SHAH
ALAM : Masalah sebilangan rakyat negara ini yang tidak
mempunyai dokumen pengenalan diri akan diselesaikan sebaik Pakatan
Rakyat menubuhkan Kerajaan Pusat.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, terdapat ratusan
ribu masyarakat India, Dayak dan lain-lain yang lahir di Malaysia hidup
tanpa dokumentasi pengenalan diri yang sah kerana prosedur kerajaan itu
sendiri yang menggagalkan mereka.
“Isu ini akan menjadi keutamaan Pakatan Rakyat dan kami akan berusaha sesegera mungkin dalam menyelesaikan permasalahan ini.
“Tanpa dokumen tersebut, mereka dinafikan hak untuk bersekolah,
bekerja, mendapat perkhidmatan kesihatan, keselamatan, bantuan kerajaan
dan juga hak mengundi,” tegas Anwar dalam kenyataan medianya.
Menurut Anwar yang juga Ketua Umum PKR ,kebanyakan dari mereka adalah
daripada latarbelakang yang sangat miskin dari segi ekonomi.
Jumlahnya sangat besar dalam komuniti India dan sebilangan kecil dalam
masyarakat Dayak; pelbagai janji telah ditabur oleh BN dan
pemimpin-pemimpin mereka, namun ternyata ianya hanya retorik politik
yang memualkan.
Jelas Anwar lagi, hak kerakyatan adalah hak yang paling fundamental dalam sebuah negara yang demokratik.
Bahagian tiga dalam Perlembagaan Persekutuan dengan jelas
memperuntukkan bahawa, tiada seorang pun boleh dinafikan kerakyatannya
di Malaysia.
Namun, masih ramai yang dinafikan hak tersebut kerana sejak sekian lama mereka telah diabaikan kerajaan BN.
“Kebanyakan mangsa adalah warganegara, melalui kuatkuasa undang-undang
di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan dan mereka dilahir dan
dibesarkan di Malaysia.
“Mereka ini, samada tanpa dokumentasi atau dipaksa untuk menerima MyKad yang ditetapkan untuk bukan warganegara,” ujar beliau.
Sebelum ini satu kes mencetuskan kebimbangan rakyat Malaysia apabila
Reshina Batumanathan, seorang pelajar Tingkatan 5, lahir dan dibesarkan
di sini berulangkali dinafikan MyKad.
Jabatan Pendaftaran Negara mengeluarkan permit bukan warganegara kepadanya supaya beliau boleh menyambung persekolahannya.
Masa depannya kabur dan tidak menentu tanpa MyKad yang sepatutnya dimiliki beliau.
“Reshina dan ratusan ribu yang lain yang tidak punya dokumentasi pengenalan diri dipinggir di negara sendiri,” jelasnya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.