
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar untuk membatalkan pembelaan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu dan empat lagi dalam kes saman fitnah membabitkan artikel di Harakah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Lee Heng Cheong membuat keputusan itu dalam kamar dengan dihadiri peguam Norhazira Abu Haiyan yang mewakili Wan Ahmad dan peguam Azhana Mohd Khairuddin, yang mewakili semua defendan.
Azhana memberitahu pemberita bahawa mahkamah menolak permohonan (membatalkan) yang difailkan pada 15 Mei itu dengan kos RM5,000 dan menetapkan 25 September untuk pengurusan kes.
Pada 5 Mac lalu, Wan Ahmad (plaintif) memfailkan saman fitnah itu terhadap lima defendan iaitu Mohamad atau lebih dikenali Mat Sabu; Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali; pencetak akhbar Harakah, Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd; ketua pengarang akhbar itu, Ahmad Lutfi Othman dan penulis artikel, Aziz Muda.
Dalam pernyataan tuntutan itu, Wan Ahmad mendakwa Mohamad mengeluarkan kata-kata fitnah di dalam artikel 'Wan Ahmad Tak Boleh Dipercayai' dan 'Ragu Peranan SPR-Wan Ahmad Omar Mesti Letak Jawatan' yang dilapor dan diterbitkan akhbar Harakah edisi Jumaat 1-3 Feb 2013 selepas ditemuramah oleh penulis artikel itu pada 29 Januari lalu.
Akibat penyiaran kata-kata fitnah itu, Wan Ahmad mendakwa reputasinya terjejas selain mendakwa semua defendan dengan sengaja menghancurkan kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadapnya bagi meneruskan agenda mereka sendiri.
Sehubungan itu, Wah Ahmad memohon satu injunksi bagi menghalang semua defendan daripada berbicara lebih lanjut atau menerbitkan kenyataan fitnah terhadapnya sama ada secara lisan, media cetak atau Internet.
Beliau juga menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, permohonan maaf secara bertulis oleh semua defendan untuk diterbitkan dalam semua akhbar, faedah dan kos.
Sementara itu, dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 2 April lalu, semua defendan menafikan dakwaan Wan Ahmad dan mendakwa tindakannya memfailkan tuntutan fitnah ke atas mereka memberi kesan kepada hak kebebasan bersuara. - Bernama, 6 Ogos, 2013.
The Malaysia Insider.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.