Assalamualaykom w.b.t.
YB Dato’ Dr Hasan Ali yang saya hormati,
Saya kira tidak perlulah saya perkenalkan diri saya memandangkan Dato
merupakan tokoh dan sahabat yang saya kagumi. Saya kira, Dato’ juga
tetap menganggap saya sebagai kenalan rapat Dato’ sekeluarga. Secara
ikhlas, saya mula mengkagumi Dato’ sebagai motivator semenjak saya di
bangku sekolah lagi, sehinggalah Dato’ menceburkan diri ke dalam bidang
politik.
Walau bagaimanapun kekaguman saya tidaklah menjadi penghalang
untuk saya menyatakan sedikit pandangan terhadap pendirian Dato’
mutakhir ini berdasarkan neraca ilmu dan keadilan. Kesedaran bahawa apa
yang telah Dato’ lemparkan kepada mantan parti Dato’ sendiri, iaitu PAS,
di dalam kenyataan-kenyataan Dato’ di media dan juga lewat
ceramah-ceramah Dato’ yang bercanggah dari amanah keilmuan dan
kebenaran, maka saya terdorong untuk menulis surat terbuka ini.
Sebagai ahli akademik yang mengkaji bidang gerakan Islam, politik Islam
dan juga Usul al-Fiqh, saya berasa terpanggil untuk mengarang surat
terbuka ini kepada Dato’ untuk menilai beberapa kenyataan Dato’ dari
pertimbangan ilmu dan kacamata ilmiah di dalam bidang pengkajian saya.
Saya kira tulisan surat terbuka saya sebagai ahli akademik ini adalah
sebagai tanggungjawab saya kepada kejujuran terhadap disiplin ilmu yang
saya pikul dan bukannya sebagai ahli politik. Saya bukanlah ahli parti
PAS, yang tampil untuk membela PAS dari serangan Dato’.
Maka saya
bertegas menyatakan apa yang saya tulis ini hanyalah semata-mata
pendangan orang luar dan ahli akademik yang neutral dan tidak berpihak,
baik kepada Dato’ mahupun kepada parti PAS yang telah memecat Dato’.
Saya kira Dato’ mungkin telah maklum dengan pencapaian gerakan-gerakan
Islam moderat di utara Afrika seperti Ikhwan Muslimun di Mesir, parti
Ennahda di Tunisia, parti keadilan dan pembangunan (PJD) di Morocco dan
juga parti-parti Islam lain selepas kebangkitan rakyat (Arab Spring).
Kemenangan kesemua gerakan-gerakan tersebut secara empirikalnya seperti
yang telah dianalisis oleh pakar politik di rantau berkenaan merujuk
kepada tiga perkara utama: ‘Wacana Islam moderat yang segar’; Kesediaan
‘perkongsian kuasa’ (power sharing); dan juga ‘pengaruh di kalangan
rakyat’ melalui jaringan kerja kebajikan dan juga pendidikan yang
menyeluruh, berterusan serta meluas.
Apa yang dimaksudkan dengan wacana moderat yang segar ialah kemampuan
gerakan-gerakan tersebut untuk menawarkan apa yang diperlukan oleh
rakyat dan apa yang diperlukan oleh sesebuah Negara di dalam pendekatan
mereka.
Wacana moderat juga telah memperlihatkan bagaimana
gerakan-gerakan Islam, tidak lagi memaksakan apa yang mereka mahukan
atau percaya ke atas rakyat tanpa kerelaan majoriti. Maka, di dalam
wacana baru mereka, gerakan-gerakan Islam tidak lagi menawarkan retorik
‘Dawlah Islamiyyah’ (Negara Islam) yang agak bersifat utopia dan tidak
tentu apakah modelnya.
Mereka juga tidak menawarkan hukuman jenayah
Islam ‘secara paksaan’ seperti yang pernah dilakukan oleh Taleban di
Afghanistan, sebelum keadaan ekonomi dan kebajikan yang kondusif
disediakan di dalam negara mereka.
Mereka juga tidak mempamerkan diri
sebagai penghukum, tetapi mereka muncul sebagai pembawa harapan, pejuang
kebebasan dan pelaksana keadilan setelah rakyat ditindas dan dizalimi
selama berdekad-dekad lamanya oleh para diktator.
Perkara ini telah
membuatkan ramai dari kalangan pengkaji di barat telah mula mengatakan
bahawa golongan ini telah merubah sikap dan prinsip mereka, lantas
menggelar fenomena ini sebagai post-Islamism (pasca-Islamisme).
Saya konsisten untuk tidak menyokong istilah pasca-Islamisme yang sarat
dengan makna neo-kolonialisme. Hakikatnya gerakan-gerakan Islam yang
terlibat tidak pernah merubah prinsip. Mereka juga tidak meninggalkan
landasan perjuangan, apatah lagi mengubah pendirian.
Apa yang berlaku
ialah proses kematangan gerakan-gerakan terlibat untuk melihat Islam
dalam kerangkanya yang lebih luas dan komprehensif. Kejayaan beberapa
individu berlatarbelakangkan Islamis di Turki melalui agenda neutral
AKP, telah menjadi sumber inspirasi gerakan-gerakan tersebut.
Wacana ini
juga bertunjangkan konsep Maqasid al-Shariah dan melihat ajaran Islam
dari aspek yang holistik, terutamanya aspek moral dan keadilan.
Gelombang perubahan pada pendekatan inilah yang telah melanda kebanyakan
gerakan Islam di seluruh dunia mutakhir ini, tidak ketinggalan PAS yang
Dato pernah sertai dahulu.
Gelombang ini sekaligus melenyapkan pengaruh
model Iran yang pernah mendominasi wacana gerakan-gerakan Islam sedunia
dengan melaungkan pembinaan sebuah republik Islam dan juga pemerintahan
mutlak golongan agama (Wilayatul Faqih).
Realitinya kini, gerakan-gerakan Islam moderat yang wujud lebih memilih
ruang demokrasi untuk membawa perubahan. Mereka juga melaungkan
pembentukan negara sivil milik semua warga dengan menjamin kebebasan
politik, penegakan keadilan, hak upaya masyarakat sivil, hak wanita,
tatakelola yang baik, kebajikan rakyat yang terpelihara, ekonomi yang
lebih berdaya saing serta bebas dari korupsi, pecah amanah dan rasuah,
serta perkongsian kuasa bersama rakyat dari segala lapisan dan kumpulan.
Menurut kajian saya ke atas wacana baru PAS, terutamanya melalui konsep
‘Negara Berkebajikan’, PAS juga tidak terlepas dari arus perubahan ini.
Jika Dato’ merasakan pendekatan baru PAS ini bermakna PAS telah
meninggalkan perjuangan Islamnya, saya kira Dato’ tersilap.
Perubahan
pada PAS bukanlah kerja parasit sepertimana yang Dato’ dakwa, tetapi
ianya merupakan satu dinamisme tabi’i bagi sebuah gerakan Islam yang
matang. Jikalaulah parasit yang telah menyebabkan perubahan pada PAS,
maka pastinya kesemua gerakan Islam di Utara Afrika dan Asia Barat,
termasuk Ikhwan Muslimin di Mesir dan juga parti Ennahda juga telah
dilanda parasit.
Timbul dilemma di dalam pemikiran saya, apakah pemimpin
dan tokoh ideolog gerakan Islam sedunia, Rashid Ghannoushi yang telah
mencetuskan wacana gerakan Islam yang baru itu juga telah dijangkiti
parasit? Apakah mungkin Dato ingin mengatakan bahawa Rashid Ghannoushi
yang merupakan sumber inspirasi perubahan fikrah pada gerakan-gerakan
Islam moderat sedunia itu pula merupakan bapa parasit?
Yakinlah Dato’, sepertimana gerakan-gerakan tersebut telah berjaya
mendapatkan majoriti undi di dalam pilihanraya di negara-negara mereka
kerana pendekatan baru ini, PAS juga sedang meniti langkah tersebut.
Inilah yang ditakuti oleh UMNO dan kerajaan BN. Pihak lawan tidak
mahukan PAS mendapat sokongan majoriti masyarakat Islam dan bukan Islam
di Malaysia. Pihak lawan mahu PAS kekal sebagai parti kampung milik Pak
Lebai dan Pak Haji. Pihak lawan juga tidak mahu PAS bangkit sebagai
parti milik semua rakyat Malaysia, mereka lebih selesa PAS dikenali
sebagai parti ekstrimis dan fundamentalis yang hanya tahu memotong
tangan orang sahaja.
Hanya dengan wacana Islamis global yang baru ini
sahajalah niat buruk mereka akan terhalang. Malang sekali apabila Dato’
pula yang mula bercakap senada dan seirama dengan pihak lawan menentang
perubahan pada PAS. Lebih malang lagi kini Dato’ menjadi suara pihak
lawan untuk memaksa PAS kembali ke kerangka persepsi lama rakyat
terhadap mereka yang telah dilelong oleh pihak UMNO dan BN.
Saya yakin, di dalam PAS masih terdapat segelintir yang termakan umpan
Dato’ lantas mempercayai kewujudan parasit. Mereka ini golongan yang
ikhlas tetapi hanya kurang mendapat pendedahan terhadap dunia luar
sahaja. Ada di antara mereka juga yang berkepentingan, lantas
menggunakan hujah Dato’ untuk kekal berpengaruh, tetapi saya yakin
mereka ini teramat kecil bilangannya.
Melalui pengamatan saya, PAS akan
terus menggalas harapan rakyat dan juga kefahaman Islam yang sebenar
berteraskan wacana baru gerakan Islam sedunia untuk menempuh hari muka
mereka. Seperkara yang perlu Dato’ ketahui, wacana baru gerakan Islam
moderat ini juga telah mendapat restu dari para ulama terkemuka seperti
Dr Yusuf al-Qaradawi, Dr Tawfiq al-Wa’ie, Dr Rashid al-Ghannoushi. Amat
kasihan kerana Dato’ tidak dapat bersama lagi dengan realiti baru ini.
Apabila melihat kepada isu ‘Negara Berkebajikan’ pula, pada hemat saya,
setelah meneliti dokumen ‘Negara Berkebajikan’ PAS dan membandingkannya
dengan manifesto parti-parti Islam moderat lain di dunia Arab, saya
mendapati PAS ternyata senada dengan mereka yang telah Berjaya di negara
masing-masing.
Saya berkeyakinan gagasan ‘Negara Berkebajikan’
merupakan satu langkah drastik PAS di dalam membawa perubahan dan
menyuarakan persiapan mereka untuk muncul sebagai alternatif kepada
parti pemerintah yang sedia ada. Prinsip-prinsip konsepsual ‘Negara
Berkebajikan’ yang dibentangkan di dalam dokumen tersebut dan juga
cadangan mekanisme perlaksanaannya merupakan satu anjakan paradigma bagi
sebuah gerakan dakwah dan parti politik yang telah matang seperti PAS.
Jelas sekali PAS sudah melayakkan dirinya untuk menyertai gelombang
perubahan yang melanda gerakan Islam di seluruh dunia dengan membuktikan
bahawa golongan Islamis mampu dan bersedia untuk berkongsi kuasa dan
memerintah di dalam kerangka demokrasi dan tatakelola yang baik.
Malangnya, hal ini tidak disambut positif oleh Dato’, malah dipandang
sinis.
Melihat kepada isu hudud yang Dato’ anggap telah ditinggalkan oleh PAS,
saya kira itu juga agak kurang tepat. Sebagai sebuah parti Islam, saya
berpendapat PAS dilihat amat konsisten memperjuangkan apa yang mereka
yakini, iaitu kewajipan melaksanakan hukum hudud.
Apa yang menarik ialah
pendekatan PAS yang terbuka untuk membicarakan isu tersebut di ruang
umum dan bersedia untuk meyakinkan rakyat melalui proses pendidikan dan
dakwah adalah sesuatu yang patut dihargai. Apa yang saya dapati melalui
metod obervasi ke atas ruang ‘discursive’ PAS selama ini, PAS tidak
memilih untuk memaksakan hudud ke atas orang lain secara kekerasan.
Malah di dalam banyak kenyataan PAS, mereka bersedia untuk mendengar
suara majoriti di dalam melaksanakan hukum jenayah Syariah itu.
Pendekatan diplomasi PAS ini harus dihormati kerana ia mencerminkan
sikap professionalisme PAS dan keterbukaan para pimpinannya.
Saya kira
kerana sikap konsisten PAS inilah yang menyebabkan parti itu telah
berjaya meraih sokongan ramai bukan Islam melalui ‘Kelab Penyokong PAS’.
Akhirkata, jika Dato’ benar-benar ingin memperjuangkan aqidah dan
memerangi gejala murtad yang dikatakan sebagai mengancam umat Islam di
Selangor, saya mempunyai pelan tindakan yang boleh Dato’ lakukan
berdasarkan kekuatan yang ada pada diri Dato’.
Sebagai seorang motivator
yang begitu meyakinkan dan berupaya bermain dengan emosi orang ramai,
saya rasa sudah sampai waktunya Dato’ untuk turun padang bertemu dengan
mereka yang didakwa murtad berdasarkan senarai yang rakan-rakan Dato’
miliki.
Mungkin juga Dato’ boleh menggunakan kemahiran tersebut juga
untuk berdakwah kepada mat-mat rempit, tahi dadah, remaja berpeleseran
yang terdapat di dalam negeri Selangor secara sukarela tanpa sebarang
bayaran. Jika dulu mungkin Dato’ sibuk dengan tugas exco, kini Dato’
lebih mempunyai waktu lapang. Buktikanlah kata-kata Dato’ yang ingin
menjaga aqidah itu.
Saya kira Dato’ juga boleh berdakwah di Hard Rock
Café menyeru umat Islam agar bertaubat dan menghayati agama Islam. Saya
pasti pemilik Hard Rock Café tidak akan menghalang kerja murni Dato’
itu.
Saya yakin 10,000 atau lebih orang yang turut berHIMPUN bersama
Dato’ untuk menyelamatkan aqidah umat Islam boleh Dato’ kerahkan dari
seluruh negara untuk sama-sama turun padang demi menyelamatkan aqidah
umat Islam secara praktikal.
Saya amat meyakini, jika Dato’ berdakwah
seperti itu, Dato’ akan tetap dikenang kawan ataupun lawan sebagai
‘pejuang aqidah yang sebenar!’.
Dr Maszlee Malik
Ahli Akademik Politik Warga
UIAM
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.