Samseng Jalan Kebun |
Polis menahan tiga
lagi individu yang didakwa menyerang 'perkhemahan' aktivis yang
menuntut pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi
Nasional (PTPTN) dan pendidikan percuma pada awal pagi Khamis lalu.
Jumlah itu menjadikan kesemuanya empat orang ditahan polis setakat ini
berhubung insiden serangan yang menyebabkan kecederaan ke atas siswa
berkenaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh ketiga-tiga
lelaki itu ditahan di Subang Jaya dan disiasat mengikut Seksyen 147
Kanun Keseksaan (Merusuh).
Dalam satu kenyataannya hari ini, Mohmad berkata pihak polis telah memperolehi perintah reman sehingga 25 April ini. Katanya, dua daripada suspek berkenaan daripada Kampung Kebun, Kelang masing-masing merupakan seorang tukang kimpal berusia 30 tahun dan seorang penganggur berusia 28 tahun.
Seorang lagi suspek, daripada Kampung Pandan Klang merupakan seorang penganggur berusia 29 tahun.
Dalam kejadian awal pagi Khamis lalu, seorang siswa cedera apabila kumpulan yang berkhemah di Dataran Merdeka diserang sekumpulan lelaki yang didakwa 'samseng'.
Saksi berkata kumpulan itu mengepung pelajar di tapak khemah tersebut dan mula mengganggu kumpulan siswa berkenaan dalam kejadian bermula kira-kira jam 2.45 pagi.
Koordinator Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema), Heng Kiah Chun memberitahu Malaysiakini bahawa kumpulan tersebut kemudiannya mengasari siswa berkenaan dan turut merobohkan khemah mereka.
Pelajar yang mengalami kecederaan itu dibawa ke hospital. Kumpulan berkenaan juga naik berang apabila pelajar berkenaan cuba merakam insiden itu menggunakan kamera dan telefon bimbit serta merosakkan sebahagian daripada alat rakaman tersebut . ~malaysiakini
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.