Followers

Tuesday, April 3, 2012

PRU13 - PAS Yakin Pakatan Menang Kesemua Parlimen Wilayah. Radhi Razak

 
 
alt
 
KUALA LUMPUR 3 April - PAS Wilayah Persekutuan meletakkan keyakinan majoriti Pengundi di kesemua Parlimen di Negeri ini tetap memilih Gabungan Pakatan termasuklah PKR dan DAP pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akan datang.
 
 Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi menjelaskan, momentum terkini menyaksikan bahawa rakyat di bandar dan juga di luar bandar secara konsisten menolak Umno dan Barisan Nasional yang dilihat semakin teruk diselubungi pelbagai penyelewengan.
 
"Mood rakyat kekal membenci segala kezaliman dan ketidakadilan Umno BN walaupun rakyat ditabur dengan gula-gula pilihanraya dan projek segera menjelang PRU13 ini. Masyarakat di bandar mempunyai akses kepada media baru dan kadar celik maklumat yang tinggi," katanya menerusi kenyataan media PAS Wilayah.
 
Beliau juga berkata rakyat di kawasan wargakota semakin bijak membuat perbandingan dan penilaian di antara kejayaan-kejayaan negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat dari segi ekonomi, pelaburan, urus tadbir yang baik  dan kebajikan yang diberikan kepada rakyat berbanding lakonan sandiwara pemimpin-pemimpin UMNO BN yang semakin galak menjelang PRU13 ini.
 
"Masyarakat di bandar tidak mudah ditipu dan digula-gulakan oleh Umno BN. Mereka  menyaksikan bahawa Umno BN tidak pernah berubah meskipun kalah teruk, 10 daripada 13 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan dalam PRU12. Umno BN masih gagal menangani permasalahan besar warga kota meskipun memegang tampuk pemerintahan Negara sudah sekian lama."
 
"Isu-isu seperti masalah pengangkutan awam yang semakin teruk, perumahan rakyat yang bercelaru, masalah pendatang asing yang memonopoli perniagaan dan menjadikan Kuala Lumpur sebagai lubuk mereka, golongan miskin bandar yang dipinggirkan dan masalah sosial yang semakin parah di kalangan generasi muda. Begitu juga dengan kebajikan penjawat-penjawat awam yang masih gagal diselesaikan dengan baik dan isu pemilikan hartanah warga kota yang semakin terancam", dakwanya lagi.
 
Beliau turut menambah kekayaan Negara tidak dikongsi dengan adil kepada rakyat dan hanya berlegar di kalangan pemimpin-pemimpin Umno BN semata-mata tanpa memikirkan nasib dan masa depan rakyat.
 
"Semua ini disaksikan rakyat dan ia merupakan ramuan yang lengkap untuk penduduk warga kota menolak terus Umno BN dari lanskap politik di Wilayah Persekutuan khasnya dan Malaysia amnya dan memilih Pakatan Rakyat yang terbukti mengutamakan hal-ehwal kebajikan rakyat bukannya diri sendiri dan kroni."
 
"Umno juga gagal untuk menjaga hakmilik dan pegangan tanah orang-orang Melayu di kampung-kampung tradisi di sekitar Kuala Lumpur khususnya di Kampung Bharu yang merupakan satu-satunya pegangan tanah milik penuh orang Melayu di tengah-tengah  bandaraya Kuala Lumpur ini."
 
"Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu 2011 yang telah diluluskan di Parlimen baru-baru ini walaupun dibantah keras oleh ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat, dikhuatiri akan digunakan oleh Umno /BN sebagai mekanisme untuk mengambil tanah dan mengurangkan terus pemilikan tanah orang Melayu, kononnya atas nama pembangunan", tegas beliau.
 
PAS Wilayah pada Pilihan Raya Umum yang lalu telah mencapai kemenangan satu kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan di Titiwangsa menerusi kemenangan calon Dr. Lo'lo' Haji Ghazali. Akan tetapi Parlimen tersebut telah dikosongkan memandangkan kematian Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tersebut dan kini dikendalikan menerusi Pusat Khidmat PAS Kawasan.
 
Keputusan PRU12 yang lalu turut memperlihatkan kemenangan besar DAP dan PKR merampas hampir kesemua kerusi Parlimen di kawasan Kuala Lumpur. BN hanya berjaya mengekalkan Parlimen Setiawangsa menerusi wakilnya Datuk Zulhasnan Rafique bagi kawasan Kuala Lumpur.


Klpos

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.