Followers

Tuesday, September 4, 2012

TERKINI! Bekas Ahli Dewan Negara Disamun!

 

Bekas ahli Dewan Negara dan Ketua Dewan Muslimat PAS Ketereh, Hunaizah Mohd Nor, 68, terpaksa bertarung beberapa minit mempertahankan dirinya dalam kejadian samun yang berlaku awal pagi Rabu lalu.

Beliau yang disergah secara melulu oleh seorang lelaki berusia 20-an di belakang rumahnya, berjaya direbahkan sebelum diikat kaki, tangan dengan mata dan mulut ditutup.

Suaminya, Yunus Abdul Rahman, 70, ketika itu berada di kebun mereka yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumah.

Minta air

Hunaizah berkata, ketika kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu, dia sedang membersihkan kawasan depan rumahnya.


Beliau kemudian ke belakang rumah untuk mengambil cangkul.

“Ketika itulah seorang pemuda sekitar usia 20-an tiba-tiba muncul dari belakang rumah lalu menerkam saya dan memberitahu bahawa dia sedang dikejar polis.

“Dia kemudiannya mengarahkan saya agar tidak melawan untuk mengelak dicederakan lebih teruk.

“Dia kata dia hanya mengikat saya untuk dapatkan air kerana haus. Saya kata, kalau haus saya boleh dapatkan air dan tidak perlu mengikat saya begitu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Hanya mampu baca ayat suci

Hunaizah berkata, selepas tenaganya semakin lemah akibat bergelut dengan suspek, mulutnya disumbat dengan kain sebelum mata, tangan dan kaki diikat.


Suspek yang tidak mengendahkan rayuan Hunaizah, kemudiannya meletakkan dia dalam keadaan meniarap sebelum mengambil dua utas gelang emas yang berada pada tangan Hunaizah.

Hunaizah hanya dapat melihat seketika wajah suspek yang berbadan tegap dan berkulit gelap, sebelum cermin matanya dibuang suspek.

“Dalam keadaan itu, saya berserah sahaja kepada ALLAH dan membaca ayat suci al-Quran memohon perlindungan-Nya agar tiada yang lebih buruk berlaku.

“Saya juga berdoa agar suami segera pulang. Suspek yang berada di atas rumah ketika itu sempat memberi amaran agar tidak bergerak dari posisi,” katanya.

Bunyi enjin kereta dihidupkan

Selepas lebih sejam berada dalam keadaan sedemikian, Hunaizah kemudiannya terdengar bunyi enjin kereta dihidupkan.


“Kira-kira sejam selepas itu, saya terdengar bunyi enjin kereta dihidupkan. Ketika itu saya yakin suspek berniat melarikan kereta saya.

“Selepas yakin suspek beredar, saya mengesot sedikit demi sedikit ke tepi rumah untuk membolehkan suami melihat saya apabila dia pulang,” katanya.

Kereta ditemui di Serendah, Ketereh

Selepas suspek beredar, suaminya, Yunus pulang dari kebun dan mendapati Hunaizah terikat di belakang rumah.


Suaminya kemudian terus membuat laporan di Balai Polis Selising.

Kereta mangsa jenis Wira berwarna hitam dengan nombor pendaftaran DAT 3679 yang dilarikan suspek dijumpai semula oleh orang ramai di pekarangan Masjid Serendah, Ketereh.

“Memandangkan saya kini adalah Pegawai Dakwah Halaqat di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, dan sering berceramah di masjid sekitar negeri, jemaah mengenali kereta saya.

“Justeru apabila mendapati kereta saya berada di masjid selepas Zuhur Khamis lalu, mereka menghubungi saya untuk memaklumkan tentang penemuan kereta itu.

“Pemain cakera hilang dan tayar kereta dibocorkan,” katanya.

Selain dua utas gelang yang diambil ialah seutas rantai pusaka juga hilang bersama beg tangan yang mengandungi wang tunai kira-kira RM700 termasuk beberapa dokumen penting.

Keseluruhan kerugian dianggarkan bernilai RM20,000.

Tanda undang-undang tidak berkesan

Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusof berkata, sudah tiba masanya undang-undang Islam dipraktikkan di negara ini untuk mengekang jenayah.


Menurutnya, berdasarkan jawapan balas Kementerian Dalam Negeri terhadap soalan beliau di parlimen, sepanjang tahun 2011 sahaja terdapat 860 kes pembunuhan di Malaysia.

Katanya, statistik itu amat membimbangkan seperti mana statistik kelahiran anak luar nikah iaitu 250,000 yang dilaporkan.

Jumlah itu dikatakan tidak termasuk anak yang dibuang atau digugurkan akibat persetubuhan haram, yang dijangkakan jumlahnya tiga kali ganda daripada angka yang direkodkan.

“Banyak faktor berlakunya jenayah akhir akhir ini dan saya percaya jika undang- undang Islam yang lebih adil dilaksanakan ia akan berjaya mengekang jenayah sekali gus mewujudkan komuniti yang selamat dunia akhirat,” katanya ketika ditemui menziarahi Hunaizah kellmarin.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan ramai banduan yang dibebaskan selepas pemansuhan Akta Kediaman Terhad menjadi faktor peningkatan kadar jenayah akhir-akhir ini.

Namun katanya, sehingga undang-undang Islam dilaksanakan, golongan wanita terutamanya perlu mengambil langkah drastik terhadap aspek keselamatan mereka di luar atau ketika di rumah.

“Penjenayah semakin berani mengancam nyawa mangsa mereka seolah-olah nyawa tidak lagi berharga.

“Untuk itu pastikan sentiasa mengunci pintu dan pagar ketika di rumah dan jika mempunyai urusan di luar, pastikan sentiasa berteman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritenden Mohd Kamal Zainal mengesahkan laporan mengenai kejadian.



Jalan Pulang

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.