KUALA LUMPUR, 13 April:
Pilihan raya akan datang akan bergema dengan isu visa yang diberikan di
negara ini kepada Altantuya Shaariibuu untuk memasuki Perancis, kata
Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar.
"Bapa
Altantuya mendedahkan bahawa anaknya itu telah memberitahunya bahawa
Abdul Razak Baginda telah meminta bantuan (Perdana Menteri, Datuk Seri)
Najib (Tun Razak) yang pada masa itu Timbalan Perdana Menteri dan
Menteri Pertahanan, dan Altantuya akhirnya diberikan visa untuk pergi ke
Perancis dengan menggunakan nama Amina Abdullah," katanya.
Malaysiakini
melaporkan, bapa Altantuya, Setev Shaariibuu mendedahkan kesemua itu
berlaku antara 2004 dan 2005, sebelum Altantuya dibunuh dan mayatnya
diletupkan dengan bom C4 pada tahun 2006.
Mahfuz menegaskan, sekadar penjelasan semata-mata mengenai pendedahan itu adalah tidak memadai dan tidak boleh diterima.
"Kalau penjelasan semata-mata, tentulah Perdana Menteri akan memberikan penjelasan yang menyebelahi dirinya.
"Kalau
penjelasannya meragukan sekalipun, media-media di bawah kawalannya
tentu akan mencanang-canangkan kononnya itu adalah penjelasan tanpa
sebarang keraguan," katanya.
Sebab
itulah, kata Mahfuz, pendedahan Setev itu memerlukan tidak kurang dari
siasatan sebuah badan bebas yang tidak boleh dipengaruhi atau
ditakut-takutkan oleh Perdana Menteri dan kerajaannya.
"Persoalannya, banyak perkara yang berbangkit dari tuduhan itu termasuk elemen jenayah.
"Bila Altantuya diberikan visa dengan menggunakan nama Amina Abdullah, tentulah wujud pasport antarabangsa atas nama tersebut.
"Siapa
arahkan pemberian pasport atas nama tersebut kerana Jabatan Imigresen
Malaysia tidak mungkin bertindak sendirian tanpa sebarang sebab dan
suka-suka memberikan pasport kepada Altantuta dengan menggunakan nama
Amina," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Orang yang mengarahkan kesemua itu dan memaksa perkara itu dilakukan, kata Mahfuz, telah melakukan jenayah.
"Kita
mahu percaya bahawa Najib tidak terlibat dengan apa jua proses dalam
pemberian visa kepada Altantuya atas nama Amina Abdullah.
"Hanya
satu cara sahaja untuk kita mempercayainya iaitu dengan menubuhkan
badan siasatan bebas untuk menyiasat perkara itu," katanya.
Jika
tidak, kata Mahfuz, perkara tersebut akan menjadi salah satu isu utama
yang mesti dijawab oleh Najib, terutama dalam pilihan raya akan datang.
"Jika
beliau enggan menubuhkan badan bebas untuk membersihkan namanya dari
dikaitkan dengan pemberian visa itu, ia boleh mengakibatkan Najib
dilihat telah melakukan jenayah.
"Kita
lihat sahaja nanti apa terjadi apabila Najib yang dilihat telah
melakukan jenayah memimpin Umno dan Barisan Nasional (BN) menghadapi
pilihan raya akan datang," katanya.
Malaysiakini
melaporkan, pegawai kementerian luar Mongolia hairan bagaimana
Altantuya mendapatkan visa itu ketika berada di Malaysia.
Beliau memberitahu, warganegara Mongolia tidak boleh mendapatkan visa untuk memasuki Perancis ketika berada di Malaysia.
Pegawai
itu, yang berada di Malaysia bersama bapanya Setev berkata, setiap
warganegara Mongolia mesti memohon dan mendapatkan visa asing di negara
mereka sendiri.
"Tiada cara untuk sesiapa pun daripada kami mendapatkan visa ketika berada di negara lain.
"Kami
akan diberitahu supaya kembali ke negara kami untuk memohon
mendapatkannya," kata pegawai yang enggan namanya disebut itu kepada
Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.