HONG KONG 22 November: Satu laporan baru dikemukakan kepada jawatankuasa
semakan Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah Hong Kong (ICAC) pagi ini
untuk mendesak kes rasuah RM40 juta melibatkan Ketua Menteri Sabah, Musa
Aman, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Nazri Aziz dan jutawan
balak, Michael Chia dibuka semula.
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli dalam twitternya pagi tadi.
Menurutnya, beliau bersama rombongan yang disertai beberapa wakil rakyat
Malaysia itu akan membekalkan maklumat baru berhubung skandal tersebut.
“Pagi ini, saya bersama Leong Jee Keen, Hee Loy Sian, Chang Lih Kang
akan buat laporan baru dan beri maklumat baru kepada ICAC agar kes RM40
juta disiasat semula,” katanya.
“Ahli-ahli Majlis Perundangan Hong Kong akan desak ICAC siasat rasuah RM40 juta,” jelas beliau.
“Saya juga menyambut baik kenyataan Ketua Pendakwaraya Hong Kong bahawa
beliau sudi untuk membuka semula kes ini jika ada bukti baru.
“KEADILAN akan menumpukan sepenuh perhatian untuk mengumpulkan
bukti-bukti baru ini agar satu siasatan dapat dimulakan segera oleh
ICAC,” katanya lagi dalam kenyataan dari Hong Kong.
Rafizi bersama rombongan berlepas ke negara itu semalam untuk memulakan proses permohonan membuka siasatan kes itu.
Mengikut Rafizi, beberapa perkara dapat disahkan berdasarkan laporan wawancara Free Malaysia Today kelmarin bersama Ketua Pendakwaraya Hong Kong, Kevin Zervos mengenai siasatan kes rasuah RM40 juta itu.
Antaranya, pihak berkuasa Malaysia sama ada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),
Peguam Negara atau kedua-duanya sekali yang memaklumkan kepada ICAC
bahawa wang RM40 juta adalah sumbangan politik kepada Umno.
Katanya,
ternyata RM40 juta memang dibekukan di dalam sebuah akaun Michael Chia
(walaupun namanya tidak disebut) dan disyaki pihak berkuasa Hong Kong
disimpan bagi pihak Musa Aman (walaupun namanya tidak disebut).
“Keterangan Kevin Zervos itu mengesahkan Nazri Aziz tidak berterus
terang di Dewan Rakyat baru-baru ini apabila beliau memaklumkan bahawa
keputusan ICAC menghentikan siasatan adalah oleh kerana ICAC mendapati
wang RM40 juta tersebut adalah sumbangan kepada Umno.
“Datuk Seri Nazri Aziz sekali-kali tidak pernah menyatakan kepada Dewan
Rakyat bahawa ICAC terpaksa menghentikan siasatan kerana dimaklumkan
oleh pihak berkuasa Malaysia bahawa wang RM40 juta itu adalah sumbangan
politik.
“Apabila pihak berkuasa Malaysia yang memaklumkan perkara tersebut
kepada ICAC, ia mengesahkan desas-desus selama ini bahawa ICAC terpaksa
menghentikan siasatan kerana tidak mendapat kerjasama sepenuhnya dari
pihak berkuasa Malaysia.
“Malah, kenyataan Kevin Zervos
itu adalah lebih berat, kerana ia membayangkan bahawa pihak berkuasa
Malaysia (sama ada SPRM, Peguam Negara atau kedua-duanya sekali)
bersekongkol untuk menghentikan siasatan terhadap Datuk Seri Musa Aman
dan Michael Chia dengan memberikan maklumat yang tidak tepat mengenai
wang RM40 juta itu, tanpa siasatan yang telus dan bebas,” jelas Rafizi.
Beliau juga yakin pihak berkuasa Malaysia tidak pun menyerahkan
bukti-bukti dan hasil siasatan yang menyokong kesimpulannya bahawa RM40
juta itu adalah sumbangan politik yang berpunca dari hasil yang sah di
sisi undang-undang.
Sebelum ini, Chia yang rapat dengan Musa ditahan di Hong Kong berikutan disyaki terlibat dalam penggubahan wang haram RM40 juta.
Taikun balak itu menyatakan wang berkenaan milik Musa tetapi pemimpin
Umno terutama Nazri mendakwa ia adalah dana untuk Umno Sabah.
KEADILAN kemudian mendedahkan Chia menaja kenderaan mewah, Hummer kepada anak Nazri yang bermati-mati mempertahankan Chia.
Kerajaan Rakyat
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.