PKR hari ini mendedahkan dua laporan polis berhubung dakwaan penipuan yang berlaku semasa proses pengundian awal bagi pilihan raya umum ke-13 yang lalu.
Pengarah strateginya, Rafizi Ramli berkata, salah satu laporan berkenaan adalah mengenai kejadian di Melaka, berhubung tindakan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang didakwa mengira kertas undi sebelum masa yang ditetapkan.
Laporan kedua adalah berhubung kejadian peti undi yang didakwa lewat tiba di satu pusat pengiraan undi di Gerik, Perak sehingga menyebakn kiraan undi tersebut ditolak.
"Wujud perkara yang meragukan dalam undi awal apabila tidak sampai 8 peratus pun dalam kebanyakan keputusan pilihan raya yang tidak berpihak kepada Pakatan.
"Jadi dalam keadaan kita ada 250,000 undi awal, hari ini kita tampilkan perkara yang meragukan seperti ini," katanya dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.
Dalam kejadian di Melaka itu, ejen pusat mengundi PKR Abu Hussin Tamby mendakwa melihat antara tujuh hingga lapan orang individu yang memakai baju seragam SPR sedang mengira kertas undi di satu lokap polis.
Dakwanya, peti undi bagi pengundian awal tersebut dibawa dari pusat pengundian awal di balai polis Lubok China ke lokap di ibu pejabat polis daerah Alor Gajah pada 30 April lalu.
Sedangkan, peraturan SPR menetapkan agar kertas undi awal tersebut dikira dan peti undi tersebut dimaterai di tempat pengundian awal lagi, katanya dalam laporan polis bertarikh 2 Mei.
"Selepas selesai mengiringi untuk menyimpan peti undi awal di dalam lokap saya sempat lagi melihat petugas-petugas yang memakai baju SPR sedang mengira kertas-kertas undi," kata Abu Hussin, 42 dalam laporannya.
Dalam kejadian di Gerik, Perak pula, ejen tempat mengundi parti tersebut Shairi Md Tajuddin dalam laporannya mendakwa karung undi awal dari satu pusat pengundian di Pengkalan Hulu tidak sampai ke tempat pengiraan undi dalam masa yang ditetapkan pada hari pengundian 5 Mei.
Beliau menyalahkan SPR atas kelewatan perkara berkenaan, yang didakwa menyebabkan undi awal berkenaan ditolak, kata Shairi, 48, dalam laporan bertarikh 15 Mei itu.
“Saya beranggapan ini adalah salah laku yang disengajakan oleh pihak SPR bagi tujuan penyelewengan undi bagi memberi kemenangan kepada Umno/BN di parlimen Gerik dan DUN Pengkalan Hulu,” katanya dalam laporan tersebut.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.