PKR mendakwa seorang penjawat awam dan seorang pemimpin NGO mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan ke atas orang bukan Melayu dalam dua kejadian berasingan di Perak.
ADUN Teja, Chang Lih Kang mendakwa insiden pertama melibatkan penolong setiausaha Majlis Keselamatan Negara (Negeri Perak) Abdul Rahim Abdul Karim dalam satu majlis di Sekolah Kebangsaan Gopeng.
Chang mendakwa, Abdul Rahim menimbulkan kebencian ke atas orang bukan Melayu dalam ucapannya di Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah berkenaan pada 24 Mac lalu.
Chang mendakwa Abdul Rahim mengatakan: "Orang Cina dan India dibawa masuk oleh penjajah British hanya sebagai pekerja dan mereka tidak berhak menuntut apa-apa keistimewaan. Jangan bermain api dan jangan mencabar."
Chang yang juga anggota majlis pimpinan pusat PKR berkata, lima orang ibu bapa pelajar sekolah tersebut membuat laporan polis atas perkara tersebut.
Jabatan pendidikan negeri juga dimaklumkan berhubung perkara itu namun tiada tindakan diambil setakat ini, katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen semalam.
Chang juga mendakwa, insiden kedua melibatkan seorang penceramah dalam program ceramah bertajuk "Ancaman Kepada Melayu – PRU 13" anjuran gabungan NGO Majlis Perunding Melayu pada 15 April.
Beliau mendakwa penceramah berkenaan, Mohd Hilmi Ismail dalam ucapan di program itu menyatakan bahawa Pakatan Rakyat akan menjemput Singapura menyertai Malaysia sekiranya menang dalam pilihan raya akan datang.
"(Mereka akan bentuk) 306 kawasan parlimen termasuk Singapura, orang Cina akan menguasai negara ini... Hancur kita yop.
"Sampai kiamat takkan dapat balik tanah air, sebab depa banyak makan babi, meronyot keluarnya," katanya ketika membaca kenyataan yang didakwa dibuat Mohd Hilmi itu.
Chang juga mendakwa, presiden Gagasan Melayu Perak itu turut menawarkan untuk membayar denda bagi individu memukul anggota DAP.
"Kamu sepak dia, terajang dia, tumbuk dia (ahli DAP)... Aku akan bayar dia punya denda... Habis kuat RM250, sebab geram dema (mereka) kurang ajar.
"Kalau masuk lokap, habis kuat sehari... Aku bayar RM500, dah boleh selesai," katanya lagi ketika membacakan semula kenyataan tersebut seperti yang didakwanya.
Sumber: Malaysiakini.com/Warkahdaily
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.