"SAYA
terkejut ketika Pesuruhjaya Polis Sabah, Maulana Babjee memanggil saya
dan mengarahkan saya membunuh beberapa orang Kadazan dan Cina untuk
mencetuskan rusuhan kaum. Saya tergamam!" kata Mantan Ketua Daerah
Sandakan, OKK Asainar Bin M.P. Ebrahim @ Hassnar.
Asainar
Bin M.P. Ebrahim @ Hassnar adalah salah seorang bekas tahanan ISA yang
paling lantang menyuarakan isu PATI dan kad pengenalan Projek. Beliau
merupakan salah seorang daripada 52 tahanan ISA yang menjadi dalang
sindiket kad pengenalan projek.
Hassnar juga menjadi salah seorang saksi dalam perbicaraan Petisyen
Pilihanraya DUN Likas 1999 yang telah membuat pengakuan bersumpah dan
telah menulis surat kepada saya dan sekaligus membuat pengakuan secara
terbuka yang telah dimasukkan ke dalam buku saya 'IC PROJEK-Agenda
Tersembunyi Mahathir?' dan dipetik oleh Datuk Dr Jeffrey Kitingan
sebagai bukti untuk mengukuhkan bukti di dalam bukunya 'Justice For
Sabah' (Keadilan Untuk Sabah).
Demam
PATI belum sembuh, sekembalinya daripada bercuti selama sebulan di
India, Hassnar mencabar polis menangkapnya jika ingin mengambil
kenyataan kerana dia enggan memberikan keterangan. Ikuti temu bual saya
dengan beliau.
Mutalib:
Bolehkah saudara beritahu saya kenapa enggan memberi kenyataan kepada
polis yang ingin menyiapkan kertas siasatan sebelum mereka mengemukakan
perkara ini ke Bukit Aman walaupun mereka menghubungi saudara sejak
tahun lalu?
HASSAR:
Saya tidak faham statement apa lagi yang mereka mahu. Mereka telefon
saya bertubi-tubi. Saya merasa hak saya sebagai warganegara terganggu.
Saya sudah bosan dengan semua ini. Tidakkah boleh mereka melihat saya
senang dan ingin mencari kedamaian sehingga terpaksa melancong ke India.
Mereka
menahan saya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri selama dua bulan
pada tahun 1988 dan Tahanan Kediaman Terhad selama dua tahun di atas
kesalahan yang dirancangkan ke atas saya.
Tidak
cukupkah mereka mengambil kenyataan saya selama dua bulan semasa di
dalam tahanan ISA. Polis ini hipokrit. Saya tidak lagi percaya kepada
polis. Jika mereka mahu, mereka tangkap saya dan dakwa saya di mahkamah.
Saya tidak akan memberi keterangan atau kenyataan kepada polis. Saya
mahu rakyat tahu apa yang polis dan pemimpin politik lakukan.
Mutalib:
Bukankah saudara boleh dituduh menghalang tugas polis kerana enggan
memberi kerjasama dan didakwa di bawah Kanun Acara Jenayah?
Hassnar:
Mereka boleh tangkap saya, tetapi saya tetap akan berdiam diri
melainkan mereka menghadapkan saya ke mahkamah. Saya sudah bagi
keterangan di Mahkamah dan mereka boleh gunakan keterangan berkenaan dan
selama ditahan selama dua bulan, mereka telah mencungkil banyak rahsia
daripada saya, tetapi kenapa sampai sekarang masih mahu mengambil
statement? Kenyataan apa lagi?
CABAR....Hassnar mencabar Jabarkhan (dalam bulatan) memberi keterangan di mahkamah dan berhenti bercakap kosong.
Mutalib: Menurut Haji Jabar Khan, kenyataan saudara tidak betul kerana dia menyimpan banyak rahsia yang saudara tidak tahu?
Hassnar:
Dia boleh berkata apa sahaja. Dia boleh buat pelbagai persepsi. Tetapi
pernahkah dia memberi keterangan di mahkamah berhubung isu ini?
Dia
salah seorang anggota sindiket kad pengenalan projek yang ditahan di
bawah ISA kerana terlibat dengan Ops Gembleng yang berorientasikan wang
ringgit. Saya tidak pernah menerima walau satu sen pun daripada PATI
yang diberikan kad pengenalan.
Saya
bekerja untuk parti Berjaya dan bukan mengkayakan diri sendiri. Saya
cabar Jabar Khan memberi keterangan di mahkamah dan buat keterangan
bersumpah. Jika tidak, lebih baik beliau berdiam diri. Namun saya harap
Jabar akan memberitahu siapa yang terlibat dan sejauh manakah
petualangannya. Insaflah. Umur kita bukan panjang.
Mutalib: Bolehkah saudara ceritakan kembali bagaimana saudara terlibat dengan sindiket ini?
Hassnar:
Ketika itu saya dilantik sebagai Ketua Daerah Sandakan dan telah
terlibat secara langsung di dalam proses mengeluarkan kad pengenalan
projek kepada para pendatang asing Indonesia dan Filipina sejak 1976
sehinggalah saya ditangkap di bawah Akta Kediaman Terhad selama dua
tahun pada 1988.
Untuk
makluman saudara, saya terlibat secara langsung dengan penubuhan Parti
Berjaya sejak September 1976 dan ditugaskan untuk memantau pola
pengundian bagi memastikan Berjaya mencapai kemenangan mutlak dan
menumbangkan USNO yang menderhaka kepada Kerajaan Persekutuan.
Ketika
itu pola pengundian berkisarkan kepada 20 kawasan Islam, 20 kawasan
bukan Islam dan 08 kawasan Cina. Kemenangan tipis pada tahun 1976
memberikan pengajaran bahawa Berjaya harus mencari jalan bagaimana mahu
mendapatkan 20 kawasan Kadazandusun.
Hanya
satu jalan yang terbuka iaitu menambah jumlah pengundi Islam dan tidak
ada jalan lain melainkan merekrut pendatang asing atau pendatang asing
tanpa izin (PATI) Filipina yang kebanyakannya bertaraf pelarian dan di
bawah pengawasan Suruhanjaya Tinggi Pelarian Bangsa-Bangsa Bersatu
(UNHCR) dan warga Indonesia yang bekerja di ladang kelapa sawit.
Pada
mulanya saya dilantik sebagai Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) bagi
kawasan Sandakan Bandar, namun Datuk Harris Salleh telah menawarkan
jawatan Ketua Daerah kepada saya. Samun saya keberatan menerima jawatan
tersebut kerana pada hemat saya jawatan itu hanya sesuai untuk orang
tua yang berpengalaman.
Hampir enam bulan jawatan tersebut kosong sejak kematian OKK Sheikh Abdul Aziz kerana saya tidak memberikan reaksi.
Sewaktu
lawatan Datuk Harris Salleh ke Sandakan, dia mengarahkan saya menerima
jawatan tersebut. Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Hassan
Alban Sandukong dan Datuk Stephen Wong. Saya terpaksa menerima jawatan
itu kerana ketika itu tidak ada yang berani berkata 'TIDAK' kepada Datuk
Harris.
Selepas
memegang jawatan berkenaan, saya didatangi oleh Haji Lokman (Bekas
Ketua Daerah). Dia menyerahkan satu fail 'RAHSIA' berhubung projek
memberi kerakyatan Malaysia kepada PATI.
Saya
agak terkejut kerana tidak menyangka perkara sebegini keji boleh
berlaku dan didalangi oleh pemimpin tertinggi parti. Saya kesal kerana
merasakan seolah-olah menjadi tali-barut dan penderhaka kepada negara,
namun saya tidak mempunyai pilihan.
Saya
diminta tandatangani 500 borang kosong HNR 10 atas kapasiti saya
sebagai Ketua Daerah, apatah lagi borang kosong tersebut telah diakui
sah oleh Pegawai Daerah tapi ditandatangani Hassan Alban Sandukong.
Sejak
daripada itu, projek berkenaan berjalan terus dan beratus ribu PATI
mendapat kerakyatan negara ini secara TIDAK SAH dan tidak melalui
sebarang saringan Imigresen sebagaimana yang termaktub dalam
perlembagaan.
IC PROJEK....Beberapa tokoh ternama yang mendapat IC Projek daripada Harris?
Kerajaan
Berjaya pada masa itu telah mempelopori pengeluaran kad pengenalan
projek kepada PATI secara senyap pada tahun 1980 sehingga 1981.
Hasilnya
Berjaya telah menang besar pada pilihanraya 1982. Mereka inilah yang
diwarisi oleh UMNO dan memang diakui agak sukar untuk meminggirkan
mereka daripada arena politik Sabah kerana jumlah mereka yang ramai dan
sanggup melakukan apa sahaja asalkan terus memperolehi perlindungan dan
jaminan keselamatan.
Mutalib: Apakah ada bukti atau tuduhan secara rambang?
Hassnar:
Ada. Bukti banyak dan ada di mana-mana terutama bukti yang bergerak ke
sana ke mari. Izinkan saya jelaskan secara ringkas. Pada tahun 1981,
UNHCR ada memberi peruntukan sejumlah RM5 juta untuk mendirikan rumah
pelarian di Kampung Bahagia, Sandakan; Kampung Kinarut, Papar dan
beberapa lokasi terpilih di seluruh Sabah.
Salah
seorang penerima rumah tersebut ialah Sharif Jul Bin Titing yang lahir
di Jolo, Filipina dan merupakan pelarian 'MORO' yang tiba di Sabah
pada tahun 1972. Beliau menerima rumah tersebut daripada UNHCR. Tetapi
pada hari ini beliau menjadi pengundi berdaftar di DUN Sekong,
mempunyai beberapa permit teksi dan kereta sewa.
Paling menakjubkan beliau telah dilantik menjadi Ketua Anak Negeri Sekong oleh Kerajaan Barisan Nasional.
Jika
Sharif Jul yang lahir di Jolo iaitu tempat Kumpulan Abu Sayyaf
melancarkan perang gerilya boleh mendapat kad pengenalan projek dan
dilantik sebagai Ketua Anak Negeri Sekong dan berkuasa untuk mengesahkan
status Anak Negeri ketika itu, maka tidak hairan jika ramai lagi yang
mendapat kerakyatan secara tidak sah. Bukti lain akan saya ceritakan
kemudian kerana banyak rahsia yang perlu saya beritahu saudara untuk
disampaikan kepada rakyat.
Mutalib:
Jika Berjaya yang mengarah merekrut PATI sebagai pemilih berdaftar
melalui pemberian kerakyatan songsang, kenapa tumbang kepada sebuah
parti kecil?
HASSNAR:
Pada 1985, Berjaya tumbang kepada PBS di dalam pilihanraya dan
kekalahan ini meninggalkan kesan mendalam kepada keterlanjuran Datuk
Harris merestui pengeluaran kad pengenalan projek kepada PATI kerana ada
pihak tertentu telah menyalahgunakan kemudahan tersebut untuk
tumbangkan Berjaya.
Berjaya
tumbang kerana HNR 10 yang tidak mencapai sasaran sehingga rakyat
menuduh Berjaya memberi kerakyatan kepada PATI. Datuk Harris memikirkan
kalau betul-betul Berjaya menaja sindiket kad pengenalan projek mereka
mesti menang, sebaliknya mereka tumbang kepada PBS pada pilihanraya
penentuan tersebut.
Datuk
Harris yakin projek tersebut yang didalangi oleh Kerajaan Persekutuan
bukannya untuk mengekalkan Berjaya di tampuk kuasa, sebaliknya
meramaikan pengundi Melayu untuk menjatuhkan Berjaya kelak dan memantau
pola pilihanraya di Sabah pada masa akan datang dan yang menjadi
sasaran pertama ialah Berjaya, tumbang dek sokongan membawa rebah Kuala
Lumpur.
Mutalib: Selain saudara, siapa lagi yang terlibat dengan sindiket awal berkenaan?
HASSNAR:
Sepanjang ingatan saya, Hassan Alban Sakudong (Datuk). Beliau telah
menandatangani lebih 1,000 borang HNR 10 di antara tahun 1982 hingga
1983.
Mutalib: Apa yang terjadi selepas kejatuhan Berjaya kepada PBS dan apakah saudara terus terlibat atau menarik diri?
HASSNAR:
Selepas kejatuhan Berjaya dan kegagalan rampasan kuasa oleh Tun
Mustapha, Datuk Harris memanggil saya dan Datuk Yahya Lampong ke
rumahnya di Likas. Datuk Harris memberi dua tiket kapal terbang meminta
saya dan Datuk Yahya ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Datuk Megat
Junid Megat Ayub yang ketika itu Timbalan Menteri Dalam Negeri.
BERSUBAHAT.....Datuk Salleh Japaruddin (kanan) turut bersubahat dalam Projek IC.
Pertemuan
pertama diadakan di rumah Datuk Salleh Japaruddin, mantan Timbalan
Ketua Menteri Sarawak (era Tun Abdul Rahman Yaakub).
Kemudian keesokan
harinya saya dan Datuk Yahya ke Pejabat Datuk Megat Junid.
Megat
Junid bersetuju dengan rancangan Datuk Harris untuk meramaikan
pengundi Melayu/Islam di era pemerintahan PBS sebagai rancangan jangka
panjang untuk menumbangkan PBS dan mendaulatkan ketuanan Melayu di
Sabah.
Datuk
Megat Junid mengarahkan Pengarah Pendaftaran Sabah, Haji Sani dan
Pengarah Imigresen Sabah, Dusmi Ibrahim datang berjumpanya di Kuala
Lumpur.
Mutalib: Adakah saudara menghadiri apa-apa mesyuarat khas dan siapa yang terlibat?
HASSNAR:
Januari 1986, saya dan Datuk Yahya menghadiri mesyuarat khas bersama
Dusmi Ibrahim, Mohd. Yaakub (Setiausaha KDN), Tan Sri Ahmad (Pengarah
M6), Tan Sri Alwi Jantan (Suruhanjaya Perkhidmatan Awam), Datuk Halim
Harun (Ketua Pengarah Imigresen Malaysia), Haji Sani Adnan (Pengarah
JPN) dan tiga orang pegawai Polis di-Raja Malaysia yang dipengerusikan
oleh Datuk Megat Junid.
Dalam
mesyuarat tersebut Datuk Megat Junid berkata nasib dan masa hadapan
orang Islam di Sabah berada di hujung tanduk jika mereka tidak berbuat
sesuatu, terutama meramaikan pengundi Islam melalui pemberian kad
pengenalan projek.
Setelah
berbincang panjang lebar, Sani Adnan meminta tangguh kerana memikirkan
kaedah tersebut tidak betul dan membahayakan keselamatan dan
kedaulatan negara, lalu bersurai kami balik ke Kota Kinabalu.
Mutalib: Bermakna projek berkenaan dibatalkan kerana Haji Sani Adnan tidak bersetuju?
HASSNAR:
Tidak. Projek berkenaan diteruskan. Tidak lama selepas mesyuarat
pertama, Datuk Harris minta saya dan Datuk Yahya Lampong ke Kuala Lumpur
sekali lagi berjumpa dengan Datuk Megat Junid untuk mendapatkan
persetujuan meneruskan projek pengeluaran kad pengenalan projek kepada
PATI.
Datuk
Megat Junid bersetuju dengan permintaan Datuk Harris tetapi meminta RM
2 juta sebagai ongkos untuk menjalankan 'PROJEK RAHSIA' tersebut.
Datuk
Yahya terus menelefon Datuk Harris. Datuk Harris minta kami balik dulu
ke Kota kinabalu dan minta Datuk Yahya sampaikan hasratnya untuk
berjumpa Datuk Megat Junid. Saya tidak bercakap dengan Datuk Harris
tetapi Datuk Yahya.
Mutalib: Adakah Datuk Harris dapat berjumpa dengan Datuk Megat Junid dan di mana? Adakah saudara ikut hadir?
HASSNAR:
Datuk Megat Junid setuju jumpa Datuk Harris, tetapi bukan di dalam
negeri dan masanya akan diberitahu kelak. Dua minggu selepas itu Datuk
Megat Junid beritahu saya dia ada di Hotel The Peninsula, Hong Kong dan
bersedia untuk jumpa Datuk Harris. Saya sampaikan berita ini kepada
Datuk Harris yang hanya mengiyakan sahaja. Saya tidak hadir dalam
perjumpaan rahsia empat mata tersebut di Hotel Peninsula Hong Kong.
Mutalib: Bagaimana saudara yakin bahawa Datuk Harris bertemu Datuk Megat Junid secara empat mata?
HASSNAR:
Saya yakin mereka telah berjumpa kerana tidak lama selepas itu, Datuk
Harris meminta saya dan Datuk Yahya jumpa Datuk Megat Junid sekali lagi
di pejabatnya. Datuk Megat Junid menyerahkan 20,000 borang HNR 3
kepada saya untuk disampaikan kepada Datuk Harris.
Mutalib: Apa Datuk Harris buat dengan borang HNR 3 tersebut?
HASSNAR:
Ketika kami sampai di Kota Kinabalu bersama borang HNR 3, sudah ramai
orang menunggu di Pejabat Datuk Harris untuk mengisi borang HNR 3,
termasuk cap jari dan gambar.
Kesemua
20,000 borang HNR 3 habis dibahagikan kepada petugas dan pemimpin
kanan Berjaya. Antara yang menerima borang kosong HNR 3 ialah Ghafur
Salleh, Lajim Yusof, KK Laugan Tarki, Murtaza dan ramai lagi; namun
Ansari Abdullah yang turut hadir enggan menerima borang HNR 3 tersebut.
NEGARAWAN.....Ansari (kiri) berani berkata TIDAK kepada Harris dan tidak pernah terlibat dengan IC Projek.
Mutalib: Maksud saudara Ansari tidak terlibat dalam kerja merekrut warga asing menjadi warganegara songsang?
HASSNAR:
Ya, dia secara jujur mengakui di hadapan Datuk Harris yang dia tidak
mahu terlibat dan meminta maaf kerana tidak sanggup menurut perintah
Datuk Harris.
Hanya dia seorang sahaja yang tidak terlibat dan enggan
terlibat. Dia benar-benar seorang negarawan.
Mutalib: Apa yang terjadi dengan 20,000 borang HNR 3 yang telah diagehkan itu?
HASSNAR:
Tidak lama selepas itu, hanya 11,000 borang HNR 3 dikembalikan kepada
saya dan Datuk Harris meminta saya ke Kuala Lumpur untuk menyerahkan
sendiri borang tersebut kepada Datuk Megat Junid.
Saya
diiringi oleh Inspektor Jamail Ismail berjumpa dengan Datuk Megat
Junid di pejabatnya. Projek 'HARAM' tersebut berjalan terus sehingga
beratus ribu kad pengenalan projek dikeluarkan kepada PATI Indonesia,
Filipina dan Pakistan.
Mutalib:
Macam mana pula saudara boleh tertangkap sedangkan saudara hanya
menjalankan tugas yang telah dipersetujui oleh Datuk Megat Junid dan
Datuk Harris?
HASSNAR:
Haji Sani telefon saya dan beritahu Datuk Megat Junid mahu berjumpa
dengan saya. Saya terus ke Kuala Lumpur dan diberitahu Datuk Megat Junid
berada di rumah Datuk Salleh Japaruddin.
Ketika
tiba di rumah Datuk Salleh, Akhbar Khan menyambut saya dan membawa
saya berjumpa Datuk Megat Junid di dalam rumah tersebut.
Menurut
Datuk Megat Junid, ada perundingan di antara Parti Bersatu Sabah
dengan UMNO dan dalam perundingan tersebut Datuk Pairin Kitingan minta
Dr Mahathir tangkap saya.
Datuk
Megat Junid menasihatkan agar projek tersebut dihentikan buat
sementara waktu. Saya balik ke Kota Kinabalu dan beritahu Datuk Harris
amaran Datuk Megat Junid.
Namun
Datuk Harris kata itu kerja gila. Kalau mahu tangkap kenapa harus
beritahu dan menganggap Datuk Megat Junid hanya mahu mengadakan perang
psikologi dengannya.
Datuk
Harris mengarahkan projek tersebut diteruskan dan jangan pedulikan
amaran tersebut. Tidak kurang daripada 30,000 lagi borang HNR 3 telah
diberi kepada PATI di seluruh Sabah.
Pada
suatu hari, Piting Ali (Allahyarham) menghubungi saya dan mengakui dia
sudah lama terlibat dengan projek tersebut, namun hanya menggunakan
borang HNR 10 sahaja.
Apabila
saya berjumpa dengan Piting saya terkejut kerana rumah Piting sudah
menjadi Pejabat Pendaftaran kerana lengkap dengan borang HNR 1, HNR 3
dan HNR 10. Piting sendiri memberi nama kepada PATI bagi mengelakkan
dikenali atau bertindih dengan sebarang dokumen mereka.
Piting
memberi beberapa borang HNR 1, HNR 3 dan HNR 10 kepada saya untuk
digunakan dengan segera tanpa perlu bersusah payah berjumpa Datuk Megat
Junid atau pegawai pendaftaran. Saya sendiripun tidak tahu bagaimana
Piting boleh memperoleh borang HNR 1 dan HNR 10 sedangkan saya hanya
diberi borang HNR 3 oleh Datuk Megat Junid.
Kata
orang, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga.
Saya ditangkap di Lapangan Terbang Subang bersama borang HNR 1, HNR 3
dan HNR 10 yang diberikan oleh Piting kepada saya.
Inilah
perangkap yang tidak terlihat oleh saya, terutama ketika Piting
menghubungi saya kerana ketika itu saya terlalu memikirkan kesihatan
isteri saya sehingga lupa bahawa segala perlakuan saya selama ini telah
diperhatikan dan menunggu masa ketika saya membuat kesilapan untuk
dicekup oleh mereka yang menjadi dalang sebenar di sebalik projek haram
ini.
Mutalib: Di mana saudara di tahan dan berapa lama dan kenapa saudara dibebaskan tanpa dihantar ke Kamunting?
HASSNAR:
Saya terus di bawa ke Ibu Pejabat Polis di Jalan Bandar dan
kemudiannya dalam keadaan mata tertutup dipindahkan ke suatu tempat
yang saya percaya Kuala Kubu Bahru dan ditahan di sana di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri.
Setelah
dua bulan dalam tahanan, akhirnya saya diberikan dua pilihan sama ada
ditahan selanjutnya atau dibebaskan dengan satu syarat. Seorang pegawai
Polis menulis sesuatu di atas sehelai kertas. Setelah selesai menulis,
pegawai itu mengoyak kertas itu kepada dua bahagian.
Pegawai
itu memberitahu kertas di tangan kirinya adalah kenyataan yang tidak
benar dan kertas di tangan kanannya adalah kenyataan yang benar.
Saya
diberikan satu pilihan untuk memilih satu kertas sahaja dan diberi
amaran bahawa jika saya memilih yang benar akan ditahan, sebaliknya akan
dilepaskan jika memilih yang tidak benar.
Saya
pun memilih kertas yang berada di tangan kirinya iaitu kenyataan yang
tidak benar dengan harapan akan segera dilepaskan tetapi saya tidak
tahu apa isi kandungannya kerana tidak dibenarkan melihat kertas
tersebut.
Semasa
menurunkan tandatangan di kertas tersebut saya tidak dibenarkan
melihat isi kandungannya. Saya dibebaskan dengan satu syarat tambahan
lagi iaitu tidak boleh menghubungi sebarang wartawan atau media.
Saya
ditangkap semula jika membuat sebarang kenyataan akhbar atau bertulis.
Saya kembali ke Sandakan dan terus dikenakan Tahanan Kediaman Terhad
selama dua tahun sehingga 1990.
Mutalib: Kenapa saudara menghubungi saya untuk mendedahkan perkara ini dan kenapa tidak tulis terus kepada pihak yang berwajib?
HASSNAR:
Saya kini insaf menjadi 'hamba abdi' kepada pemimpin politik yang
kononnya memperjuangkan nasib dan masa hadapan bangsa 'Melayu',
sebaliknya menjadi petualang negara, bertopengkan kuasa dan
membelakangkan undang-undang serta perlembagaan negara.
Saya
menghubungi saudara kerana percaya hanya saudara berani menulis isu
penting ini. Semoga pengakuan saya memberikan kesedaran kepada anak jati
Sabah bahawa 'HAK' kita telah dirampas dan kita berada dalam situasi
yang genting kerana kita akan berhadapan dengan dilema kepupusan 'Bangsa
Melayu Jati' kerana ditenggelami spesis Pendatang Asing Tanpa Izin
(PATI).
Mereka
ini telah diberikan kerakyatan secara tidak sah, tetapi 'DIHALALKAN'
oleh undang-undang negara semata-mata untuk memuaskan nafsu para
pemimpin yang tamakkan kuasa politik dan kekayaan untuk diri dan
keluarga.
Kini
kita harus bangkit bersama untuk menentang ketidak adilan dan menebus
maruah bangsa kita yang tergadai sebelum terlambat. Jika semasa saya
ditahan hanya terdapat sekitar 300,000 PATI yang mendapat
kewarganegaraan ini secara tidak sah, namun kini sudah lebih sejuta
orang asing telah diberikan kerakyatan 'MALAYSIA' melalui pintu belakang
dan daripada jumlah tersebut sudah melahirkan lebih dua juta generasi
'TERAPUNG' di negara ini dan akan secara automatik mendapat kerakyatan
negara ini kerana ibu bapa mereka telah mendapat kad pengenalan
Malaysia.
Mutalib: Adakah kini saudara benar-benar insaf. Adakah masih ada harapan untuk rakyat Sabah mengatasi isu ini?
Sebagai
rakyat Malaysia, saya mohon maaf dari hujung kaki sehingga ke hujung
rambut daripada rakyat Sabah khasnya dan rakyat Malaysia amnya kerana
terlanjur menjadi tali barut para pemimpin yang rakus sehingga kita kini
berhadapan dengan situasi yang genting.
Kita
harus menangani isu ini secara bersama demi menyelamatkan maruah
bangsa kita yang selama ini 'DIHINA' dan 'DILANYAK' oleh Kerajaan
Persekutuan yang mengamalkan dasar pecah dan perintah sehingga kita
kini menjadi bangsa minoriti bagi memudahkan mereka terus menjadi tuan
dan kita akan menjadi hamba sampai bila-bila.
Memang
masih belum terlambat kerana kita masih mampu kenalpasti mereka yang
telah mendapat kerakyatan secara tidak sah dan saya berjanji akan
bersama saudara dan NGO lain meneruskan perjuangan murni ini dan saya
bersedia pada bila-bila masa memberikan keterangan di mahkamah untuk
menegakkan kebenaran yang kini semakin dinafikan oleh Kerajaan
Persekutuan.
Mutalib:
Kenapa saudara memohon agar Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr
Mahathir menangkap saudara walaupun saudara telah dibebaskan daripada
ISA?
HASSNAR:
Pada 9 Ogos 1988 saya telah ditangkap di bawah ISA dan seterusnya
merengkok dalam tahanan selama 2 bulan. Setelah dibebaskan saya
dikenakan syarat Perintah Sekatan (Restricted Residence) selama 2 tahun.
Semasa
dalam tahanan dan semasa menjalani hukuman Perintah Sekatan saya ada
berulang kali meminta kepada semua Pegawai Polis yang menangkap dan
menyiasat kes saya supaya mendakwa saya di Mahkamah jika saya ada
melakukan sebarang kesalahan terhadap negara ini. Permohonan, rayuan dan
permintaan saya tidak pernah diambil perhatian sehingga sekarang.
Apabila
Anwar Ibrahim ditangkap, Dr. Mahathir berulang kali berkata negara ini
ada undang-undang dan mereka yang bersalah perlu dihadapkan ke muka
pengadilan.
Sehubungan
itu, saya mencabar Mahathir membuka semula kes penangkapan dan
penahanan saya seterusnya mendakwa saya di Mahkamah atas semua kesalahan
yang dituduh telah saya lakukan terhadap negara ini sehingga saya
ditahan selama 2 bulan dan dikenakan Perintah Sekatan selama 2 tahun.
Mutalib: Adakah Dr Mahathir memberikan respon dan polis tangkap saudara?
HASSNAR:
Tidak. Mereka tidak memberikan sebarang respon sehingga ke hari
ini.Tetapi polis menangkap saya atas tuduhan lain dan bukan IC Projek.
Mutalib: Kenapa saudara tidak menyaman pihak yang telah mempergunakan saudara?
HASSNAR:
Saya telah berbincang dengan beberapa peguam dan panel penasihat saya
untuk membuat tuduhan bahawa Dr Mahathir bersama Dato' Megat Junid
Megat Ayob, bekas Timbalan Menteri dalam Negeri dan Datuk Harris B Mohd
Salleh bekas Ketua Menteri Sabah telah mengkhianati rakyat negara ini
terutama rakyat negeri Sabah dengan memberikan Kad Pengenalan Biru
kepada puluhan ribu rakyat asing dari Filipina dan Indonesia menjadikan
mereka rakyat Malaysia melalui proses yang tidak direstui
undang-undang. Tetapi tidak ada peguam yang berani mengambil kes ini.
Sekarang sudah terlewat kerana Limitation Act.
Mutalib:
Di permulaan wawancara tadi saudara mengatakan bahawa ada personel
lain yang boleh dijadikan bukti PATI yang mendapat KP Projek?
HASSNAR:
Ya. Saya sedia mengatakan isteri Mantan Speaker Dewan Undangan Negeri
Sabah, Hassan Alban Hj Sandukong iaitu Datin Nurfideri Bederi adalah
'PENDATANG HARAM' dari Filipina yang telah diberikan kerakyatan Malaysia
secara haram oleh Kerajaan Barisan Nasional Mahathir.
PATI.....Datin
Nurifideri Bederi bersama Mark Hunter, Juara Pidato Dunia dan
suaminya, Tan Sri Hassan Alban Sandukong. Malang sekali kerana Hassnar
kata Nufirideri adalah 'Datin PATI'.
Saya
harap dakwaan ini dapat disiasat dan tindakan diambil terhadap Datin
'Pendatang Haram' yang saya sebutkan bersama mereka yang telah
bersubahat menandatangani semua borang bagi melayakkannya memegang kad
pengenalan biru.
Mutalib: Dr Mahathir terlibat secara secara personel dalam sindiket ini?
HASSNAR:
Ya. Dr Mahathir terlibat langsung memberi restu kepada Datuk Megat
Junid menjalankan projek haram tersebut dan memberi kuasa penuh kepada
Megat Junid selaku Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Mahathir tidak boleh
nafikan penglibatannya. Tanpa restu dia, projek ini tidak berjalan dan
saya tidak merengkok dalam tahanan ISA selama 2 bulan dan kediaman
terhad selama 2 tahun.
PETUALANG.....Mahathir
dan Megat Junid (kiri) adalah pengkhianat kepada negara. Memandangkan
Megat Junid sudah meninggal dunia, maka Hassnar mencadangkan agar
Mahathir dihukum mati!
Saya
cabar Mahathir tangkap saya dan hadapkan saya ke Mahkamah ketika dia
berkuasa. Jika kerajaan sekarang mahukan bukti yang jelas dan selesaikan
isu ini Mahathirlah yang perlu menjawab semua ini.
Kenapa
dia harus dilindungi? Pengkhianatan yang dia buat kepada negara
terlalu besar iaitu 'MENDERHAKA' kepada 'YANG DIPERTUAN AGONG' dan
hukuman yang setimpal adalah 'HUKUMAN MATI' mandatori!
Mutalib: Apakah kesan paling ketara akibat warga asing songsang ini?
HASSNAR:
Kehadiran mereka bukan untuk menambah bilangan umat Islam di Sabah
tetapi dijadikan alat oleh ahli politik dari Semenanjung memecah
belahkan rakyat negeri ini supaya memberi kemenangan kepada calon
daripada parti yang sanggup menjadi 'kerbau dicucuk hidung' kepada
pemimpin Kuala Lumpur untuk berkuasa di Sabah. Apabila rakyat Sabah
berpecah maka semua hasil daripada negeri Sabah boleh dengan mudah
menjadi milik orang luar dari Sabah.
Mutalib:
Jika tidak silap saya saudara turut terlibat di dalam Rusuhan 1986
kerana saya lihat saudara dibawa dengan Black Maria daripada masjid
Negeri. Sejauh mana penglibatan saudara dalam rusuhan tersebut?
HASSNAR:
Semua pemimpin USNO dan Berjaya terlibat dalam Rusuhan 1986 kerana
mendapat maklumat yang salah dan terhasut oleh sentimen keagamaan yang
direka-reka oleh Tun Mustapha, Harris, Karim Ghani dan kuncu-kuncu
mereka.
Saya
juga tidak terkecuali, turut terpengaruh dengan hasutan pemimpin yang
mengaku Islam tetapi menabur fitnah kepada PBS dan mencetuskan
seolah-olah Kerajaan PBS Anti-Islam dan benar-benar menghina Islam
sehingga mereka menghalalkan cara termasuk mengerah PATI dan Pelarian
Perang di seluruh Sabah untuk memberontak dan mengatur beberapa siri
rusuhan yang meletus di seluruh Sabah.
Saya
dimasukkan ke Black Maria kerana saya mencabar polis menggari saya
kerana menghalang saya masuk dan keluar Masjid Negeri Sabah untuk
bersembahyang.
Mujur
rusuhan yang ditaja oleh Tun Mustapah-Harris tidak menjadi kenyataan
kerana keadaan masih terkawal walaupun beberapa orang meninggal dunia
dan insiden letupan bom dan rusuhan terus berlaku.
Mutalib:Apakah insiden yang tidak dapat saudara lupakan dalam Rusuhan 1986?
HASSNAR:
Gerakan haram untuk mencetuskan rusuhan tidak mencapai kejayaan kerana
beberapa halangan sehingga desakan agar Kerajaan Persekutuan
mengistiharkan Darurat seperti Peristiwa 13 Mei 1969 tidak kecapaian,
walaupun perintah berkurung dikuatkuasakan beberapa hari.
BUNUH.....Maulana Babjee (kiri) telah mengarahkan Hassnar melakukan pembunuhan?
Saya
terkejut ketika Pesuruhjaya Polis Sabah, Maulana Babjee memanggil saya
dan mengarahkan saya membunuh beberapa orang Kadazan dan Cina untuk
mencetuskan rusuhan kaum. Saya tergamam!
Saya
katakan saya tidak bersenjata kerana senjata saya telah dirampas polis
dalam beberapa pertikaian kerana mempertahankan tanah saya.
Namun
Maulana memulangkan senjata saya dan mengarahkan saya melakukan
pembunuhan (nama mereka yang disuruh bunuh terpaksa dirahsiakan) demi
membolehkan tercetusnya rusuhan kaum dan memaksa kerajaaan
mengistiharkan 'MAGERAN' dan sekaligus menafikan peluang PBS memerintah.
Saya
bukanlah pembunuh dan saya tidak tahu mahu berkata apa lagi jika
Pesuruhjaya Polis Sabah yang diamanahkan untuk menjaga keamanan menyuruh
saya membunuh rakyat yang tidak berdosa dan kemungkinan saya akan
dibunuh selepas itu untuk menghapuskan bukti.
Mujur
saya mempunyai kekuatan untuk membantah arahan polis, namun saya masih
trauma sehingga hari ini dan tidak lagi mempercayai polis.
Mutalib: Sebagai warganegara Malaysia, apakah saudara puas hati dengan layanan yang diberikan oleh pihak polis?
HASSNAR:
Saya amat sedih dengan kegelinciran maruah polis yang diperkudakan
oleh pemimpin negara seperti Mahathir dan Megat Junid. Walaupun
mahkamah belum menjatuhkan hukuman ke atas saya, tetapi polis telah
melabelkan saya sebagai penjenayah. Selepas ditahan saya sekeluarga
menderita. Sebaliknya penjenayah yang sebenar dapat hidup mewah dan
berkuasa dengan angkuh dan sombong. Kini saki baki Polis yang menjadi
rejim Mahathir-Megat masih berkuasa.
Justeru,
jika benar negara ini ada undang-undang, saya menuntut supaya semua
tuduhan ke atas saya dapat dibawa ke mahkamah untuk diadili.Jika tidak
maka saya akan menganggap Mahathir dan Megat Junid sengaja
menyalahgunakan ISA menangkap saya untuk menutup pengkhianatan mereka
berdua terhadap rakyat Sabah.
Mutalib:
Nampak sangat bahawa saudara amat membenci pihak polis sehingga saya
dimaklumkan bahawa saudara sahaja yang berani menentang mereka dan
apakah dendam kesumat sehingga saudara bertindak sedemikian?
GARI.....Apakah
kerana digari dan dimalukan makan Hassnar berdendam dengan polis?
Hassnar digari kerana kerana dituduh menghasut penduduk BDC membuat
laporan polis setelah rumah mereka diroboh PDRM atas arahan Chong Kah
Kiat?
HASSNAR:
Hanya mereka yang hilang akal sahaja menyukai polis. Saya tidak
mempunyai dendam terhadap mereka dan bukan sikap saya untuk berdendam
kepada sesiapa sahaja, tetapi polis sering menyalahgunakan kuasa
sehingga menyebabkan kerugian kepada orang ramai.
Dalam
kejadian pada 19 Ogos 2006, seorang pegawai Polis bernama Inspektor
Sharil Bin Abd Rahman, yang bertugas di Balai Polis Sandakan, Sabah
bukan sahaja tidak membenarkan laporan polis dibuat mengenai salahlaku
beberapa anggota polis yang bertugas di Batu 32, Jalan Telupid,
Sandakan.
Bahkan
tanpa sebab munasabah menahan dua pekerja Indonesia, memiliki dokumen
sah dan dijamin oleh Syarikat Ladang Zaharah Maju Sdn.Bhd.
Laporan
Polis cuba dibuat terhadap anggota Polis berkenaan tetapi, lebih
dashyat lagi, Inspektor Polis berkenaan dengan biadap telah mengoyakkan
laporan polis yang telah disedia lebih awal oleh seorang pengadu.
Bukankah
membuat laporan kepada polis tentang berlakunya jenayah adalah hak
setiap rakyat Malaysia terkandung dalam Perlembagaan kita?
Individu
atau kumpulan yang dinafikan haknya dan polis yang melakukan jenayah
dilindungi pihak atasan yang berkepentingan dan nyata sekali usaha
Suruhanjaya Penambahbaikkan Perjalanan dan Pentadbiran Polis tidak
berkesan membawa perubahan dalam pentadbiran pasukan PDRM.
Mutalib:
Pada pandangan saudara apakah punca polis bermaharaja lela dan kata
orang di mana ada polis di situ ada jenayah dan penjenayah?
HASSNAR:
Keadaan seperti ini berpunca daripada sikap masyarakat kita yang
memandang remeh segala kelakuan sumbang anggota PDRM sehingga akhirnya
lahir anggota Polis tidak bertanggungjawab terus bermaharaja lela
melakukan sesuka hati perkara yang tidak wajar dilakukan dan menyalahi
undang-undang. Situasi sebegini wajar diambil perhatian serius sebelum
keadaan menjadi parah.
Lebih
penting rakyat Malaysia wajib mengambil langkah positif mempastikan
para pegawai atasan polis berhenti membohongi rakyat Malaysia.
Anggota
Polis dibayar gaji untuk menjalankan tugas menjaga keamanan. Gaji yang
mereka bawa pulang untuk mengisi perut ibu bapa atau anak isteri
mereka datang dari cukai yang kita bayar.
Menjaga keamanan bukan
bermaksud mereka diberi kuasa penuh sesuka hati boleh gari, tutup mata
seterusnya belasah orang tahanan dalam lokap seperti mana pernah
dilakukan oleh Ketua No. 1 mereka. Jauh sekali mereka bukan dibayar
gaji menjadi 'Tuan Besar' untuk memperbodohkan kita dengan retorik yang
beragenda merahsiakan jenayah oleh anggota polis.
Kalau
Polis lakukan kesalahan menjadi tanggungjawab kita bersuara menyatakan
dengan jelas dan terang kesalahan mereka? Berdiam diri membawa mesej
kita bersetuju dengan perangai buruk mereka. Kelak kita sendiri rugi.
Era
rakyat Malaysia menerima saja segala penjelasan Polis mengenai apa jua
perkara sebagai benar sudah berlalu.Lantas segala pembohongan dan
sandiwara atau tindakan man-mana anggota PDRM yang tidak berasaskan
prinsip keadilan seperti yang anda warisi dan lakukan wajar
diberhentikan.
Dalam
hal ini, saya pernah heret Anuar Basah Sohor, bekas Ketua Polis Daerah
Sandakan, ke Mahkamah kerana menyalahgunakan kuasanya dan cuba
merampas hak milik beberapa keping tanah milik tanah saya. Setelah
perbicaraan dijalankan baru diketahui Mashud B Awang Hamid adalah
dalang sebenar di sebalik masalah yang saya hadapi.
Sebagai
Timbalan Ketua Polis Daerah dia (Mashud B Awang Hamid) guna nama
ketuanya, Anuar Basah Sohor, arahkan beberapa anggota Polis dari Daerah
Sandakan pergi ke Ladang saya, terletak dalam daerah Polis Beluran,
untuk mengusir keluar beberapa pekerja saya yang saya tempatkan di
beberapa keping tanah bergeran dan berdaftar.
Seluruh
kawasan tanah terbabit kemudian telah diserahkannya kepada beberapa
Taukey berbangsa Tiong Hua. Sebelumnya para Taukeh berkenaan telah cuba
rampas hak milik tanah yang sama menggunakan surat kuasa (P.A) palsu.
Setelah
gagal menyalahguna proses Mahkamah kerana kegiatan mereka gunakan
dokumen palsu dan ikrar palsu telah juga diadu kepada Polis tetapi tidak
ada tindakan diambil sehingga sekarang, para penjenayah berkenaan
telah dihubungi dan dapatkan bantuan daripada Mashud B Awang Hamid!
(kini telah bersara).
Akibat
pengkhianatan pegawai polis seperti Mashud B Awang Hamidlah kini
ribuan rakyat Bumiputra Sabah mengalami kerugian, hidup melarat menjadi
pelarian di negeri sendiri kerana ramai mereka kehilangan tanah
melalui jalan tipuan yang didalangi polis.
Majoriti
rakyat Sabah sekarang menyedari sebilangan besar anggota PDRM di Sabah
adalah tidak profesional, berkualiti rendah dan tidak ada etika kerja.
Justeru itu janganlah anggap segala tindakan mereka akan diterima
bulat-bulat diterima tanpa soal.
Mutalib:
Akhir sekali jika tidak keberatan bolehkah saudara cadangkan kaedah
atau cara terbaik bagi mengatasi isu kerakyatan songsang ini?
HASSNAR:
Saya menyeru agar syor daripada pemimpin Sabah di semua peringkat agar
ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) untuk menyiasat pemberian
kad pengenalan biru dan kini Mykad kepada pendatang asing dapat
diwujudkan. Biarlah Suruhanjaya Penyiasat menentukan sama ada Mahathir,
Megat Junid atau Harris Salleh benar-benar 'WIRA NEGARA' atau seorang
'PENGKHIANAT DURJANA' yang menjadi petualang negara yang wajar ditangkap
dan disiasat terlebih dahulu.
Jika
mereka dihadapkan ke Mahkamah, semuanya akan terbongkar. Apakah kita
menunggu mereka sehingga mati dahulu baru kita buka kertas siasatan?
Mutalib: Ada apa-apa lagi yang ingin saudara sampaikan?
HASSNAR:
Saya merayu agar Jawatankuasa Pilihan Integriti Parlimen bersikap
telus, jujur dan tulus memanggil semua tahanan ISA yang terlibat dengan
Sindiket Kad Pengenalan Projek sebelum terlambat.
Saya amat kesal
kerana mereka ini menjadi mangsa konspirasi politik dan hampir semua
wakil rakyat yang ada sekarang 'TERPAKSA' memelihara 'PATI' yang
mendapat kad pengenalan projek demi survival politik mereka.
Mudah-mudahan
kerajaan dapat menyelesaikan kemelut ini sebelum 'DITOLAK RAKYAT'.
Pilihanraya hanyalah cara, tetapi balasan tuhan tidak dapat dielak!
(PERINGATAN:
Semua kenyataan yang disampaikan Hassnar Ebrahim dalam wawancara khas
ini adalah pendapat beliau secara peribadi berdasarkan pengalaman dan
pemerhatian beliau. Apa yang dinyatakan tidak semestinya mencerminkan
pendirian ataupun pendapat Sabahkini.net.
Kenyataan beramaran beliau ini
boleh dibaca di dalam buku '007-Lelaki Malaysia Terakhir?' yang boleh
dipesan terus daripada Sabahkini.net.)
sumber: Sabahkini
|
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.