Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menghormati pendapat
pendakwah, Wan Ji Wan Hussin yang mengatakan Mazhab Hanafi membenarkan
pengikutnya membela anjing, namun pertubuhan pendesak Melayu itu hanya
memegang kepada keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali menegaskan, Malaysia
menggunakan pegangan Mazhab Shafei, dan semua keputusan seharusnya
dirujuk kepada mereka yang mempunyai autoriti.
"Kita hormati pendirian beliau, namun kita mahu tindakan dan jawapan
daripada Majlis Fatwa, dan pihak yang berautoriti," katanya kepada The
Malaysian Insider.
Wan Ji dalam kenyataan kepada The Malaysian Insider sebelum ini berkata
bagi ulama mazhab Hanafi, memelihara dan memegang anjing tidak salah
tetapi bagi ulama Mazhab Shafei ia adalah satu kesalahan.
Beliau yang mendalami Islam di Pakistan dan Mesir berkata, tidak
seharusnya tindakan jurulatih anjing Maznah Mohd Yusof dalam video itu
dianggap menghina Islam.
Maznah sebelum ini ditahan reman selama dua hari, dan dibebaskan atas
jaminan polis kerana merakamkan perbuatannya membersihkan anjing
seumpama berwudhu, dan membawa anjingnya bersiar-siar sambil
berlatarbelakangkan lagu Hari Raya.
Wan Ji yang mempunyai banyak kuliah agama dimuat naik di Youtube
berhujah, jika hendak dikatakan tidak mengikut Mazhab Shafei menghina
Islam, bagaimana pula dengan menunaikan zakat dengan wang.
"Masalah dengan Malaysia adalah orang ramai banyak membuat penilaian
atas sesuatu perkara berdasarkan mazhab Islam Melayu," kata Wan Ji dalam
tazkirah Ramadannya di sebuah surau.
"Mengikut Mazhab Shafei, umat Islam hendaklah menunaikan zakat fitrah
menggunakan makanan asasinya. Dalam konteks Malaysia, beras.
Kenapa umat Islam di Malaysia menunaikan zakat dengan menggunakan wang.
Kalau ikut Mazhab Shafei, ini salah dan boleh didakwa menghina Islam,"
katanya.
Menurut Wan Ji, mengeluarkan zakat menggunakan wang dibolehkan oleh
ulama Mazhab Hanafi dan digunakan fatwa ini oleh umat Islam di Malaysia
untuk memudahkan urusan pembayaran zakat.
Atas dasar itu, kata Wan Ji, perkara yang berbeza pandangan di kalangan
ulama tidak perlulah dijadikan hujah untuk menyerang umat Islam yang
lain.
Maznah mencetuskan kontroversi apabila video yang memaparkan aksinya
tiga tahun lalu menyambut Aidilfitri bersama tiga ekor anjing dimuat
naik ke dalam YouTube pada Isnin.
Video itu menunjukkan Maznah membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar
berhampiran pekarangan masjid dengan suara latar takbir raya.
Rakaman berdurasi 1 minit 44 saat itu turut menunjukkan Maznah memakai
baju Melayu hitam membasuh kaki anjingnya seolah-olah mengambil wudhu
sebelum menyediakan kuih raya untuk tiga ekor anjing itu.
Video itu juga menyiarkan kata-kata: "Raikanlah Aidilfitri bersama-sama,
tanpa mengira spesies, warna dan asal-usul (dengan menunjukkan gambar
tiga ekor anjing).
"Video itu turut memuatkan ucapan "Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf
Zahir dan Batin daripada Chetz sekeluarga" dengan gambar lelaki duduk
bersama tiga ekor ekor anjing di atas sofa.
Syed Hassan berkata kenyataan Wan Ji itu boleh diterima pakai namun bagi
konteks Malaysia yang menggunakan pegangan Mazhab Shafei, kenyataan
berkenaan akan menimbulkan kekeliruan.
"Anak muda akan lebih keliru dengan kenyataan yang dikeluarkannya," katanya lagi.
~the malaysian insider

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.