Melaka.
"Saya kenali hati budi beliau (Baddrul Hissham) dan telah berbincang hati ke hati dengan beliau.
Semua yang ditimbulkan telah difahami dan diselesaikan dengan baik. Terima kasih atas pengorbanan beliau memberikan laluan untuk saya terus menerajui Umno Bahagian Tangga Batu," katanya.
-Bernama
Malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.