Ketua Audit Negara, Ambrin Buang berkata Jabatan Audit Negara (JAN)
merupakan sebuah badan yang bebas daripada kuasa politik dan semua
urusan pengauditan dilaksanakan mengikut piawaian antarabangsa.
Beliau
berkata setiap tugasan secara spesifik merujuk kepada tajuk sesuatu
projek dan bukan melihat kepada pihak yang melaksanakannya. "Kita tidak
tengok kepada kerajaan 'A' atau kerajaan 'B', kami 'colour blind',
setiap negeri atau jabatan yang diaudit disusuli dengan laporan, boleh
lihat kepada laporan itu.
"Sebab itu, setiap laporan yang dikeluarkan mesti dibaca keseluruhannya kerana ada terdapat pandangan dan pendapat daripada jabatan atau agensi yang diaudit, diakui memang ada terdapat kelemahan tetapi sentiasa diperbaiki dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan perdana di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM).
Ambrin berkata memandangkan proses pengauditan adalah panjang, pihaknya
sudah melakukan persiapan untuk tahun depan, dan apa yang dilakukan ini
tidak mempunyai kaitan langsung dengan urusan pilihan raya.
Beliau juga berkata proses pengauditan dilakukan berdasarkan fakta yang
diperoleh sebelum semakan dibuat, dan tugas itu biasanya dilaksanakan
sebelum sesuatu projek selesai sepenuhnya.
"Kita tidak tunggu sehingga sesuatu projek itu habis atau selesai baru
nak buat audit, kita masuk ketika projek itu sedang dijalankan, niat
kita untuk perbetulkan kesilapan yang terdapat dalam pelaksanaan sesuatu
projek," katanya.
Selain itu, Ambrin berkata orang ramai yang ingin mengetahui laporan
berhubung sesuatu agensi atau jabatan yang diaudit boleh membaca terus
di laman web jabatan tersebut, dan laporan berkenaan boleh dianggap
sebagai saluran maklumat untuk kegunaan mereka.
"Menerusi perolehan maklumat itu, orang ramai boleh berperanan dalam
usaha mengekang pemborosan, pembaziran dan penyelewengan (3P) sesebuah
jabatan atau agensi, seterusnya ia juga boleh digunakan sebagai usaha
untuk meningkatkan kecekapan, keberkesanan dan ekonomi," katanya.
Beliau juga berkata status Unit Audit Dalaman (UAD) perlu dimartabat
untuk mempertingkat tahap kecemerlangan dan kualiti perkhidmatan
sesebuah agensi kerana jika terlalu rendah, ia akan berdepan kesukaran
menarik perhatian peringkat pengurusan. ~tmi
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.