Terlalu
banyak cerita yang nak dikongsikan sepanjang aku di Sg Buloh. Patutlah
bila ditanya kepada bekas tahanan ISA, setiap hari dalam tahanan pasti
ada cerita baru..sedangkan aku hanya... berada di sana selama 3 hari 2
malam.
Cabaran aku sebenarnya telah bermula sebaik sahaja mengambil
keputusan supaya tidak dijamin…lawyer cuba pujuk, tapi aku nekad untuk
teruskan niat protes…Sudah kali keempat aku ditahan, tapi belum pernah
bermalam di lokap mahupun penjara.
Setelah 4
orang diikat jamin, tinggal lah aku seorang diri di dalam lokap
mahkamah Duta..kemudian dipindahkan bersama 35 banduan lain yang telah
selesai perbicaraan dan akan dibawa kembali ke penjara Sg Buloh.
Lokap
cukup bising dan ditambah dengan bau yang meloyakan. Aku dilihat seperti
orang asing, sorang-sorang datang berjumpa bertanyakan “ Kau ni kes
apa? Seksyen berapa? ”.
Apa yang
sudah menjadi kebiasaan banduan ni adalah menghafal seksyen-seksyen
yang berkaitan dengan kes mereka. Sorang ni cakap aku 39 (B) (kes
dadah), aku ni pulak seksyen 9 (kes senjata api), yang sorang ni pulak
seksyen 302 (kes bunuh), seksyen 376 (kes rogol) dan seksyen bla bla
bla. Sekali aku pun menjawab, “ Aku seksyen 4 Akta Hasutan ”.
Hah???
Semuanya ternganga mulut bila aku sebut kes yang aku dituduh. Tak pernah
dengar pun! Aku hanya mampu tersenyum, nanti lah aku cerita panjang.
Datang
sorang brader ni duduk sebelah aku, kepala masih botak licin dan hanya
sikit je rambut yang baru tumbuh. (seperti orang baru). Aku beranikan
diri bertanyakan soalan kepadanya dulu sebelum dia mula bertanya. “Abang
ni baru lagi ke duk lokap penjara? Dia jawab, baru jugak lah.
Ni dah
hari ke-90. Terkejut aku dibuatnya, hari ke-90 pun masih dikira baru.
Tapi aku nak tanye kau satu soalan ni, “ Siapa ketua polis negara
sekarang ni? Aku dengar-dengar dah tukar..Ya bang, dah tukar.
Dulu
Ismail Omar, sekarang Khalid Abu Bakar. Brader tu seolah-olah terkejut
dan mengeluh, “Alamak, susah la aku macam ni..” (Agaknya brader tu tahu
macam mana perangai KPN baru kot) Soalan kedua yang ditanya, PRU13 baru
ni sape menang ye? lagi terkejut aku dibuatnya. (dan baru aku tahu
betapa sengsaranya banduan, berita luar langsung tak tahu).
Datang
pulak sorang brader terus menunjukkan lagak sebagai orang lama, dan
kononnya niat hanya membantu. “ Kau ni masuk dalam penjara nanti, kau
duduk la dengan kami..selamat sikit kau ni, kalau tak nanti kau kena
buli..(dalam hati, boleh percaya ke mamat ni) Aku jawab, ok ok..
Kau ada
duit tak? Nanti nak beli rokok ke, roti ke, air minuman ke, aku boleh
tolong dapatkan..Nah, aku dah agak tu point sebenarnya. Aku hanya
tersengih dan jawab, “ Mana ada duit bang, dalam dompet ni ada la dua
ringgit..aku dah agak diorang ni memang nak “pau” duit.
Lepas
aku kena, yang lain pun turut kena “pau”. Ada yang bagi dan ada yang tak
bagi. Lepas diorang dapat duit tu, diorang gulung jadi kecik dan
diorang bungkus ketat-ketat dalam cebisan plastik roti Gardenia supaya
betul-betul mampat.
Kemudian (aku terpaksa cerita realiti), salah
seorang dari banduan memasukkan apa yang di istilahkan di penjara
sebagai “roket” ke dalam dubur. Itulah yang dinamakan proses
penyeludupan di penjara. Hanya mahkamah tempat mereka boleh seludup,
kalau penjara terlalu sukar.
Sebab itu ramai dari banduan ternanti-nanti
sekiranya mereka akan dibawa ke mahkamah, ia boleh diibaratkan sebuah
percutian setelah lama merengkok di Sg Buloh.
Dan
mereka akan menggunakan duit tersebut untuk berurusan di penjara kelak.
Aku dapat mengagak sebab pernah dengar cerita-cerita sebelum ni. Kali ni
aku lihat dengan mata kepala sendiri!
Apalah nasib aku nanti kat
penjara, dalam lokap mahkamah pun dah jadi macam-macam. Hampir jam 4
petang, aku masih belum solat zohor dek kerana urusan yang terlampau
birokrasi.
Aku buat keputusan, biarlah aku solat dalam lokap ni sahaja
walaupun berbau air kencing yang teramat sangat. Perangai banduan, faham
saja lah bagaimana. Aku ambil wudhu dan terus ambil penjuru hujung
lokap yang padat dengan banduan.
Sejurus aku mengangkat takbir, seorang
konstabel polis menjerit, “ Nanti !!. ni ambik sejadah ”. Mujurlah, aku
ingatkan masih tak dibenarkan solat tadi.
Usai aku
solat, rupanya 4 ke 5 orang sedang menantikan aku habis solat untuk
bergilir-gilir menunaikan solat Zohor kerana waktu sudah hampir tamat.
Dalam hati terdetik, alhamdulillah..satu dakwah aku buat mereka..aku
mulakan, dan mereka terus mengikut…
Hampir
jam 5 petang barulah selesai semua urusan di mahkamah..dan aku dengan 35
banduan disumbat-sumbat sehingga muat ke dalam black maria untuk dibawa
ke penjara Sg Buloh.
Semua terpaksa berhimpit-himpit dengan gari yang
berantai. Kesian betul aku pada seorang banduan yang aku rasa sudah
warga emas (kantoi kes dadah) terpaksa berhimpit dan kadang-kadang aku
tengok sehingga sesak nafas. Inilah nasib banduan rupanya.
Kami
diiringi dua kereta peronda polis dan aku agak hanya lebih kurang 30
minit kami sudah tiba di penjara Sg Buloh.(memandangkan aku selalu
ulang-alik ke rumah isteriku di Sg Buloh) Mana tidaknya, kami semua dah
macam ikan sardin disumbat dalam black maria dan di bawa pecut laju
semahunya.
Tak kira lubang jalan ke, selekoh ke redah saja. Nasib kami
aku lah. Aku hanya mampu berzikir dalam hati “cukuplah Allah sebaik-baik
pelindung”.
Sesampainya
kami di Penjara Sg Buloh, semua bergegas turun. Kedengaran laungan dari
jauh, “ Wei, cepatlah sikit ”. Brader sebelah aku cakap, “ Ha, cikgu
sudah datang ”.
Baru aku tahu. Oh itulah istilah mereka untuk pegawai
penjara. Mereka semua dipanggil ‘Cikgu’. Dan ada yang satu lagi
dipanggil U.K.P. (nanti aku cerita) Mereka ini lagi digeruni daripada
cikgu-cikgu.
Kami
semua diminta beratur dihadapan sebuah pintu besi yang berwarna hijau.
Semua banduan baru termasuk aku hanya diam membisu menantikan apa yang
ada di sebalik pintu besi ini.
Kemudian kami diminta masuk dengan pantas
setelah pintu dibuka. Aku agak pintu itu setebal 6 ke 7 inci tebalnya.
Cukup kukuh dan menggerunkan! Bermulalah kehidupan aku di penjara Sg
Buloh…
BERSAMBUNG ....

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.