Pakatan Rakyat yang melancarkan Deklarasi Kuching tujuh perkara kelmarin, antara lain menegaskan semula bahawa royalti minyak bagi Sabah dan Sarawak akan dinaikkan daripada lima peratus kepada 20 peratus dan mengembalikan kuasa autonomi kepada kedua-dua negeri itu.
Pemerhati dan penganalisis politik melihat ia sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Deklarasi Kuching ditandatangani oleh Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim; Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang; Penasihat DAP Lim Kit Siang; Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian; Pengerusi DAP Sarawak Wong Ho Leng dan Pesuruhjaya Negeri PAS Sarawak Adam Ahid.
Dalam deklarasi itu, ketiga-tiga parti komponan tersebut berkata Pakatan akan melunaskan setiap ikrar jika membentuk kerajaan persekutuan yang baru.
Kesemua tujuh perkara yang disenaraikan dalam Deklarasi Kuching ialah:
1. Kerjasama Bersekutu: Memulihara intipati Perjanjian Malaysia dan memperkasakan kedudukan Sarawak dan Sabah setanding dengan Semenanjung Malaysia dengan mengembalikan autonomi Sarawak dan Sabah mengikut lunas Perlembagaan Persekutuan
2. Perwakilan Adil: Mempertingkatkan integrasi nasional di antara Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia melalui penggemblengan tenaga dan perkongsian kuasa secara adil yang menjunjung semangat Perjanjian Malaysia.
3. Kewarganegaraan: Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan masalah nasional berkaitan pendatang tanpa izin dan isu-isu kerakyatan, khususnya di Sarawak dan Sabah.
4. Pengiktirafan Hak Ke Atas Tanah Adat: Menghormati dan mengiktiraf hak anak watan ke atas tanah adat sepertimana yang tertakluk dan termaktub dalam Undang-undang Negeri Sarawak dan Sabah dengan menubuhkan Suruhanjaya Tanah untuk menyiasat, menyelesaikan pertikaian, memperbaharui, menyelidik dan memulihkan Hak Adat Peribumi ke atas pemilikan Tanah Adat.
5. Kecekapan dan Kemandiran Sarawak dan Sabah: Mengiktiraf pelantikan rakyat Sarawak dan Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di Jabatan Kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh setiausaha-setiausaha kerajaan kedua-dua negeri dan memberikan keutamaan kepada rakyat Sarawak dan Sabah di peringkat Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan tugas di negeri masing-masing.
6. Keadilan Dalam Isu Minyak: Menaikkan bayaran royalti ke atas petroleum dan sumber sumber hidrokarbon kepada Sarawak dan Sabah dari lima peratus ke 20 peratus
7. Pembangunan Sekata: Membawa tahap kemajuan infrastruktur di Sarawak dan Sabah setanding dengan perkembangan di Semenanjung Malaysia.
Jalan Pulang
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.