Followers

Thursday, April 18, 2013

BN mahu beri pengajaran pada 'pengkhianat' di Tuaran - Aidila Razak

 
   
BN Tuaran, Sabah berikrar memberikan pengajaran kepada anggota Parlimen yang kini calon Pakatan Rakyat Datuk Seri Wilfred Bumburing kerana menjadi "pengkhianat" kepada parti pemerintah.

"Rakyat Tuaran sokong BN dan bila menang dia lari dengan kerusi itu.

"Rakyat Tuaran tahu perbezaan antara mereka yang menghormati perjuangan rakyat dan oportunis yang mengkhianati harapan rakyat," kata Pengerusi BN Tuaran Hajiji Noor dalam ceramah malam tadi.

Hajiji berkata, kejayaan di Tuaran akan dijadikan hadiah rakyat kepada Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak, supaya beliau boleh membentuk kerajaan persekutuan di Putrajaya.

Ucapan itu disahut sorakan gamat "Tetap BN" oleh kira-kira 2,000 hadirin, kebanyakannya memakai kemeja-t seragam BN yang diedarkan semasa acara itu.

PKR semalam mengumumkan Bumburing akan mempertahankan kerusi Tuaran menggunakan lambang parti mereka.

Dalam pilihan raya umum lalu, Bumburing mengalahkan calon PKR Ansari Abdullah dengan majoriti 17,645 dalam persaingan tiga penjuru dengan seorang calon bebas.

Ansari tidak terpilih sebagai calon dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei ini.


Malaysiakini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.