Followers

Saturday, August 11, 2012

[VIDEO] Nelayan Bantah Projek Komlam Udang Milik Noh Omar


 

Tanjong Karang : Kira-kira 150 petani dan nelayan mengadakan perhimpunan aman di hadapan pintu masuk projek kolam udang yang didakwa dimiliki oleh Datuk Seri Noh Omar di mana kewujudan kolam berkenaan menjejaskan sumber pendapatan mereka.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berucap dalam bantahan itu berkata, Noh selaku Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani tidak wajar terlibat dalam projek penternakan udang itu kerana ia akan mewujudkan percanggahan kepentingan.

Suee Lim mendakwa memiliki dokumen yang menunjukan Noh memiliki tanah kerajaan semasa pentadbiran BN sedangkan rakyat Tanjong Karang dan Sungai Burong sukar untuk mendapatkan tanah bagi membina rumah.

“Tetapi ada pemimpin dapat tanah bukan satu dua ekar tetapi dapat 30 ekar iaitu Noh Omar yang merupakan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor merangkap Ahli Parlimen Tanjong Karang, apa keistimewaan Noh Omar rakyat hendak tanya”? soal Suee Lim.

Menurut Suee Lim, beliau mendesak Noh tampil memberikan penjelasan kepada rakyat berhubung kaitannya dengan projek kolam itu pada kadar segera.

“Kalau Noh gagal menjawab persoalan yang kita bangkitkan kenapa beliau boleh mendapatkan 30 ekar tanah dan apakah keistimewaan beliau, maka beliau perlu meletakkan jawatannya,” tegas Suee Lim.

Dakwanya lagi, dalam dokumen yang perolehinya itu menunjukkan adanya akuan bersumpah yang menunjukkan adanya kerjasama antara Noh dengan syarikat Pristine Agrofood Sdn Bhd yang melaksanakan projek penternakan udang itu.

Sementara itu, Naib Yang Dipertua PAS Tanjong Karang, Misran Serman berkata kawasan itu tidak wajar diterokai kerana ia adalah tanah simpanan hutan kayu bakau yang dijadikan sebagai pemampan daripada berlakunya hakisan pantai.

“Sebelum ini apabila penduduk kampung membuat penerokaan hutan akan ditangkap oleh Jabatan Hutan.

“Dalam jarak 100 meter daripada pantai tidak boleh dilakukan aktiviti pertanian dan ini menyalahi akta alam sekitar,” katanya.

Misran mendakwa sejak kewujudan kolam udang ini disyaki hasil kerang dan laut berkurangan sehinggakan menjejaskan pendapatan nelayan.

“Saya anggarkan yang terjejas daripada kewujudan kolam udang ini lebih daripada 1,000 orang,sekarang ini mereka tidak dapat pergi ke laut untuk mencari hasil,” katanya.

Sebelum ini, petani Manan Osman,54, mendakwa sebelum wujudnya kolam udang ini pendapatan para petani di kawasan ini agak lumayan berbanding sekarang ekoran kehadiran monyet-monyet yang banyak memasuki kawasan pertanian ekoran penerokaan hutan yang menjadi habitat hidupan liar itu.

“Saya memang membantah sekeras-kerasnya projek ini.Sikap Noh Omar tidak memahami hati rakyat,petani terlalu risau memikirkan bagi mengatasi masalah yang dihadapi kami sekarang,” ujarnya.

Sehingga berita ini ditulis, usaha Selangor Kini menghubungi Setiausaha Politik kepada Noh iaitu Datuk Mohammed Shafie Asnami untuk mendapatkan respon berkenaan bantahan petani berkenaan belum berhasil kerana beliau diberitahu masih berada dalam mesyuarat.
Noh Omar Sembunyikan Penglibatan Di Dalam Usahasama Kolam Udang

SHAH ALAM, 10 OGOS: Adun Sekinchan, Ng Suee Lim mendakwa Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar menyembunyikan fakta dan gagal menjawab dakwaan yang beliau terlibat di dalam projek ternakan udang di Tanjong Karang.

Katanya, Noh gagal memberikan kenyataan balas mengenai dakwaan terdapat surat akuan sumpah syarikat Pristine Agrofood dan kaveat ke atasnya.

Dokumen tersebut kata Suee Lim, menunjukkan yang pengilbatan Noh di dalam kolam udang itu adalah lebih daripada pemilik tanah yang hanya menyewakan tanahnya semata-mata.

“Perkataan ‘usaha sama’ dalam dokumen itu membuktikan Noh Omar turut mengusahakan projek itu dan jika beliau menyatakan hanya menyewakan sahaja tanahnya, seharusnya perlu ada perkataan ‘tendency agreement’ iaitu perjanjian sewa.

“Beliau tidak boleh mengelak dan hanya menafikan tanpa memberikan fakta sebenar mengenai tanah miliknya dan projek udang itu,” katanya ketika dihubungi TVSelangor hari ini.

Ng berkata, terdapat satu kaveat agar Noh terus menyewakan tanahnya seperti dipersetujui kedua-dua pihak.

Di dalam laporan portal Malaysiakini semalam, Noh berkata beliau menyewakan tanah seluas 30 ekar miliknya kepada syarikat itu dan tidak terlibat mengusahakan projek udang tersebut.

Pengarah Pristine Agrofood, Chu Bak Teck juga turut menafikan penglibatan Noh Omar dan menyatakan beliau hanya menyewakan tanahnya sahaja.

Menurut Suee Lim, Noh Omar juga perlu menjelaskan kepada rakyat bagaimana beliau mendapat tanah 30 ekar itu daripada Kerajaan Negeri dengan mudah.

Pada Sidang Dewan Negeri Selangor pada Julai 12, Suee Lim mendedahkan yang Noh membeli tanah itu pada 13 Jun 1995.

Hasil carian di laman web Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menunjukkan Noh memenangi kerusi Ahli Parlimen Tanjong Karang buat kali pertama pada April 1995.

“Apakah keistimewaan seorang menteri yang boleh memiliki tanah seluas itu dan hanya membayar premium sebanyak RM 9,760 sahaja sedangkan rakyat terpaksa bersusah payah hanya untuk memiliki tanah sendiri,” katanya.

Di dalam dakwaannya sebelum ini, Suee Lim mendakwa nilai sebenar tanah itu ketika Noh membelinya adalah RM 3 juta.

Ng turut berkata, beberapa pendedahan susulan akan dibuat dan pihaknya sudah memberikan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut.

-selangorku/kelab greenboc    



No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.