Jika
dilihat kehadiran Najib bersama Muhyiddin di majlis pelancaran Pelan
Pembangunan Pendidikan semalam, seolah-olah tidak ada apa-apa masalah
antara mereka berdua.
Perdana Menteri dan timbalannya ini bagaikan
gandingan erat yang sentiasa seia sekata serta sehati sejiwa.
Tetapi
beberapa minggu sebelum itu, bertaburan poster-poster di Johor yang
mahukan Muhyiddin sebagai PM sebelum PRU 13 ini bagi menyelamatkan UMNO
dan BN berikutan Najib dilihat masih gagal untuk menarik sokongan rakyat
menjelang pilihanraya umum akan datang.
Meskipun
UMNO Johor dan UMNO Pagoh menafikan poster itu diterbitkan oleh mereka
dan menyifatkan ianya taktik pihak yang tidak bertanggungjawab untuk
merenggangkan hubungan kedua pemimpin itu, hakikatnya jika pun wujud
masalah antara Najib dan Muhyiddin, ia juga bukanlah sesuatu yang pelik
dan di luar kebiasaan.
Selain
watak dan pendekatan keduanya jelas berbeza, mereka juga berbeza
pendapat dalam beberapa isu.
Dalam Akta Keterangan yang baru diluluskan
misalnya, suatu ketika Najib setuju ia dikaji semula setelah adanya
pelbagai bantahan tetapi Muhyiddin mempertahankannya, termasuk bertindak
memanggil dua timbalan menteri yang sebelum itu agak keras membantah
akta itu.
Beberapa
lama sebelum itu, di ketika Najib bangga dengan 1Malaysianya, Muhyiddin
pula tetap meletakkan dirinya sebagai Melayu dahulu, kemudian baru
diikuti sebagai rakyat Malaysia. Pendekatan yang jelas amat bertentangan
dengan 1Malaysia.
Dalam
beberapa isu lainnya pula, Muhyiddin juga dilihat tidak berapa
bersungguh mempertahankan Najib seperti yang dapat dilihat dalam isu
remaja menayang punggung dan memijak gambar Najib.
Sementara
dalam UMNO pula, suara-suara yang merasakan Najib lebih sesuai memimpin
UMNO dan kerajaan dalam suasana politik kritikal seperti sekarang ini
sudah lama kedengaran.
Najib, dengan watak sebagai anak bangsawan
dilihat hanya sesuai menjadi pemimpin UMNO di ketika parti itu tidak
bermasalah dan rakyat tidak berpecah.
Dalam
keadaan UMNO berjuang antara hidup dan mati, UMNO tentunya memerlukan
pemimpin yang tegas, berani dan kurang retorik.
Muhyiddin sebaliknya
telah terbukti berjaya menangani krisis UMNO Johor dan perpecahan Melayu
ketika menjadi Menteri Besar Johor berikutan perletakan jawatan Musa
Hitam pada 1986 dulu.
Najib tidak ada rekod seperti itu dan baru
disedari oleh banyak pihak beliau tidak sesuai menjadi pemimpin ketika
ini.
Bertompoknya
masalah dan isu yang tidak selesai sekarang ini sebahagaiannya adalah
kerana daya kepimpinan Najib yang dilihat lemah, tidak tegas, tiada
keberanian serta kurang kebijaksanaan.
Saya
sendiri sudah mendengar perkara ini diperbualkan di kalangan ahli dan
pimpinan UMNO pelbagai peringkat sudah lama dan sudah pun menulisnya
dalam buku Kesilapan-Kesilapan Najib dan Asalkan Bukan Najib sebelum
ini. Hakikatnya arus yang berkehendakan Muhyiddin berbanding Najib
adalah sesuatu yang benar dan nyata.
Lebih
dari itu, dalam sejarah perjalanan politik UMNO pula, krisis atau
hubungan tak sebulu antara PM dan timbalannya bukanlah perkara yang
pelik. Ia sudah kerap berlaku.
Tun Mahathir berbalah dengan Musa Hitam,
kemudian melantik Ghafar Baba sebagai pengganti tetapi kemudiannya
merestui Ghafar Baba disingkirkan oleh Anwar. Mahathir kemudiannya
berbalah dengan Anwar sehingga memecatnya walaupun sehari sebelum itu,
pada 1 September 1998, keduanya dilihat begitu mesra ketika Mahathir
mengumumkan tentang langkah kawalan mata wang negara.
Kemesraan
Mahathir dan Anwar ketika itu tidak jauh bezanya dengan kemesraan Najib
dan Muhyiddin di majlis pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan
semalam.
Mahathir
hanya tidak berbalah ketika Pak Lah menjadi timbalannya tetapi setelah
Pak Lah menjadi PM dan Mahathir terus mengganggu-gugatnya, perbalahan
mereka akhirnya berterusan hingga kini.
Pak
Lah dengan Najib pula tidak terlihat krisisnya tetapi apabila gelombang
penolakan semakin kuat terhadap Pak Lah, Najib juga akhirnya menjadi
tidak sabar untuk segera menjadi Perdana Menteri.
Yang
jelasnya, kerenggangan hubungan antara pemimpin nombor satu dengan
pemimpin nombor dua bukanlah sesuatu yang janggal dan di luar kebiasaan.
Apatah lagi dalam kes Najib dan Muhyiddin ini, selain beberapa
perbezaan yang ketara dapat dilihat, Muhyiddin juga diketahui sebagai
pemimpin yang bercita-cita tinggi dan tidak pernah menyatakan rasa puas
hati sekadar menjadi orang nombor saja.
Selain
itu, para penyokong Muhyiddin pula tentunya tidak pernah pudar
keinginannya untuk melihat boss mereka itu menjadi Perdana Menteri pula.
Krisis
Najib dab Muhyiddin ini boleh meletus bila-bila masa saja. Jika ianya
dapat ditutup erat sebelum pilihanraya ini, ia mungkin sukar
dipertahankan selepas keputusan pilihanraya nanti. Lebih-lebih lagi jika
keputusan itu nanti tidak sebaik yang diharapkan.
Yang
menariknya dalam kes Najib dan Muhyiddin ini, kedua-dua mereka tidak
pernah memberi komen mengenainya. Berbeza dengan Mahathir dulu, semua
krisis dengan timbalannya dinafikannya tetapi akhirnya semua menjadi
kenyataan.
Semua
krisis itu pula bermula dengan khabar angin dan cakap-cakap orang
bawahan. Namun terbukti kebanyakan peristiwa politik sememangnya bermula
dengan khabar angin. Ini kerana kadang-kadang khabar angin itu sengaja
dicipta untuk menjadikan ia kenyataan yang tidak terlalu mengejutkan
suatu hari nanti.
Jika
dulu ada pepatah, takkan pokok bergoyang tanpa angin tetapi pokok juga
sebenarnya bergoyang jika ada kera yang sengaja menggoyangnya. Tambah
pula dalam politik, kera boleh diupah untuk menggoyang pokok.
Krisis
dan perbalahan antara pemimpin nombor satu dan pemimpin nombor dua
secara realitinya memang sukar dielakkan kerana meskipun keduanya saling
melengkapi dan perlu memerlukan antara satu sama lain, mereka
sebenarnya hanya bersahabat dalam berpolitik tetapi sentiasa bermusuh
dalam kuasa.
Kerengga
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.