Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar dinamakan sebagai bakal Duta Besar Malaysia ke Perancis yang baharu.
Ismail merupakan antara enam Ketua Perwakilan Malaysia baharu yang akan
menerima Watikah Tauliah Pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong
Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara Jumaat.
Kementerian Luar dalam satu kenyataan di sini Khamis berkata Pesuruhjaya
Tinggi Malaysia ke Australia Datuk Salman Ahmad dinamakan sebagai bakal
Duta Besar Malaysia ke Jerman yang baharu.
Datuk Rohana Ramli pula dinamakan sebagai bakal Duta
Besar Malaysia ke Republik Korea, Datuk Awang Sahak Awang Salleh (bakal
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei), Raszlan Abdul Rashid (bakal Duta
Besar Malaysia ke Kemboja) dan Jilid Kuminding@Zainuddin (bakal
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Papua New Guinea).
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam
Antarabangsa, Ismail mula menyertai Polis Diraja Malaysia pada tahun
1971 dan dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada September 2010
sehingga persaraan beliau pada 17 Mei lepas.
Salman merupakan pegawai kanan Kementerian Luar yang berkhidmat sejak
tahun 1979 dan pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya
Konsul Jeneral Malaysia ke Davao City, Filipina dari 1995 hingga 1998;
Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei (2001-2003) dan Duta Besar
Malaysia ke Republik Czech (2005-2009).
Beliau juga pernah berkhidmat di beberapa Perwakilan Malaysia di luar negara termasuk di India, Jepun dan Thailand.
Rohana pula merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Khidmat Pengurusan di
Kementerian Luar dan berkhidmat dengan kerajaan sejak tahun 1984.
Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya Duta Besar
Malaysia ke Argentina (2005-2008) dan berkhidmat di beberapa Perwakilan
Malaysia di luar negara termasuk Perutusan Tetap Malaysia di Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva dan Kanada.
Awang Sahak berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan (Teknologi
Luar Bandar) dari Wageningen University, Netherlands merupakan bekas
Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.
Naib Presiden Persatuan Masyarakat Brunei Sabah dan Ahli Lembaga
Pengarah DESA Cattle Sdn Bhd itu pernah berkhidmat sebagai Pengarah
Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Perusahaan Ternak Negeri Sabah dari 2003
hingga 2010.
Raszlan yang menyandang jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Tinggi di
Suruhanjaya Tinggi Malaysia di India pula telah berkhidmat dengan
Kementerian Luar sejak tahun 1987.
Beliau pernah menyandang beberapa jawatan penting antaranya Ketua
Pegawai Perhubungan di Pejabat Perhubungan Malaysia di Pristina, Kosovo
dari 2002 hingga 2005 dan Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla, Thailand
(2005-2008).
Beliau juga pernah berkhidmat di beberapa Perwakilan Malaysia di luar negara termasuk di Indonesia dan Venezuela.
Konsul Jeneral Malaysia di Hong Kong, Jilid, berkhidmat dengan
Kementerian Luar sejak tahun 1989 dan menyandang beberapa jawatan
penting antaranya Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri di Jabatan
Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Maximus Ongkili dari 2004 hingga
2008, Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Luar pada masa itu Datuk
Abdul Rahim Bakri (2008-2010) dan Setiausaha Bahagian Afrika dan Sub
Sahara.
Beliau juga pernah berkhidmat di beberapa Perwakilan Malaysia di luar negeri termasuk di Sweden dan Namibia. ~bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.