Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim menyifatkan negara akan ditimpa satu musibah besar sekiranya masalah pengubahan wang haram tidak ditangani segera.
"Selagi rasuah, penyelewengan, tiada disiplin dan tatakelola telus, kedudukan ekonomi tidak dapat dipacu dengan lebih meyakinkan dan nasib rakyat tak dapat dibela," katanya pada sidang media di ibu pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, hari ini.
Menurut Anwar, peningkatan tiga kali ganda jumlah pengaliran keluar wang haram ini pada 2010 membuktikan kegagalan pimpinan Najib mengendalikan dasar ekonomi negara dengan telus.
"Jumlahnya meningkat 111 peratus. Dari USD30.41 bilion pada 2009 atau RM94.27 bilion meningkat kepada USD64.38 bilion atau RM199.58 bilion pada 2010," ujar beliau.
"Bagaimana Najib hendak pertahankan rekod pengurusan ekonomi dengan peningkatan hutang yang besar RM540 bilion dalam masa yang sama pengaliran keluar yang menjadi rekod dunia bagi satu ekonomi yang dianggap kecil berbanding ekonomi besar yang lain.
"Selepas empat tahun menjadi Menteri Kewangan, yang beliau hanya boleh menggunakan media untuk menyerang dan tidak boleh menjawab isu pokok bila isu RM500 bilion hutang yang dikeluarkan daripada negara itu langsung tidak disentuh," ujar Anwar.
Tambahnya, KEADILAN memandang serius sikap "acuh tidak acuh" Najib Altantuya dan pentadbirannya dalam menangani masalah aliran keluar wang haram ini.
"Hari ini saya akan menulis surat kepada Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara, Global Financial Integrity (GFI) dan Menteri-menteri Besar dan Ketua Menteri Pakatan Rakyat untuk menjemput mereka menganggotai wacana membanteras aliran keluar wang haram yang dijangka diadakan dalam bulan Januari 2013," jelas Anwar.
Tegasnya lagi, beliau percaya negara memerlukan pendekatan membina untuk menyelesaikan masalah ini.
KENYATAAN MEDIA
20 DISEMBER 2012
ALIRAN KELUAR WANG HARAM: KEDUDUKAN MALAYSIA BUKTI LEMAHNYA TATA KELOLA DAN BERLELUASANYA RASUAH
Laporan terbaru
oleh Global Financial Integrity (GFI) meletakkan Malaysia sebagai negara
kedua paling teruk dalam senarai aliran keluar wang haram (illicit
financial flows) di kalangan negara-negara membangun di seluruh dunia
bagi tahun 2010. Walaupun ini sudah diduga, namun jumlah besar wang
haram yang dipindahkan keluar dari Malaysia di antara tahun 2000 hingga
2010 tetap mengejutkan negara.
GFI memantau aliran keluar
wang haram dengan menggunakan kaedah ekonomi yang diterimapakai di
seluruh dunia. Kajian GFI adalah satu-satunya kajian seumpamanya yang
dijadikan kayu ukur di seluruh dunia. Makanya, dapatan kajian GFI yang
meletakkan Malaysia di kedudukan tercorot sewajarnya diambil serius oleh
semua pihak di Malaysia.
Malaysia adalah sebuah
negara yang ekonominya bergantung kepada perdagangan antarabangsa.
Kegiatan eksport dan import melibatkan aliran wang keluar masuk dan
perpindahan dana pelaburan yang saban hari menjadi lebih rumit. Oleh
itu, dapatan kajian GFI ini memberi gambaran besarnya ketirisan ekonomi
dalam negara dipindahkan ke luar negara yang akhirnya merugikan rakyat.
Sebab itu saya memulakan siri
sidang akhbar mingguan saya menjelang Pilihanraya Umum 13 (PRU13) ini
dengan memberi fokus kepada krisis aliran keluar wang haram. Ia menjadi
bukti bahawa rasuah, penyelewengan dan tiadanya disiplin tata kelola
yang telus akhirnya akan meranapkan kedudukan ekonomi Malaysia yang
dibina selama ini.
Dalam laporannya, GFI menggariskan tiga aspek utama yang mempengaruhi jumlah aliran keluar wang haram sesebuah negara, iaitu:
- Isu-isu makroekonomi sesebuah negara yang bersabit rapat dengan persepsi rasuah dan berleluasanya rasuah;
- Saiz ekonomi haram dari kegiatan-kegiatan haram seperti kongsi gelap, perjudian tanpa lesen dan lain-lain; dan
- Penguatkuasaan undang-undang yang lemah oleh institusi yang dipertanggungjawabkan menyebabkan tiadanya disiplin tata kelola pentadbiran ekonomi yang baik
Oleh
itu, jumlah aliran keluar wang haram yang meningkat 111% dari angka
USD30.41 bilion (bersamaan RM94.27 bilion) pada tahun 2009 kepada
USD64.38 (bersamaan RM199.58 bilion) dalam tahun 2010 adalah bukti
kegagalan Dato’ Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri
Kewangan dalam menguruskan ekonomi negara.
Jika dibandingkan dengan
negara-negara yang sama-sama menduduki tempat tercorot dari segi jumlah
aliran keluar wang haram iaitu China, Mexico dan Arab Saudi (selain
Malaysia), Malaysia adalah satu-satunya negara yang menyaksikan jumlah
aliran keluar wang haramnya meningkat satu kali ganda dalam tempoh
setahun antara 2009 hingga 2010.
Tempoh 2009 dan 2010 ini
adalah tempoh kritikal pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak yang
menggambarkan dasar dan pendekatan ekonomi yang beliau laksanakan.
Justeru, peningkatan satu kali ganda aliran keluar wang haram di dalam
tempoh ini membuktikan bahawa dasar dan pendekatan ekonomi beliau gagal
membanteras rasuah, gagal menyekat aktiviti jenayah yang menjadi dalang
ekonomi haram dan gagal memperkuatkan institusi negara untuk
membudayakan tata kelola yang baik.
Oleh sebab itu, saya
melontarkan jemputan yang tidak putus-putus kepada beliau untuk berdebat
mengenai pengurusan ekonomi negara demi kebajikan rakyat. Saya yakin
isu yang paling menarik minat rakyat dalam PRU13 ini adalah tata kelola
pengurusan ekonomi yang baik, makanya Dato’ Seri Najib Tun Razak harus
mempertahankan rekod pengurusan ekonomi beliau.
Setakat ini, rekod
pengurusan ekonomi beliau tidak memberangsangkan. Selepas empat tahun
menjadi Menteri Kewangan, beliau masih belum menyelesaikan masalah pokok
ekonomi rakyat seperti kenaikan harga barang, perumahan rakyat yang
tidak mencukupi, gaji yang tidak meningkat dan rasuah yang berleluasa.
Pada peringkat pengurusan ekonomi makro pula, beliau masih gagal menyelesaikan masalah hutang negara, defisit belanjawan yang berpanjangan dan terkini, aliran keluar wang haram yang meningkat satu kali ganda di bawah pentadbiran beliau.
Pada peringkat pengurusan ekonomi makro pula, beliau masih gagal menyelesaikan masalah hutang negara, defisit belanjawan yang berpanjangan dan terkini, aliran keluar wang haram yang meningkat satu kali ganda di bawah pentadbiran beliau.
Jika prestasi ini tidak berubah, ia akan membawa musibah besar kepada ekonomi negara dan kebajikan rakyat.
Sebab itu, saya memandang
serius sikap acuh tidak acuh Dato’ Seri Najib Tun Razak dan pentadbiran
beliau dalam menangani masalah aliran keluar wang haram ini. Sehingga
kini, masih belum ada jawapan dari beliau mengenai kegagalan dasar
ekonomi beliau hingga melonjakkan Malaysia ke tempat kedua paling corot
dalam tahun 2010 dari segi jumlah wang haram.
Saya dan rakan-rakan
Pakatan Rakyat akan mengambil inisiatif untuk membawa pihak-pihak
terbabit ke meja rundingan untuk mendalami masalah ini dan memuktamadkan
pelan tindakan membanteras aliran keluar wang haram.
Hari ini, saya akan menulis
kepada Tan Sri Zeti Akhtar, Gabenor Bank Negara, GFI dan
Menteri-menteri Besar/Ketua Menteri Pakatan Rakyat untuk menjemput
mereka menganggotai wacana membanteras aliran keluar wang haram yang
dijangka diadakan dalam bulan Januari 2013.
Saya percaya negara
memerlukan pendekatan membina untuk menyelesaikan masalah ini. Langkah
segera perlu diambil dengan memuktamadkan pelan tindakan yang perlu
dilaksanakan, bukannya dengan mengelak dari menjawab isu seperti mana
gelagat Dato’ Seri Najib Tun Razak setakat ini.
ANWAR IBRAHIM

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.