Followers

Wednesday, January 2, 2013

Amanat Hadi: Rais patut jemput PM sekali, kata Pas

SHAH ALAM - Pas menyindir Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim yang berkata mufti dan tokoh agama akan menyertai Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di televisyen dalam sesi penjelasan berkaitan polemik Amanat Haji Hadi.

Sehubungan itu, Pas berkata adalah lebih baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut hadir.


Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak di televisyen bersama Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah lebih baik.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata, jemputan dibuat itu adalah perkara kedua, yang penting bagi Pas penjelasan amanat presiden perlu dibuat secara langsung di televisyen.

Beliau berkata, peluang dan ruang yang adil perlu diberi kepada rakyat tanpa mengira ideologi politik di media.

"Bagi saya yang penting perkara itu dapat dijelaskan dan disegerakan.

"Namun perkara yang berkaitan jemputan ini nombor dua, yang penting penjelasan yang akan disampaikan Presiden nanti adalah secara langsung," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Dalam laporan media kelmarin, Rais berkata, tokoh agama dan mufti akan turut dijemput untuk bersama dalam forum yang akan memberi peluang buat julung kalinya kepada Hadi bagi memperjelas amanatnya yang telah memecah-belahkan umat Islam di Malaysia.

Rais berkata, Hadi tidak boleh membuat keputusan bersendirian dan terlalu yakin dengan kebolehan dirinya yang berlatarbelakangkan pendidikan agama "kerana sentiasa ada orang yang lebih bijak daripada kita."

"RTM adalah hak rakyat dan ia boleh diguna untuk menjelaskan sesuatu perkara, tapi bukan satu saluran sahaja (Hadi seorang), ia mesti disertai oleh pihak-pihak yang juga ada ilmu, nas dan pengalaman," katanya.

Mengulas lanjut, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, kerajaan perlu adil dan tidak membezakan hak untuk rakyat menggunkan saluran media sedia ada.
   
 

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.