Followers

Sunday, August 11, 2013

Hantaran Kahwin RM50,000.? Semakin Ramai Yang Memilih Untuk Membujang.



Sesiapa yg baca surat khabar Harian Metro hari ini sudah tentu perasan tajuk besar di muka hadapannya. Snapshot ini disebar meluas di Facebook dan Twitter. Budak-budak lelaki ramai yang tak setuju dengan demand RM50,000 nih. Saya pun hairan juga, orang perempuan macam mana yg demand hantaran sehingga RM50,000?

Kakak sulung saya, pelajar terbaik Malaysia di University of Jordan berkahwin dan hantarannya cuma RM3,000 pada ketika itu (tahun 1998). Manakala kakak kedua saya pula berkahwin pada 5 tahun sudah dengan wang hantaran cuma RM6,000 sahaja sedangkan beliau merupakan antara calon Anugerah Naib Canselor Universiti Malaya, dan mendapat anugerah dekan setiap semester. Sekarang, kakak-kakak saya sedang menyambung Ph.D dengan biasiswa penuh dari kerajaan Malaysia. Masing-masing punyai anak-anak perempuan dan lelaki yang comel dan kacak. Bukankah berkat namanya tu?

Kakak ipar saya berkahwin dengan abang saya dengan wang hantaran RM8,000 – beliau merupakan pelajar yang lulus kelas pertama dalam Bioteknologi dari Universiti Malaya. Adik saya pula, berkahwin tahun lalu dengan wang hantaran RM10,000 dan beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat khusus Sistem Keselamatan dari USIM. RM10,000 itupun sebab pihak lelaki yang beriya-iya mahu beri minimum sebanyak itu. Ikutkan demand pihak perempuan, tak kisah pun nak bagi berapa.

Saya berkahwin tahun ini dan hantaran saya minta pun tidak sampai RM10,000 sedang saya juga ada Diploma Perakaunan dan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan.


Semua adik beradik perempuan dalam keluarga saya tidak ada satu pun yang meminta hantaran sehingga RM50,000 walaupun semua kami berkelulusan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana Muda. Bukan tidak boleh meminta wang hantaran puluhan ribu Ringgit, sebenarnya boleh kerana saya maklum besan-besan bapa saya hampir semuanya orang berada (samada pesara kerajaan, punyai bisnes sendiri, CEO syarikat sendiri dan jurutera komputer di IBM Amerika Syarikat). Kami pihak perempuan boleh minta hantaran banyak-banyak jika mahu. Tapi dari kecil, mak ayah saya sudah pesan dari awal-awal lagi, “nilai hantaran yang rendah itu lebih baik dan berkat”.

Saya tidak faham, ibu bapa macam mana yang sanggup demand berpuluh-puluh ribu ringgit untuk wang hantaran. Sungguh saya tidak faham. Kahwin seharusnya dipermudahkan. Bukan disusahkan. Cukuplah pihak pejabat daftar kahwin JAHEIK yang susahkan prosedur kahwin. Mak ayah tak payah susahkan prosedur kahwin lagi dengan hantaran yang pihak lelaki tak mampu.

Sanggup tengok anak perempuan tak kahwin, lambat dapat cucu, tak ada keturunan sebab mahu membazir dan menunjuk-nunjuk dengan perkahwinan mewah? Kalau sanggup, sila minta RM50,000 dan tunggu sehingga bakal menantu itu cukup duit untuk buat kenduri kahwin. Masa itu, mungkin anak perempuan makcik dah umur 35-40 tahun tahun. Pada usia itu, agaknya nafsu seks pun dah berkurang, tak macam masa umur 20-an. Kemungkinan juga susah nak dapat anak.

Itulah antara komen2 yg dapat saya kutip mengenai hantara kahwin mahal ini. Saya sarankan kepada sesiapa yang dapat bakal mak mertua yang demand gila-gila macam tu, korang kahwin saja di Thailand. Murah je, RM350 sahaja yurannya. Itu habuannya bagi bakal mak mertua mata duitan.

Di Malaysia, trend majlis perkahwinan di hotel atau dewan telah mengganti majlis yang biasanya diadakan di rumah. Orang kampung pun sudah pandai kenduri dengan menempah makanan. Jika dulu tuan rumah menghantar tepak menjemput tetapi hari ini ada kad, ada yang pakai e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk jemput ke majlis perkahwinan.

Dulu orang bagi bunga telur tanda terima kasih tuan rumah kepada tetamu, hari ini ada yang bagi gula-gula, coklat, buah, kek dan berbagai hiasan termasuk rantai kunci dan sapu tangan.

Semua perubahan majlis perkahwinan bermula daripada persediaan hingga ke majlisnya menunjukkan masyarakat Melayu Islam Malaysia yang melalui proses perubahan dan yang pasti kelihatan semakin mewah. Namun berapa ramaikah yang benar-benar tahu tentang hukum pernikahan dan hukum mengadakan kenduri atau walimatulurus? Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab mengadakan majlis dan siapa yang perlu mengeluarkan belanja? Yang pasti, ramai pasangan yang mahu berkahwin, digamit rasa khuatir kerana perkahwinan memakan belanja yang tinggi. Akhirnya, tunda majlis kerana tidak cukup wang.

Pernikahan adalah akad yang ditetapkan oleh syarak bagi membolehkan seorang lelaki menikmati hubungan kelamin dengan seorang perempuan dan sebaliknya. Perkahwinan adalah satu ibadah dalam Islam sebagaimana dalam surah ar-Rum ayat 21. Demikian juga sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Nikah adalah sunnahku dan barang siapa yang tidak suka sunnahku, maka dia bukanlah dari umatku”. (riwayat Ibnu Majah)

Perkahwinan menjadi fardu jika seseorang itu yakin bahawa jika dia tidak berkahwin maka dia akan tercebur ke lembah perzinaan. Selain itu, dia juga mampu melunaskan mahar atau mas kahwin, mampu memberi nafkah isteri zahir dan batin.

Orang sekarang memang pelik, ramai tetamu menjeling-jeling wang hantaran dan mengira jumlah dulang yang dihantar. Bukan itu saja, ada yang sanggup membelek-belek barangan yang dihantar hendak menentukan kualiti; tulen atau tiruan.

Ibu bapa sanggup berbelanja ratusan ribu ringgit malah ada pasangan muda yang sanggup berhutang untuk memastikan kenduri perkahwinan menjadi paling meriah dan paling mahal.

Apa yang berlaku hari ini, pasangan mendahulukan semua yang adat seperti membelanja wang untuk hantaran, membeli barang hantaran, membeli bunga telur atau apa-apa buah tangan untuk tetamu, menempah mak andam beserta pelamin, baju dan hiasan perkahwinan.

Pasangan hanya berbelanja RM300 sebagai mas kahwin atau mahar berbanding RM50,000 untuk yang lain-lain sedangkan ia hanya adat, bukannya wajib. Malah ia boleh menimbulkan riak kerana rasa ingin menunjuk-nunjuk dan pembaziran.

Tentunya ramai yang berkata “tidak mungkin” kerana hari ini hantaran mencecah RM20,000 (bagi seorang anak gadis yang berkelulusan ijazah pertama tidak termasuk artis, orang kenamaan dan sebagainya). Itu tidak termasuk harga barang hantaran seperti cincin pertunangan dan cincin perkahwinan (ada juga yang memberi rantai dan gelang emas) kasut, baju, bag tangan, minyak wangi dan lain-lain barangan sokongan sebagai hantaran.

Hantaran kahwin tinggi sampai berpuluh-puluh ribu? mungkin senario biasa dalam zaman serba millenium ini. Apa rasionalnya apabila ada segelintir pihak sesuka hati meletakkan hantaran kahwin dengan harga tinggi sehingga kadangkala membantutkan hasrat pasangan yang ingin berumah tangga? Adakah isu hantaran tinggi bukan lagi perihal yang wajar dipersoalkan dalam konteks serba serbi melibatkan wang ringgit pada hari ini? Mungkin juga apabila mulut sudah bersedia menuturkan perkataan kahwin, maka soal kos belanja kahwin dan hantaran secara automatik telah siap sempurna.

Ada pasangan berbelanja RM5,000 ke 10,000 untuk hantaran sahaja. Majlis kenduri jika berlangsung di hotel, kosnya kepada berapa jemputan dan jenis makanan yang dihidangkan dan tidak kurang daripada RM50,000. Barang-barang lain yang sangat mahal adalah pelamin, baju pengantin dan bunga telur dan hadiah kepada tetamu. Jika dijumlahkan dari bertunang hingga s akad nikah, ada pasangan membelanjakan RM100,000.

Ada yang membelanjakan wang simpanan, ada yang membelanjakan duit ibu bapa yang bergadai bergolok untuk majlis anaknya kerana takut malu dan mahu menjaga air muka dan nama. Lebih malang, pengantin lelaki yang terpaksa meminjam wang bank, koperasi atau kawan kerana wang simpanan tidak mencukupi.

Ramai yang terpaksa bertunang lama kerana perlu mengumpul wang. Lebih malang, bayaran pinjaman belum habis dibayar, isteri dah minta cerai. Menurut kajian, lelaki berkahwin pada usia 28 tahun dan wanita 26 tahun dan adakah ini bermakna pasangan lambat berkahwin kerana faktor kos perkahwinan yang sangat mahal.

Perkahwinan adalah isu jodoh dan kita perlu sentiasa ingat bahawa jodoh pertemuan adalah hak Allah. Memang ramai wanita berkahwin lambat kerana kebanyakan wanita berpendidikan tinggi. Umur minimum tamat ijazah pertama universiti adalah 23-24 tahun dan bagi yang membuat diploma adalah 21 tahun. Bagi yang wanita, perkahwinan bergantung kepada jika ada orang masuk meminang tetapi bagi lelaki sama ada dia mampu untuk meminang.

Jika tamat belajar mereka berumur 24 tahun dan dengan gaji RM3,000 ke 4,000 sebulan, dengan membayar PTPTN, pinjaman kereta dan perbelanjaan harian, mereka mungkin dapat menabung RM1,000 sebulan. Jika perbelanjaan perkahwinan (hantaran sahaja RM15,000) mereka perlu menabung 15 bulan. Jika anggaran perbelanjaan perkahwinan itu RM50,000 maka mereka hanya boleh berkahwin selepas 50 bulan bekerja (iaitu empat tahun) dan tentulah usia perkahwinan menjadi 28 tahun.

Alangkah baiknya simpanan RM50,000 itu dijadikan wang muka membeli rumah dan pasangan boleh terus tinggal di rumah sendiri selepas berkahwin. Memang kos perkahwinan telah naik tetapi itu bukan alasan melewatkan perkahwinan. Ibu bapa perlu ada transformasi pemikiran daripada mahu mengadakan majlis besar-besaran kepada melihat anak berumah tangga tanpa hutang dan memulakan kehidupan rumah tangganya tanpa riba.

Faktor ini juga mendorong kebanyakan lelaki untuk lebih senang berkawan mesra dengan pasangan mereka sama ada dalam tempoh menunggu impian berumah tangga terlaksana yang mengambil masa bertahun lamanya mahupun sudah tidak menghiraukan lagi soal perkahwinan apatah lagi soal halal haram. Kesannya, kes zina, pelacuran dan buang bayi kian kerap kita dengar. Kita cukup sensitif dengan kes terjadi, sedar atau tidak, kita mungkin menjadi atau sudah menjadi antara penyumbang kecil berlakunya kes melanda masyarakat khususnya muda mudi.

Firman Allah yang bermaksud:

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui. (An-Nur : 32)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.