Followers

Monday, July 1, 2013

Petugas SPR dapat bonus RM200 juta, kata menteri - Oleh Md Izwan

 
Para petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjalankan tanggungjawab dan bekerja semasa pilihan raya umum ke-13 lalu telah menerima wang bonus sebanyak RM200 juta lebih, kata Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu berkata sebanyak RM400 juta telah diluluskan kepada SPR untuk menjalankan pilihan raya pada 5 Mei lalu, peningkatan sebanyak 100 peratus berbanding kos Pillihan Raya 2012 yang hanya berjumlah RM200 juta.

"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kos perbelanjaan Pilihan Raya Umum 2013 yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan adalah sebanyak RM400 juta," kata Shahidan.



"Bayaran perkhidmatan dan saguhati kepada semua petugas pilihan raya umum adalah sebanyak RM204,100,000."

Dalam jawapan tersebut lagi, Shahidan juga berkata SPR diberikan sebanyak RM5,081,000 diberikan untuk elaun lebih masa, bayaran utiliti (sewaan pengangkutan, barung semak daftar pemilih, peralatan ICT, sewaan talian, telefon dan faks, dan lain-lain) sebanyak RM98,465,000 dan lain-lain perbelanjaan pula sebanyak RM92,354,000.

Susulan jawapan daripada Shahidan tersebut, Ahli Parlimen Seremban (DAP) Loke Siew Fook mempersoalkan peningkatan perbelanjaan SPR pada pilihan raya kali ini berbanding tahun 2008 sambil menyifatkan jumlah perbelanjaan RM1.8 juta untuk setiap kawasan Parlimen adalah tidak munasabah.

"Mengapa dalam tempoh 5 tahun perbelanjaan untuk pilihan raya boleh melambung 100 peratus walaupun bilangan pengundi yang terlibat hanya bertambah 20 peratus.
"RM400 juta untuk mengendalikan pilihan raya untuk 222 kerusi Parlimen bermaksud purata kos untuk pengendalian sebuah kawasan Parlimen ialah RM1.8 juta! Ini merupakan satu angka yang besar memandangkan had perbelanjaan untuk seseorang calon yang bertanding di peringkat Parlimen hanyalah RM200 ribu," kata Loke dalam sidang media di lobi Parlimen pagi ini.

Beliau juga mendesak SPR untuk mendedahkan setiap perbelanjaan mereka sambil menyifatkan agensi pilihan raya tersebut telah menghabiskan duit rakyat secara boros terutamanya dalam kontroversi yang menyelebungi dakwat kekal bernilai RM7.1 juta walaupun dakwat tersebut sebaliknya tidak kekal.

SPR berdepan tekanan selepas pendedahan di Parlimen baru-baru ini dimana bahan kimia dalam dakwat tersebut telah diganti dengan pewarna makanan yang menyebabkan ia mudah ditanggal.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Shahidan Kassim mengakui di Dewan Rakyat pada Rabu lalu pewarna makanan, bukannya nitrat perak yang digunakan dalam dakwat kekal.

Beliau berkata dakwat tertanggal kerana bahan kimia yang sepatutnya adalah punca dakwat tersebut mudah dibersihkan tetapi juga menyalahkan pengundi yang cuba membasuhnya sebagai punca ia tidak kekal.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga berhadapan tekanan daripada umum selepas dilaporkan beliau menerima surat daripada Kementerian Kesihatan mengatakan kerosakan buah pinggang dan risiko barah berkemungkinan dihadapi oleh pengundi sekiranya dakwat kekal mengandungi nitrat perak melebihi daripada satu peratus.

Dakwaan Aziz kemudiaan ditolak oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. Subramaniam yang berkata laporan sedemikian tidak pernah dikeluarkannya serta mendakwa mereka tidak menerima permintaan untuk membuat analisis. - 1 Julai, 2013.



The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.