PENGAMBILALIHAN KTMB: HENTIKAN PEMUSATAN HARTA RAKYAT DI TANGAN KRONI by Roslan Alan
Kenyataan Media KEADILAN
PENGAMBILALIHAN KTMB:
HENTIKAN PEMUSATAN HARTA RAKYAT DI TANGAN KRONI
KEADILAN memberi amaran kepada pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak
supaya membekukan segala rancangan untuk menswastakan operasi KTMB
kepada MMC Corp Berhad yang dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar
Al-Bukhary.
KEADILAN difahamkan bahawa MMC telah mengemukakan
pelan operasi dan pengambilalihan pada awal tahun ini dan pentadbiran
Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang dalam proses untuk meluluskan pelan
pengambilalihan tersebut.
Ada beberapa perkara pokok yang perlu
dipertimbangkan sebelum kerajaan menswastakan KTMB buat kali yang kedua
selepas penswastaan kali pertama di bawah syarikat Marak Unggul Sdn Bhd
gagal, iaitu:
1. Apakah syarat-syarat yang dikenakan oleh
kerajaan bagi memastikan aset dan pegangan tanah KTMB yang dianggarkan
berjumlah RM50 bilion tidak jatuh ke tangan pihak swasta atau
persendirian?
2. Apakah jaminan kerajaan bahawa kebajikan
kakitangan KTMB akan dilindungi seadilnya apabila mandat diberikan
kepada MMC Corp Berhad untuk mengendalikan pekerja?
3.
Apakah bentuk bantuan kewangan yang ditawarkan oleh kerajaan kepada MMC
Corp Berhad untuk mengelakkan satu lagi projek swasta dibiayai oleh wang
rakyat?
Saya juga melahirkan rasa kesal kerana sekali lagi
pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak mengingkari janjinya bahawa semua
tender akan dikendalikan secara terus dan melalui tender terbuka.
Seperti juga projek MRT yang kini menimbulkan kemarahan
kumpulan-kumpulan yang rapat dengan Umno sendiri, penswastaan KTMB
dibuat melalui satu kertas cadangan yang dikemukakan oleh MMC Corp
Berhad.
Sekiranya syarat pengambilalihan hanyalah melibatkan
peningkatan kecekapan operasi dan kos (dan tidak menanggung hutang KTMB
yang berjumlah RM1 bilion), adalah lebih wajar jika kerajaan menjemput
seberapa ramai usahawan dan konsortium untuk menyertai satu tender
terbuka memandangkan pakej suntikan kewangan oleh pengendali baru tidak
termasuk tanggungan hutang sedia ada.
Sikap Dato’ Seri Najib
Tun Razak yang memusatkan operasi dan kontrak melibatkan infrastruktur
dan harta utama negara di tangan beberapa kroni utama beliau semakin
memuncak.
Kini pun, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary telah
menguasai operasi dan aset-aset pelabuhan di negara ini. Konsortium
beliau juga dianugerahkan tender pembinaan MRT yang kosnya dijangka
melampaui RM100 bilion.
Dengan anugerah penswastaan KTMB pula,
bermakna syarikat-syarikat yang dikawal oleh Tan Sri Syed Mokhtar
Al-Bukhary akan menguasai pengangkutan keretapi yang merupakan
alternatif terpenting kepada sistem pengangkutan awam darat di masa
hadapan. Ini bermakna, sebarang usaha untuk menaiktaraf sistem
pengangkutan awam sudah tentu akan melibatkan beliau kerana monopoli
yang dipegangnya.
KEADILAN menentang sepenuhnya cubaan untuk
mewujudkan monopoli pengangkutan keretapi dengan anugerah penswastaan
baru kepada MMC Corp Berhad untuk mengambilalih operasi KTMB.
Berdasarkan projek-projek penswastaan dan kerjasama swasta yang telah
gagal sebelum ini seperti penswastaan kali pertama KTMB dan kerjasama
MAS-AirAsia, KEADILAN yakin tindakan menswastakan KTMB juga bermotifkan
keuntungan semata-mata yang membelakangkan kepentingan nasional.
YB NURUL IZZAH ANWAR
NAIB PRESIDEN KEADILAN
RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.