KUALA LUMPUR, 5 Jan — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini berkata, pihak NGO yang mengadu kepada PKR adalah tidak beretika kerana mereka dilantik untuk memantau pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) dengan tidak memihak kepada mana-mana parti politik.
Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar turut
menolak dakwaan dari Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution
Ismail bahawa SPR menyekat pemerhati NGO ini dari memantau pilihan raya.
“Saya
dah kata dalam banyak kenyataan sebelum ini, kenapa NGO-NGO ini perlu
nak mengadu kepada PKR yang merupakan sebuah parti politik?
“Kalau NGO ini benar-benar mahu menjadi pemerhati (pilihan raya), ia harus bebas dari mana-mana parti politik,” kata Wan Ahmad (gambar) apabila dihubungi The Malaysian Insider.
Menurut Wan Ahmad lagi, pihak SPR menemui kesemua NGO yang
mahu menjadi pemerhati dalam pilihan raya yang akan berlangsung pada
tahun ini.
“Asas pelantikan NGO-NGO ini ialah berkecuali, itu syarat utamanya.
“Tapi saya sangat sedihlah, kalau NGO-NGO ini pergi mengadu dengan PKR, ini tidak beretika.
“(Datuk) Saifuddin Nasution (Ismail) ini pandai-pandai bercakap, tak patut macam ini,” kata Wan Ahmad lagi.
Pada Rabu lalu, Saifuddin dalam sidang medianya SPR
mendakwa masih lagi menyekat enam badan pemerhati tersebut daripada
memantau keseluruhan proses pilihan raya secara bebas.
Antara badan pemerhati yang SPR bercadang untuk memberi
akreditasi terdiri daripada enam badan bukan kerajaan (NGO) termasuk
Transparency International Malaysia (TI-M), Merdeka Center, Institut
Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Pusat Kajian Polisi Awam
(CPPS), Majlis Belia Malaysia (MBM), dan Persatuan Promosi Hak Asasi
Manusia (Proham).
Wan Ahmad pada esoknya berkata, pemerhati tidak dibenar
bercakap dengan mana-mana agen parti dan petugas SPR di pusat mengundi
supaya tugas mereka tidak terganggu di samping tidak dibenar bercakap
kepada media bagi mengelak berlaku pelbagai kenyataan dimanipulasi oleh
pihak tidak bertanggungjawab.
“Mereka yang dilantik adalah mengikut undang-undang dan
tertakluk kepada akujanji pelantikan yang tidak membenarkan mereka
berkomunikasi dengan pihak ketiga sebelum laporan hasil pemantauan
diserah kepada SPR,” katanya.
“Adalah tidak logik pemerhati dibenar untuk menemuduga
petugas SPR yang dilantik, jangan cakap kalau tiada fakta yang betul,
saya cabar Saifuddin untuk dapatkan kepastian penjelasan daripada SPR
sendiri.”
Hari ini, Wan Ahmad dilaporkan berkata pihak pemerhati haruslah menyampaikan apa yang mereka tidak puas hati kepada SPR.
“NGO ini boleh dilihat sebagai penyampai maklumat kepada
parti-parti politik. Ini jelas melanggar kerahsiaan yang pihak NGO perlu
tahu. SPR telah memberitahu beberapa kali bahawa perbincangan ini
adalah rahsia.
“Mereka ini tidak beretika. Kita juga mahu tahu yang mana
antara mereka yang membuka mulut,” kata Wan Ahmad menurut laporan dari
The Star.
Beliau juga menolak dakwaan Saifuddin pemantau bebas tidak
dibenarkan memantau proses pengiraan undi, dengan berkata mereka juga
dibenarkan untuk melihat pengiraan tersebut.
“Pengiraan undi adalah penting dalam proses pilihan raya,
bagaimana kita boleh tidak benarkan mereka memantau? Tetapi kita tak
boleh nak beri kepada semua sebab kita tidak cukup ruang.
“Agen kepada calon akan hadir untuk memantau sendiri (proses pengiraan undi).
“Saya tak tahu sama ada NGO tersebut tidak faham apa yang
kami katakan, atau parti politik tersebut memutarbelitkan isu,” katanya
lagi.
Penguatkuasaan tugas mereka selaku pemerhati hanya akan bermula apabila Parlimen dibubar.
Malaysia Insider
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.