Siapakah Dajjal?
Dajjal ialah seorang pemuda, berambut kerinting dan sebelah matanya
tersembul. (buta sebelah). Dajjal itu dari bangsa Yahudi dan pengikutnya
juga terdiri dari 70,000 bangsa Yahudi.
Di mana keluarnya Dajjal?
Dia akan muncul (dikenali) di antara Sham dan Iraq dan melakukan kemusnahan di serata tempat yang ia sampai.
Dakwaan Dajjal sebagai tuhan.
Dajjal akan mendakwa dialah tuhan dengan menunjukkan bukti-bukti seperti
dihidupkan orang mati setelah dipotong dua badannya. Dajjal akan
menjadikan kampung orang yang menerima dakwaannya sebagai tuhan menjadi
mewah dan makmur. Dan kampung orang yang enggan menerima dakwaanya
menjadi susah meleset. Namun orang yang kuat imannya akan berkata
“kamulah Dajjal”.
Makanan Mukmin di zaman Dajjal
Pada masa itu orang mukmin yang enggan mengakui dakwaan Dajjal sebagai
tuhan disekat bekalan makanan (tanah mereka terbiar, kering kontang dan
tiada tumbuhan untuk dimakan). Namun mereka tetap kenyang dengan
bertasbih iaitu berzikir dengan mengucapkan “Subhanallah“. Seperti dalam
hadith Nabi s.a.w:
"Makanan orang Mukmin pada zaman Dajjal adalah makanan para malaikat,
yakni memuliakan dan mensucikan Allah. Barangsiapa di zaman itu
memuliakan dan mensucikan Allah, maka baginya, Allah akan menghilangkan
kelaparan".
Berapa lama Dajjal bermaharajalela?
Dalam hadis diceritakan:
Kami bertanya, “Wahai Rasulullah, berapa lama ia bermaharajalela di
bumi? Baginda s.a.w. menjawab “Empat puluh hari - Hari yang pertama:
panjangnya seperti setahun. Hari yang kedua: panjangnya seperti sebulan.
Hari yang ke tiga : panjangnya seperti seminggu, manakala hari-hari
yang lain: seperti hari-hari kamu yang biasa” Kami bertanya lagi, “Wahai
Rasulullah, bagi satu hari yang seperti satu tahun, adakah sembahyang
sehari semalam memadai?”
Baginda s.a.w. bersabda, : “Tidak, tetapi kirakanlah masa untuk
mengerjakan sembahyang itu mengikut kadar masa yang biasa kamu lakukan.”
Gelaran Al Masih
Semasa Dajjal bermaharajalela, Allah akan menghantar Nabi Isa Al-Masih
turun di menara putih di timur Damsyik (Syria). Dajjal juga dikenali
dengan Al Masih, yang bermaksud banyak berjalan, Dajjal banyak berjalan
untuk menyesatkan manusia. Dajjal dan pengikutnya tidak boleh memasuki
Mekah dan Madinah kerana kedua bandar suci ini dikawal oleh malaikat
setiap kali mereka menuju ke sana, dipusingkan badan mereka ke arah
lain.
Pada masa itu juga berlaku “zalzalah” (gempa bumi) sehingga ada penduduk
Madinah yang tidak tahan lalu keluar dari situ. Akhirnya mereka menjadi
mangsa Dajjal. Seperti ditulis sebelum ini, Dajjal dibunuh oleh Nabi
Isa yang akan turun selepas Imam Mahdi.
Ujian Allah SWT menerusi makhlukNya yang bernama Al Masih Ad-Dajjal
adalah sebesar-besar ujian yang ditimpakanNya kepada ummat manusia yang
beriman. Tidak ada ujian lain yang menyamainya apakan lagi melebihinya.
Dalam hal ini, Rasulullah SAW ada bersabda:
"Sejak Allah SWT menciptakan nabi Adam AS sampai ke hari kiamat nanti
tidak ada satu ujianpun yang lebih dahsyat daripada Dajjal."
Sebelum kemunculan Dajjal, dunia Islam akan diuji dahulu oleh Allah SWT
dengan kemarau panjang selama tiga tahun. Pada tahun pertama, hujan akan
kurang sabanyak 1/3 daripada biasa, pada tahun kedua akan kurang 2/3
daripada biasa dan pada tahun ketiga hujan terus tidak turun. Umat
ketika itu akan dilanda kebuluran dan kemarau. Di saat itulah Dajjal
akan muncul membawa ujian. Dalam satu riwayat, penyokong Dajjal akan
memiliki bergunung roti (makanan) sedangkan orang-orang yang tidak
percaya dengannya berada dalam kelaparan dan kebuluran. Dalam hal ini,
sahabat RA bertanya kepada Rasulullah SAW: "Jadi apa yang dimakan oleh
orang Islam pada hari itu wahai Rasulullah?" Rasulullah SAW menjawab:
"Mereka akan merasa kenyang dengan bertahlil, bertakbir, bertasbih dan
bertahmid. Jadi zikir-zikir itu menggantikan makanan."
Dalam satu hadis riwayat Nuaim bin Hammad: "... Lalu Allah SWT
mengerahkan kepada Dajjal syaitan-syaitan yang ada di timur dan ada di
barat dan merekapun datang berbondong ke hadapan Dajjal dan menunjukkan
kesediaan mereka untuk mengikuti apa jua perintahnya. Mereka berkata
kepada Dajjal: "Gunakanlah kami untuk apa sahaja tujuanmu". Dajjal
menyahut "Ya! aku akan berbuat demikian. Maka pergikanlah kamu pada
kesekelian manusia dan usahakanlah supaya mereka meyakini bahawa aku
adalah tuhan mereka. Khabarkah kepada mereka bahawa aku telah membawa
untuk mereka syurgaku dan nerakaku."
Kemudian syaitan-syaitan itupun bertebaranlah di mukabumi dan masuk ke
rumah-rumah orang dengan bilangan yang sangat banyak, lebih dari seratus
syaitan untuk sebuah rumah. Syaitan-syaitan itupun menjelma dalam
bentuk ayah tuan rumah itu, dalam bentuk anaknya, saudara-saudaranya,
hamba-hambanya dan sahabat-sahabatnya. Mereka berkata kepada tuan rumah
itu: "Wahai fulan, apakah kamu mengenali kami?" Tuan rumah itu menjawab:
"Ya, saya kenal kamu semua. Ini ayahku, ini ibuku, ini saudara
perempuanku, ini saudara lelakiku."
Tuan rumah itu berkata lagi: "Apa khabar kamu semua?" Mereka
(syaitan-syaitan) menjawab: "Bahkan apa khabar engkau. Cuba ceritakan
kepada kami keadaan engkau."
Tuan rumah itu pun berkata: "Sesungguhnya telah diberitakan kepada kami
bahawa musuh Allah yang bernama Dajjal itu telah muncul (membuat
kerosakan)." Mereka (syaitan-syaitan) menjawab: "Janganlah engkau
terburu-buru berkata demikian. Janganlah engkau berkata demikian. Dajjal
itu sebenarnya tuhanmu yang dapat membuat sesuatu keputusan terhadap
nasibmu. Bersama dengannnya ada syurga dan neraka, ada sungai-sungai dan
ada banyak makanan. Sesungguhnya tiada makanan kecuali yang datang dari
sisinya, kecuali apa yang dikehendaki oleh Allah".
Ketika itu tuan rumah tadi berkata: "Kamu semuanya pembohong. Kamu
adalah syaitan-syaitan dan Dajjal itu adalah pembohong besar. Sebenarnya
Rasulullah SAW telah memberitahu kami akan keadaan yang sebenar dan
baginda SAW telah menyuruh kami berhati-hati dan baginda SAW telah
menyuruh kami supaya menjaga anak-anak kami. Maka tiada kata aluan untuk
kamu semua. Kamu adalah syaitan-syaitan. Dajjal itu musuh Allah SWT.
Dan sebentar lagi Allah SWT akan menurunkan nabi Isa bin Maryam untuk
membunuhnya."
Kalau tuan rumah itu berkata demikian akan surut dan diam lalu mereka
(syaitan-syaitan) segera pulang dengan hampa tangan dan kehinaan."
Dari Abi Umamah Al-Bahiliy RA, beliau berkata: "Rasululah SAW telah
berkhutbah di hadapan kami. Dalam khutbahnya itu Baginda SAW banyak
menyentuh masalah Dajjal. Baginda SAW telah bersabda: "Sesungguhnya
tidak ada fitnah (kerosakan) di muka bumi yang paling hebat selain
daripada fitnah yang dibawa oleh Dajjal. Setiap Nabi yang diutus oleh
Allah SWT ada mengingatkan kaumnya tentang Dajjal. Aku adalah nabi yang
terakhir sedangkan kamu adalah umat yang terakhir. Dajjal itu tidak
mustahil datang pada generasi kamu. Seandainya dia datang sedangkan aku
masih ada di tengah-tengah kamu, maka aku adalah sebagai pembela bagi
setiap mukmin. Kalau dia datang sesudah kematianku, maka setiap orang
menjaga dirinya. Dan sebenarnya Allah SWT akan menjaga orang-orang
mukmin.
"Dajjal itu akan datang nanti dari satu tempat antara Syam dan Iraq. Dan
mempengaruhi manusia dengan begitu cepat sekali. Wahai hamba Allah,
wahai manusia, tetaplah kamu. Di sini akan saya terangkan kepada kamu
ciri-ciri Dajjal, yang belum diterangkan oleh nabi-nabi sebelumku kepada
umatnya."
"Pada mulanya nanti Dajjal itu mengaku dirinya sebagai nabi. Ingatlah,
tidak ada lagi nabi sesudah aku. Setelah itu nanti dia mengaku sebagai
Tuhan. Ingatlah bahawa Tuhan yang benar tidak mungkin kamu lihat sebelum
kamu mati. Dajjal itu cacat matanya sedangkan Allah SWT tidak cacat,
bahkan tidak sama dengan baharu. Dan juga di antara dua mata Dajjal itu
tertulis KAF FA RA (KAFIR), yang dapat dibaca oleh setiap mukmin yang
pandai membaca atau buta huruf."
Di antara fitnah Dajjal itu juga dia membawa syurga dan neraka.
Nerakanya itu sebenarnya syurganya sedangkan syurganya itu neraka, yakni
panas. Sesiapa di antara kamu yang disiksanya dengan nerakanya,
hendaklah dia meminta pertolongan kepada Allah SWT dan hendaklah dia
membaca pangkal surah Al-Kahfi, maka nerakanya itu akan sejuk
sebagaimana api yang membakar Nabi Ibrahim itu menjadi sejuk. "
"Di antara tipu dayanya itu juga dia berkata kepada orang Arab:
"Seandainya aku sanggup menghidupkan ayah atau ibumu yang sudah lama
meninggal dunia itu, apakah engkau mengaku aku sebagai tuhanmu?" Orang
Arab itu akan berkata: "Tentu." Maka syaitan pun datang menyamar seperti
ayah atau ibunya. Rupanya sama, sifat-sifatnya sama dan suaranya pun
sama. Ibu bapanya berkata kepadanya: "Wahai anakku, ikutilah dia,
sesungguhnya dialah Tuhanmu."
"Di antara tipu dayanya juga dia tipu seseorang, yakni dia bunuh dan dia
belah dua. Setelah itu dia katakan kepada orang ramai: "Lihatlah apa
yang akan kulakukan terhadap hambaku ini, sekarang akan kuhidupkan dia
semula. Dengan izin Allah orang mati tadi hidup semula. Kemudian
Laknatullah Alaih itu bertanya: "Siapa Tuhanmu?" Orang yang dia bunuh
itu, yang kebetulan orang beriman menjawab: "Tuhanku adalah Allah,
sedangkan engkau adalah musuh Allah. Orang itu bererti lulus dalam ujian
Allah dan dia termasuk orang yang paling tinggi darjatnya di syurga."
Sabda Rasulullah SAW lagi:
"Di antara tipu dayanya juga dia suruh langit supaya menurunkan hujan
tiba-tiba hujan pun turun. Dia suruh bumi supaya mengeluarkan
tumbuh-tumbuhannya tiba-tiba tumbuh. Dan termasuk ujian yang paling
berat bagi manusia, Dajjal itu datang ke perkampungan orang-orang baik
dan mereka tidak mengakunya sebagai tuhan, maka disebabkan yang demikian
itu tanam-tanaman dan ternakan mereka tidak menjadi."
"Dajjal itu datang ke tempat orang-orang yang percaya kepadanya dan
penduduk kampung itu mengakunya sebagai Tuhan. Disebabkan yang demikian
hujan turun di tempat mereka dan tanam-tanaman mereka pun menjadi."
"Tidak ada kampung atau daerah di dunia ini yang tidak didatangi Dajjal
kecuali Makkah dan Madinah. Kedua-dua kota itu tidak dapat ditembusi
oleh Dajjal kerana dikawal oleh Malaikat. Dia hanya berani menginjak
pinggiran Makkah dan Madinah. Namun demikian ketika Dajjal datang ke
pergunungan di luar kota Madinah, kota Madinah bergoncang seperti gempa
bumi. Ketika itu orang-orang munafik kepanasan seperti cacing dan tidak
tahan lagi tinggal di Madinah. Mereka keluar dan pergi bergabung dengan
orang-orang yang sudah menjadi pengikut Dajjal. Inilah yang dikatakan
hari pembersihan kota Madinah. "
Dari Jabir bin Abdullah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:
"Dajjal muncul pada waktu orang tidak berpegang kepada agama dan jahil
tentang agama. Pada zaman Dajjal ada 40 hari, yang mana satu hari terasa
bagaikan setahun, ada satu hari yang terasa bagaikan sebulan, ada satu
hari yang terasa satu minggu, kemudian hari-hari berikutnya seperti hari
biasa." Ada yang bertanya: "Ya Rasulullah, tentang hari yang terasa
satu tahun itu, apakah boleh kami solat lima waktu juga?" Rasulullah SAW
menjawab: "Ukurlah berapa jarak solat yang lima waktu itu." Menurut
riwayat Dajjal itu nanti akan berkata: "Akulah Tuhan sekalian alam, dan
matahari ini berjalan dengan izinKu. Apakah kamu bermaksud menahannya?"
Katanya sambil ditahannya matahari itu, sehingga satu hari lamanya
menjadi satu minggu atau satu bulan. Setelah dia tunjukkan kehebatannya
menahan matahari itu, dia berkata kepada manusia: "Sekarang apakah kamu
ingin supaya matahari itu berjalan?" Mereka semua menjawab: "Ya, kami
ingin." Maka dia tunjukkan lagi kehebatannya dengan menjadikan satu hari
begitu cepat berjalan.
Rasulullah SAW telah mengajar kita supaya berlindung dengan Allah SWT
daripada godaan Al Masih Ad-Dajjal ini. Seperti yang di ajar baginda SAW
dalam doa tahiyyat akhir yang sunnat doa itu kita baca setiap kali kita
sembahyang. Doa itu adalah: "Ya Allah, aku berlindung dengan Engkau
daripada siksa api neraka Jahannam dan dari siksa kubur, dan dari fitnah
dalam kehidupan dunia dan fitnah setelah mati, juga aku berlindung
dangen Engkau daripada kejahatan fitnah Al Masih Dajjal."
Hadis riwayat Muslim Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesiapa yang HAFAL
10 ayat dari pertama surah Al-Kahfi, ia akan terpelihara dari godaan
Dajjal." (Dalam riwayat lain HAFAL 10 ayat terakhir surah
Al-Kahfi...wallahualam.
Kerajaan Rakyat
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.