CHAI
Eng Fong didakwa atas pertuduhan mendera pembantu rumah warga
Indonesia, Maria Roberta Sian (gambar kecil) di Mahkamah Sesyen Petaling
Jaya, Selangor, semalam. |
[UM] PETALING JAYA - Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah
Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah
terhadap seorang pembantu rumah warga Indonesia dengan memukul serta
menyimbah air panas terhadap mangsa ketika umat Islam menyambut Hari
Raya Aidilfitri, Khamis lalu.
Chai Eng Fong, 40, turut didakwa atas satu lagi pertuduhan iaitu
memperdagangkan seorang wanita berusia berusia 30 tahun bagi maksud
eksploitasi sebagai buruh paksa dengan cara menggunakan kekerasan dan
paksaan.
Ibu kepada empat anak yang berusia antara 10 dan 17 tahun itu mengaku
tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan tersebut yang dibacakan
kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Hakim Rozina Ayob.
Eng Fong didakwa dengan niat mendatangkan cedera parah terhadap Maria
Roberta Sian dengan memukul dan menyimbah air panas sehingga menyebabkan
kecederaan di muka, kepala, telinga, kedua-dua payu dara, belakang
badan serta paha.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di rumah tertuduh di No. 5,
Jalan U5/84, Subang Bestari, Shah Alam, dekat sini kira-kira pukul 7
petang, 8 Ogos lalu.
Bagi pertuduhan menyebabkan cedera parah terhadap mangsa, wanita itu
didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan,
dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebatan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 13 Anti
Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang
memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika sabit
kesalahan.
Tertuduh yang memakai baju-T berwarna merah jambu dan berseluar jeans
pendek dilihat tenang sepanjang prosiding. Hanya suami tertuduh dilihat
hadir di galeri awam mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya, Zhafran Rahim Hamzah yang mengendalikan
pendakwaan pada mulanya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap
tertuduh tetapi sekiranya mahkamah cenderung membenarkannya, beliau
mencadangkan jaminan RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang
penjamin.
Beliau memberitahu, jumlah tersebut tidak membebankan tertuduh kerana keluarga wanita itu mempunyai perniagaan besi.
Zhafran Rahim juga memohon agar tertuduh melaporkan diri di balai polis
berhampiran dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat
tambahan.
Peguam T. H. Goh yang mewakili Eng Fong pula memohon agar jumlah
tersebut dikurangkan dengan mengambil kira syarat tambahan yang
dikemukakan oleh pendakwaan.
Hakim Rozina Ayob kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Beliau juga memerintah tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah,
melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan dilarang
mengganggu mangsa serta saksi pendakwaan sebagai syarat jaminan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 2 September ini.
Peguam Rosal Azimin Hamad hadir selaku peguam pemerhati bagi pihak Kedutaan Indonesia.
Memetik laporan akhbar, mangsa bertindak melarikan diri dari rumah
majikannya di Subang Bestari, dekat sini pada 8 Ogos lalu selepas
menjadi mangsa dera sejak lapan bulan yang lalu.
Mangsa kemudian bertindak membuat laporan di Balai Polis Subang Jaya,
dekat sini kira-kira pukul 7 malam pada hari yang sama dengan bantuan
orang awam.
Pembantu rumah itu yang mengalami luka, lebam dan kesan parut di seluruh
badan mendakwa majikan wanitanya itu memukulnya dengan menggunakan
tangan, kaki dan objek seperti berus lantai.
Menurut mangsa, majikannya itu memukulnya kerana tidak berpuas hati dengan cara dia menjalankan kerja rumah. -16/8/13
P/s: Gila kejam!!!
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.