Followers

Friday, July 5, 2013

KADAR JENAYAH TURUN? Najib lepak di London, penyamun ditembak di KL - Oleh Malaysia Chronicle

 
Walaupun Perdana Menteri Najib Razak masih berada di kota London untuk lawatan rasmi, beliau pasti dapat merasakan bahang tekanan daripada sebuah lagi insiden jenayah ganas yang menglibatkan seorang Tan Sri di Cheras, Kuala Lumpur.

Pentadbiran Najib yang sememangnya sudah dikritik kerana kadar jenayah yang dianggap bertambah buruk pasti akan tertekan lagi, lebih-lebih lagi setelah insiden pecah-rumah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin baru berlaku seminggu yang lalu.

"Rakyat memang sudah menolak alasan pentadbiran BN yang diterajui Najib bahawa kenaikan kadar jenayah itu hanya persepsi yang dipermainkan oleh pihak Pembangkang. 

Ini dapat dilihat apabila rumah Khairy disamun minggu lepas. Dia, sebagai Ketua Pemuda Umno, juga terpaksa mengakui bahawa jenayah itu bukan sekadar persepsi. Rumah anak saya di Bukit Damansara juga pernah disamun. Di Cheras dan banyak lagi kawasan-kawasan bandar di Lembah Kelang, dan juga di Johor Bahru, ada ramai yang tidak berani keluar rumah, walaupun untuk makan. 

Beberapa kedai-kedai makan terpaksa mengupah pegawai keselamatan yang bersenjata api untuk menjamin keselamatan pelanggan-pelanggan mereka," kata Naib Presiden PKR Chua Jui Meng kepada Malaysia Chronicle.

"Gambaran yang lebih jelas dapat diperolehi daripada akhbar berbahasa Cina kerana mereka memberikan lebih butiran mengenai kes-kes jenayah. Berbanding dengan akhbar Cina, akhbar Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu lebih cenderung untuk menapis berita-berita seperti ini untuk membantu membina imej Najib dan BN," tambah beliau.

"Tiba masa untuk pihak polis berhenti akur kepada kehendak BN dan fokus kepada kehendak rakyat, yakni persekitaran yang aman dan bebas jenayah supaya hidup mereka aman dan damai. Najib dan Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi mesti berhenti menipu rakyat dan tunjukkan apa yang mereka akan buat untuk mengurangkan jenayah.

"Rakyat juga mesti terus menggesa supaya penjelasan diberikan mengenai neksus ataupun pautan di antara elemen jenayah, pihak polis dan ahli politik. Adakah ini antara sebab mengapa Umno-BN enggan menubuhkan IPCMC (panel bebas) untuk memantau prestasi dan kelakuan polis?" tanya beliau.

Perompak menerkam Tan Sri

Menurut akhbar The Star, 3 orang lelaki menyerbu sebuah klinik di Cheras pada jam 10 malam pada hari Khamis. Pada masa itu, seorang Tan Sri daripada Pahang yang tidak didedahkan namanya sedang menjalankan pemeriksaan kesihatan di klinik tersebut.

Apabila salah seorang perompak itu mengacukan parangnya terhadap Tan Sri itu, beliau telah mengeluarkan sepucuk pistol dan mengarahkan perompak-perompak itu supaya meninggalkan klinik tersebut.

Namun demikian, perompak-perompak itu cuba menerkam dan menyerang Tan Sri tersebut dan beliau terpaksa melepaskan beberapa das tembakan. Perompak-perompak tesebut kemudian melarikan diri daripada klinik yang terletak di Taman Pertama, Cheras.


Polis menjumpai mayat salah satu daripada perompak itu lebih kurang 30 meter daripada tempat insiden tersebut. Dia dipercayai berumur 20an.

"Dia ditembak di bahagian lutut, perut dan punggung," kata OCPD Cheras ACP Mohan Singh.

"Kami masih tidak boleh memastikan sama ada mereka yang berjaya melepaskan diri itu juga dicederakan".

Mayat suspek yang meninggal dunia itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.

- Malaysia Chronicle

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.