Hakim Rozilah Salleh membuat keputusan itu selepas mendapati pihak
pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Abd Ghani
Ismail, 46, di akhir kes pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 13 Sept untuk mendengar kes pembelaan.
Bagi pertuduhan pertama, Abd Ghani, yang ketika kejadian merupakan
seorang Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) merangkap Ahli
Jawatankuasa Tender MPAJ, didakwa secara rasuah memperoleh satu suapan
daripada seorang kontraktor Abdul Rahman Yaacob (sudah meninggal dunia)
sebanyak RM24,189.
Ia sebagai balasan menolong Abdul Rahman mendapatkan Tender Zon SP 23
iaitu kerja perkhidmatan kutipan sisa pepejal di Taman Lembah Maju dan
Taman Kencana serta Tender Zon PB 16 iaitu kerja pembersihan kawasan di
Pandan Cahaya daripada MPAJ.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Restoran Islah Tomyam, Jalan 5/76B, Desa Pandan di sini pada 9 malam 4 Ogos 2006.
Bagi lapan lagi pertuduhan, Abd Ghani didakwa secara rasuah menerima
antara RM10,189 hingga RM24,189 yang kesemuanya melibatkan RM169,323
daripada Abdul Rahman di hadapan Blok E 15, Jalan 4/76B, Desa Pandan di
sini, antara 20 Oktober 2006 hingga 31 Mac 2007.
Sementara itu bagi pertuduhan ke-10 pula dia didakwa memperoleh suapan
bagi dirinya iaitu pelantikan Syarikat Lembah Rimbun sebagai sub
kontraktor kepada Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd yang mana dia
mempunyai kepentingan dalam Syarikat Lembah Rimbun, di No. 27, Jalan
Pandan 7, Pandan Jaya pada 1 Mei 2006.
Ia sebagai upah menolong Syarikat Dwisakti Mewah Sdn Bhd mendapatkan
Tender Zon SP 21 iaitu kerja pelupusan sisa pepejal di kawasan Bandar
Pandan Indah daripada MPAJ.
Bagi kesemua pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 11 (a) dan
Seksyen 10 (a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) yang boleh
dihukum di bawah Seksyen 16 Akta sama yang memperuntukkan hukuman
penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali
ganda nilai suapan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Roziza Sidek manakala Abd Ghani diwakili Peguam Md
Yunos Shariff. - Bernama
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.