Followers

Monday, August 12, 2013

Anwar minta Zahid jangan tutup kesilapan dengan salah pihak lain - Oleh Diyana Ibrahim


 
 Menteri Dalam Negeri tidak seharusnya menutup kegagalan kerajaan dalam menangani kes jenayah yang tidak terkawal dengan menunding jari mencari salah akibat pemansuhan Akta Ordinan Darurat, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar).

Katanya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seharusnya mencari penyelesaian segera dengan mengambil pendekatan berbincang dengan semua pihak untuk membanteras jenayah daripada menyalahkah pihak lain.

Anwar berkata, menunding jari kerana gagal menutupi kesalahan adalah perkara biasa dilakukan oleh Umno.

"Menteri Dalam Negeri patut cari jalan bersama dengan semua pihak tangani jenayah berat bukan hendak guna kegagalan dia dengan mengenakan undang-undang kejam, "katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Keadilan hari ini.

Beliau mendakwa, isu jenayah berat ini bukan disebabkan undang -undang yang dimansuhkan kerana undang-undang yang lain sudah mencukupi.

"Ini bukan soal undang-undang. Ia sudah jelas banyak negara yang tidak memakai Akta Ordinan Darurat dan isu sebegini tidak timbul di negara mereka.

"Namun apa yang mereka mahu apabila hendak menangkap seseorang itu tanpa alasan, ditangkap kerana disyaki dan tidak dibicarakan tidak ada ruang untuk pertahanankan diri," katanya.

Katanya, apa yang harus kerajaan lakukan sekarang ialah tegas dalam membanteras jenayah.

Anwar berkata, beliau mengalukan-alukan sekiranya Menteri Dalam Negeri itu mengambil insiatif mengatakan sidang segera bersama pemimpin parti politik dan NGO terbabit membincangkan masalah ini untuk mencari jalan penyelesaian.

"Pilihan raya sudah habis jadi buat apa hendak gunakan pegawai Cawangan Khas pantau kita, gunalah peluang ini untuk kawal jenayah, "kata Anwar yang yakin dengan kemampuan polis untuk kawal jenayah.

Anwar berkata demikian bagi mengulas dakwaan yang dibuat oleh Zahid Hamidi kira-kira 260,000 penjenayah bermaharajalela di dalam negara berikutan pemansuhan Akta Ordinan Darurat (EO) pada 2011.

Menurut Zahid , angka itu diperoleh berdasarkan 2,600 suspek yang dibebaskan dari Penjara Simpang Renggam yang berhubung dengan 10 orang kanan mereka yang menjadikan jumlah 26,000 dan mengukuhkan lagi pengaruh mereka apabila bertemu dengan 10 pemimpin kanan lain yang menjadikan jumlah keseluruhan seramai 260,000 orang.

Zahid juga turut menyalahkan Pakatan Rakyat yang menjadi punca peningkatan jenayah berat akibat pemansuhan Akta Ordinan.- 12 Ogos 2013.


The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.