Calon Ketua Pemuda Umno, Akhramsyah Sanusi hari ini menafikan beliau
berada dalam proksi mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
seperti tuduhan yang dilemparkan pihak tertentu.
Beliau berkata, pencalonannnya kali ini tidak didorong oleh mana-mana
pasukan dalam Umno tetapi hanya mahu mendapat sokongan akar umbi."Saya
tidak menyebelahi pihak tertentu.
Proksi saya adalah kekuatan akar umbi dan saya sangat bersyukur
sekiranya pihak yang menyokong saya datang daripada pihak mempunyai
pengaruh.
"Saya tidak memilih. Orang kebanyakan menyokong pun, saya bersyukur kerana mereka yang menjadi perhatian saya.
"Saya membuat pemantauan selama tiga minggu sebelum berkeyakinan untuk
merebut jawatan Ketua Pemuda Umno," katanya pada sidang media
mengumumkan pencalonannnya di Kuala Lumpur hari ini.
Akhram berkata, pencalonannya kali ini disebabkan banyak rintihan dari
peringkat akar umbi yang diterimanya mengatakan Umno tidak lagi dapat
menjaga kebajikan mereka.
Katanya, rintihan yang diterimanya juga hasil sentuhan kepimpinan Pemuda
Umno sedia ada yang tidak berjaya sampai ke bawah selain sayap itu
tidak dilihat sebagai kumpulan pendesak untuk memperjuang agenda Melayu.
"Berdasarkan apa yang kita lihat pencapaian Umno dalam pilihan raya umum
lalu, parti ini bukan sahaja ditolak oleh kaum Cina tetapi orang Melayu
yang tinggal di bandar serta generasi muda.
"Jika Umno masih gagal yakinkan rakyat, bagaimana untuk menang dalam
pilihan raya umum ke-14 kelak," katanya yang yakin berjaya merebut
jawatan itu daripada penyandang, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Beliau berkata, melihat kepada kedudukannya yang 20 tahun menyertai Umno
selain memegang jawatan tertinggi dalam syarikat carigali minyak
antarabangsa, beliau mampu membawa perubahan dalam sayap Umno itu.
Katanya, bagi mengelak pencalonannya ditolak, rujukan dengan pelbagai
pihak dalam Umno dibuat untuk memastikannya pencalonannya nanti berjalan
lancar.
"Saya melihat penyandang sekarang masih belum menemui formula untuk
menang. Memang tidak dinafikan beliau adalah penyandang tetapi beliau
juga ada tanggungjawab dalam kementerian. Justeru saya melihat kelebihan
itu boleh diatasi meskipun saya orang baru untuk jawatan tersebut.
"Sistem pemilihan terbuka kali ini memberi lebih suara kepada pewakilan
memilih pemimpin berwibawa kerana jika dahulu mereka yang bertanding
hanya perlu berkempen kepada kira-kira 800 pewakilan yang hadir di Kuala
Lumpur tetapi kini suara pemilihan lebih besar iatu kira-kira 75,000
pewakilan dalam Pemuda Umno akan memilih ketua mereka," katanya yang
sudah memulakan kempen dan akan lebih menggiatkannya bermula esok.
Akhram yang juga anak kepada bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Sanusi
Junid itu adalah bekas pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik
Pulau dan kemudiannya melanjutkan pengajiannya ke London dalam bidang
Sarjana Kejuruteraan Kimia.
Menyusur sejarah keluarga, beliau berkata, nenek dan moyangnya pernah menjadi wakil rakyat dan gabenor di Aceh, Indonesia.
Ahli Umno Cawangan Bendang Baru, Langkawi itu mendapat keahlian parti
pada 1994 dan menyifatkan parti Umno masih relevan dalam perjuangannya.
Setakat tengah hari ini, pertandingan jawatan Ketua Pemuda Umno
menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila yang terbaru Penolong
Setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Syed Rosli Syed
Harman Jamalullail, 37, mengumumkan untuk bertanding.
Malam tadi media melaporkan, Ketua Pemuda Umno Bahagian Merbok, Karim Ali turut menyatakan hasrat sama.
Semasa pemilihan parti 2008, Khairy menghadapi pertandingan tiga penjuru
iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas menteri
besar Selangor, Dr Mohamed Khir Toyo.
Khairy memperolehi 304 undi dengan mengalahkan Dr Mohd Khir Toyo (254 undi) dan Datuk Mukhriz Mahathir (232 undi).
Pemilihan jawatan tertinggi sayap Pemuda akan diadakan pada 12 Oktober ini. ~the malaysian insider

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.