IPOH -
Umat Islam yang akan menyambut Ramadan mulai esok dinasihatkan supaya
jangan merosakkan solat tarawih dengan menganjurkan majlis tazkirah di
antara solat sunat itu kerana ia boleh mengganggu kekhusyukan jemaah.
Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, umat Islam jangan
terkeliru sehingga menganggap majlis tazkirah itu sebagai amalan wajib
sehingga boleh merosakkan amalan yang sunat.
"Ada pihak yang mengatakan bahawa tazkirah lebih wajib daripada tarawih
yang sunat.
Tazkirah wajib pada masa-masanya; yang sunat ada masanya.
Jangan kita buang yang sunat kerana kononnya yang melaksanakan yang
wajib sedangkan dalam itu kita merosakkan yang sunat dan merosakkan yang
wajib," katanya.
Harussani
diminta mengulas amalan tazkirah yang dilaksanakan oleh banyak masjid
di seluruh negara pada malam-malam Ramadan dan lazimnya dilakukan di
antara solat tarawih.
Kerajaan Negeri Pahang melalui Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah
dan Tugas-tugas Khas Pahang Syed Ibrahim Syed Ahmad baru-baru ini
keluarkan arahan melarang ceramah atau tazkirah semasa solat tarawih dan
mana-mana masjid yang ingkar boleh dikenakan tindakan.
Alasannya, supaya solat tarawih tidak diganggu dengan penganjuran
ceramah atau tazkirah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam
reaksinya berkata keputusan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang itu
adalah berdasarkan perspektif negeri itu dan selaras bidang kuasa
kerajaan negeri.
Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam pada itu sifatkan langkah tersebut tidak
wajar dan lebih sebagai satu tindakan politik dan bersedia beri khidmat
bantuan guaman kepada penceramah yang dikenakan tindakan.
Pahang Daily Online
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.