AL QURAN : Surah Hud Ayat 113 - BERMAKSUD : "Dan janganlah kamu cenderung kepada orang yang berlaku zalim yang akan menyebabkan kamu dibakar api neraka, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun selain daripada ALLAH SWT. Kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan"
Followers
Friday, February 17, 2012
Surat terbuka Nurul Izzah kepada Raja Nong Chik
YM Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Kementerian Wilayah Persekutuan Dan Kesejahteraan Bandar Aras G-7, Blok 2, Menara Seri Wilayah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan 62100 Putrajaya
15 Februari 2012
Skim
Pembiayaan Khas Penjualan Program Perumahan Rakyat (PPR) Majlis
Tindakan Ekonomi Negara dan Perumahan Awam DBKL (PA DBKL): Menentukan
kaedah pembiayaian terbaik untuk pembeli
Pertama,
Pakatan Rakyat ingin menyatakan sokongan penuh terhadap usaha murni skim
pembelian rumah mampu milik untuk rakyat berpendapatan rendah, selagi
pelaksanaan dibuat secara teratur. Ini jelas dinyatakan di dalam
kenyataan akhbar rasmi dan memorandum Pakatan Rakyat kepada Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Tidak timbul persoalan bahawa kami tidak
menyokong skim ini.
Kedua,
isu dasar bukanlah seperti tuduhan tidak berasas Menteri Wilayah
Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (gambar kiri) yang mendakwa Pakatan
Rakyat tidak yakin dengan kebolehan bakal peminjam untuk membuat
bayaran - tetapi isu dasar adalah mengenai sumber dana untuk skim ini
yang akan datang dari KWSP. Kenyataan Menteri mengenai peranan KWSP
juga telah menyebabkan timbulnya reaksi meminta penjelasan sepenuhnya
bukan sahaja dari Pakatan Rakyat malah dari rakyat, ahli lembaga KWSP,
MTUC dan CUEPACS kerana ia melibatkan tabungan simpanan hari tua
pekerja; sedangkan sudah ada sumber dana lain yang dapat memberi manfaat
kepada semua pihak terutamanya bakal pemilik sendiri.
Maka,
Pakatan Rakyat telah meminta dan telah hadir di dalam satu taklimat
bersama KWSP di mana beberapa maklumat penting telah didedahkan: i) tawaran KWSP masih belum diluluskan dan perjanjian belum dimeterai; ii) pinjaman adalah terus kepada kerajaan dan bukan peminjam; iii) sebuah institusi kewangan akan diminta menguruskan pentadbiran kredit; iv) hanya RM300 juta akan diberi untuk tahun pertama dan bukan RM1.5 bilion seperti yang dicanang Menteri.
Ketiga,
soal kadar faedah atau kadar keuntungan yang akan dikenakan ke atas
pinjaman seperti yang diumumkan Dato Mohd Amin Nordin, Timbalan Ketua
Pengarah DBKL (pada 31 Jan 2012) adalah 6.5%, di mana 1% adalah untuk
kos perkhidmatan dan 5.5% kepada KWSP. Pakatan Rakyat berpendapat kadar
faedah 6.5% terlalu tinggi; kenapa kadar yang lebih rendah, seperti 2%
yang dikenakan kepada pinjaman mudah (soft loan) RM250 juta projek
National Feedlot Center (NFC) melibatkan suami dan keluarga salah
seorang Menteri dalam kabinet Kerajaan Pusat tidak digunakan?
Kerajaan
sepatutnya tidak membezakan di antara kadar faedah pinjaman untuk
golongan kaya dengan golongan berpendapatan rendah. Pada kadar 6.5%
selama 25 tahun, harga rumah asal RM35,000 mencecah RM70,800, iaitu dua
kali ganda harga rumah asal.
Sekirannya kadar 2% digunakan, sama
seperti yang diberi oleh kerajaan BN kepada projek NFC, peminjam
akhirnya hanya membayar sebanyak RM44,400.
Pemberian kadar faedah
yang hanya memihak kepada golongan atasan juga dilihat di dalam projek
Lebuhraya Pantai Barat bernilai RM7 billion, di mana pinjaman mudah (soft loan)
RM2.24 bilion diberikan oleh kerajaan pusat kepada Kumpulan Europlus
pada kadar faedah 4%, termasuk subsidi 3% ke atas pinjaman komersil
kumpulan tersebut.
Di mana letaknya pertimbangan untuk membantu golongan berpendapatan rendah secara adil dan saksama?
Keempat,
Pakatan Rakyat mencadangkan demi membela penduduk PPR-PA dan menjadikan
pemilikan rumah sebagai sumber penjana ekonomi rakyat, satu konsep
mudah milik patut dilaksanakan iaitu konsep "Sewa Hingga Milik - Tanpa
Faedah" (SHM - TF). Sebagai contoh harga rumah RM35,000 dengan masa
bayaran melalui sewa selama 25 tahun akan menjadikan bayaran bulanan
hanya sekitar RM117 tidak termasuk kos penyelenggaraan bangunan.
Pendekatan ini bertepatan dengan konsep merakyatkan ekonomi kerana rumah
PPR-PA DBKL sudahpun siap dibina serta diduduki manakala kos
pembinaannya sudah diambil kira. Kerajaan juga tidak perlu meminjam
daripada KWSP atau institusi kewangan lain. Konsep ini akan juga
mengurangkan kos pentadbiran kerana sistem kutipan sewa sedia ada sudah
mencukupi. Ini adalah konsep "semua menang - rakyat senang".
Kelima,
untuk memenuhi aspirasi dan membela rakyat berpendapatan rendah, skim
memiliki rumah PPR-PA ini juga mestilah diperluaskan kepada semua rakyat
di seluruh negara kerana rakyat berpendapatan rendah bukan semuanya
tinggal di Kuala Lumpur. Skim ini mesti memberi peluang kepada semua
penyewa tidak kira status ekonomi atau bangsa untuk memiliki rumah yang
dapat memberi jaminan tempat tinggal serta menjadi asas membangunkan
harta keluarga dengan mudah dan telus.
Keenam, untuk
memperkayakan lagi proses demokrasi "mengutamakan rakyat", dicadangkan
penduduk PPR-PA diberi peluang melalui satu referendum memilih di antara
tiga cadangan: i) cadangan Kerajaan untuk skim pinjaman tajaan KWSP pada kadar faedah 6.5%; ii) cadangan untuk skim pinjaman mudah (soft loan) pada kadar faedah ala-‘NFC’ sebanyak 2%; atau iii) skim Sewa Hingga Milik - Tanpa Faedah.
Pilihan
(ii) dan (iii) boleh ditawarkan kerana Menteri telah mengeluarkan
kenyataan bahawa Kerajaan memiliki dana mencukupi walaupun keputusan
yang beliau ambil adalah untuk menggunakan dana KWSP.
Oleh
demikian, Pakatan Rakyat menerima cabaran berdebat yang dikeluarkan
Menteri di mana tajuknya hendaklah "Apakah kaedah pembiayaian terbaik
untuk Skim Pembiayaian Khas Program PPR-PA?". Debat ini juga mesti
disiar langsung di kaca televisyen seperti mana debat di antara Ketua
Menteri Pulau Pinang dan Presiden MCA akan disiarkan dalam saluran Astro.
Ini barulah demokrasi yang berdasarkan keperluan rakyat untuk mendapat
informasi telus dan tepat untuk membuat pilihan yang adil.
*Surat
terbuka oleh Nurul Izzah Anwar (gambar kanan) selaku ahli parlimen
Lembah Pantai kepada Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin selaku Menteri
Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.