SHAH ALAM – Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1996 telah menarik balik
kebenaran mengamalkan mazhab Syiah aliran Al–Zaidiyah dan Jaafariah di
Malaysia, menjadikan semua amalan Syiah tidak diterima di negara ini.
Fatwa itu menetapkan umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut
ajaran Islam berasaskan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah dari segi
akidah, syariah dan akhlak. Ajaran Islam yang lain daripada pegangan
Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan
undang-undang Islam.
Penyebaran apa-apa ajaran selain daripada pegangan Ahlul Sunnah Wal
Jamaah adalah dilarang. Penerbitan, penyiaran dan penyebaran sebarang
buku, risalah, filem, video dan lain-lain berhubung dengan ajaran Islam
yang bertentangan dengan pegangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah adalah
diharamkan.
Walaupun penegasan itu telah dibuat dan terdapat beberapa negeri sudah
mewartakan bahawa ajaran Syiah haram, tinjauan Sinar Harian mendapati
terdapat banyak laman-laman web dan sosial mengenai ajaran itu
disebarkan secara terang-terangan.
Beberapa laman sosial dengan berani mengakui diri mereka pengikut ajaran Syiah dan memburuk-burukkan mazhab lain.
Sebagai contoh, sebuah laman sosial yang menggelarkan diri mereka ‘I'm
Proud To Be Syiah’ mendakwa laman sosial itu milik mazhab Syiah Imamiyah
di Malaysia.
Penubuhan laman sosial itu bertujuan menjawab persoalan yang dibangkitkan pengikut Ahlul Sunnah Wal Jamaah.
Tidak kurang juga beberapa laman web khas untuk pengikut Syiah
ditubuhkan kononnya untuk menjawab segala kemusykilan berhubung fahaman
itu. ~sinar harian
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.