Umno sengaja guna Utusan yang jahil...
Ketua Dewan Ulama PAS, Dato' Ustaz Harun Taib memberikan penjelasan
panjang lebar tentang kejahilan Umno memahami Kanun Syariah Kelantan dan
Terengganu. Sekaligus menjawab tohmahan Dr Chua Soi Lek yang mendapat
nasihat dari ulam amuda Umno, Fathul Bari Mat Jaya: Jom baca dan telaah
dengan hati yang terbuka :
Utusan Malaysia masih jahil tentang
hukuman hudud yang terkandung di dalam Al-Quran dan Hadis. Melalui
artikel yang disiarkan dalam akhbar itu yang bertajuk "Polemik Hukum
Hudud PAS" menyerlahkan bagaimana akhbar itu telah digunakan oleh pihak
tertentu untuk memburukkan usaha PAS dalam memberikan penjelasan
berkenaan hudud.
Dalam artikel tersebut telah mempersoalkan
bagaimana terdapat dua versi Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan dan
Terengganu, kita ingin menegaskan bahawa pengarang tersebut telah hilang
fokus dalam perbincangannya, perbezaan versi ini adalah termasuk dalam
bab teknikal dan bukannya isu pokok.
Apa yang kita bahaskan
sekarang ialah berkenaan dengan pokok iaitu memberikan penjelasan
berkenaan keindahan hukum hudud dan Utusan tidak memainkan peranan ini
selaku akhbar milik orang Islam.
Fakta-fakta yang dikemukakan
oleh penulis tersebut juga cukup mengelirukan para pembaca, sedangkan
apa yang diusahakan oleh Kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu
berdasarkan pandangan para ulamak yang muktabar yang diiktiraf keilmuan
mereka, ianya bukan hudud PAS tetapi ianya merupakan hudud yang
berdasarkan disiplin ilmu Islam yang berpaksikan Al-Quran dan As-sunnah.
Adapun berkenaan dengan dakwaan bekas Setiausaha Dewan Ulamak PAS
Kelantan seperti mana yang dilaporkan dalaman artikel itu, Hukum Hudud
yang diperjuangkan PAS tidak berlandaskan Al-Quran dan Sunnah adalah
dakwaan yang tidak benar dan menyeleweng.
Berkenaan isu liwat
dan umur aqil baligh dalam enakmen tersebut, ianya telahpun dijawab
Dewan Ulamak sebelum ini tetapi sebagai manfaat bersama, ulamak tidak
keberatan mengulanginya.
Adapun dakwaan Penasihat Agama Menteri
Besar Terengganu, Mohd Kamal Saidin yang mempertikaikan umur bagi
mukallaf adalah 15 tahun dan bukannya 18 tahun menggambarkan beliau
jahil tentang perbahasan para ulmak.
Berkenaan dakwaan had umur
18 tahun bercanggah dengan hukum syarak, masalah berkenaan had baligh
seseorang muslim itu, sebenarnya ianya adalah perkara khilafiah, ianya
bukan suatu yang qat’ie.
Ada ulamak dalam mazhab Syafie kata
15 tahun, barulah seseorang itu dianggap baligh. Kalau dalam mazhab
Hanafi, mereka kata 18 tahun barulah dikira sebagai mukallaf. Jadi dalam
isu yang beliau bangkitkan ini, maka kita mengambil had umur yang
paling tinggi supaya tidak berlaku masalah khilafiah.
Sebagai
contoh, kalau diambil umur 15 tahun, nanti apabila perbicaraan diadakan,
mungkin pihak peguam tertuduh akan mendakwa anak guaman bermazhab
Hanafi, semata-mata untuk lari daripada hukuman.
Jadi kita
ambil pandangan 18 tahun supaya tidak berlaku at-tahayul atau helah
dalam perbicaraan di samping ianya merupakan petunjuk kepada tahap
baligh dan kematangan atau dikenali sebagai 'sinnu rusyd', itu hanya
sebahagian sebab mengapa kita pilih 18 tahun dan di sana masih ada
sebab-sebab lain yang boleh kita rujuk kepada buku-buku feqah.
Berkenaan dakwaan meliwat isteri yang didakwa oleh seorang ahli parlimen
yang seolah-olah dilihat dibenarkan dalam enakmen hudud yang
dikemukakan PAS, adalah dakwaan yang melambangkan kejahilan orang yang
membangkitkan isu ini.
Liwat di antara suami isteri tidak
termasuk di dalam hukum hudud tetapi bukan bererti perbuatan itu tidak
salah. Perbuatan itu tetap salah, cuma tidak termasuk dalam hukum hudud
dan dari sudut hukuman tetap ia akan dikenakan hukum takzir.
Mengapa ianya dikenakan hukuman takzir dan bukannya hudud? Jawapannya ialah kerana berlaku syubhah di situ.
Untuk makluman beliau, dalam perlaksanaan hudud, seperkara yang mesti
diambil kira dalam pelaksanaan ialah pelaksanaan hukuman hudud mesti
meraikan satu kaedah yang penting iaitu yudra’ul hudud bi syubhat iaitu
hudud itu tidak boleh dilaksanakan sekiranya ada syubhah.
Persoalannya di mana syubhah itu dalam kes ini? Syubhahnya ialah
hubungan suami isteri itu sendiri atau dalam istilah feqahnya ialah
syubhatul milk iaitu syubhah kerana isteri itu adalah milik suami tidak
sepertimana dalam kes kesalahan hudud yang beliau nyatakan - pasangan
yang bersalah tersebut tidak mempunyai hubungan yang sah dari sudut
syarak, ianya adalah berbeza dengan kesalahan liwat suami isteri.
Pengarang tersebut tidak sepatutnya membaca sepintas lalu dan terus
menjatuhkan hukuman tanpa merujuk kepada para ulama kerana pengetahuan
hukum syarak ada disiplinnya yang tersendiri, bukannya mengikut akal
fikiran manusia yang lemah.
Sebelum ini Dewan Ulamak telah
memberikan penjelasan berkenaan perkara tersebut secara rasmi. Dakwaan
yang menyatakan Ulamak PAS gagal memberikan penjelasan berkenaan dakwaan
ahli parlimen tersebut adalah dakwaan yang tidak benar sama sekali.
Isu hukum hudud yang hanya dilaksanakan ke atas orang Islam manakala
orang bukan Islam diberikan pilihan, Enakmen Kelantan dan Terengganu
jelas menerangkan bahawa enakmen ini terpakai kepada orang Islam dan
orang bukan Islam secara mutatis mutandis iaitu mereka yang bukan
beragama Islam diberikan pilihan untuk memilih samada ingin diadili
dengan hukum Islam ataupun memilih untuk dibicarakan mengikut
undang-undang mereka.
Ini adalah berdasarkan ayat al-Quran
daripada surah al-Maidah ayat 42 yang bermaksud: "Apabila mereka(orang
yang bukan Islam) datang kepada kamu untuk diadili, hendaklah kamu adili
mereka (dengan Islam) atau biarkan mereka (untuk membuat pilihan),
sekiranya mereka enggan ianya tidak memudaratkan kamu, apabila kamu
mengadili manusia hendaklah kamu berlaku adil seadil-adilnya."
Ianya jelas berdasarkan peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah
SAW, apabila orang bukan Islam khususnya Yahudi yang datang bertemu
Rasulullah untuk menyelesaikan kes mereka yang berkaitan hudud, lalu
Allah SWT memberikan pilihan kepada nabi sama ada mengadili dengan hukum
Islam atau sekiranya mereka enggan mereka boleh menyelesaikan
pertikaian itu berdasarkan undang-undang mereka sesama di kalangan
mereka.
Ini nas al-Quran. Al-Quran memberitahu sekiranya kamu
mengadili mereka hendaklah berlaku seadil-adilnya. Mazhab Syafie
menyatakan adil di sini ialah hukum Islam.
http://www.detikdaily.net/
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.