Followers

Sunday, December 18, 2011

JANGAN JUAL KULIM: JIKA TERUS DIJUAL, IBARAT “TRAGEDI BATU PUTIH No 2″ BAGI JOHOR DAN MALAYSIA!

 
Assalamualaikum, dan Salam Mesra kepada semua pembaca, Rancangan JCorp menjual Kulim yang dihebahkan baru-baru ini, kononya untuk membayar balik hutang JCorp berjumlah RM3.6 bilion pada Julai, 2012, adalah alasan yang akan sangat merugikan rakyat Johor khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya, terutama dari kalangan bangsa Melayu. 

Kerana Kulim memiliki tanah ladang yang luas (38,000 hektar di Malaysia dan secara tidak langsung, lebih 100,000 hektar di Papua New Guinea), satu keluasan yang jauh lebih besar daripada pulau Singapura! Ia satu tragedi yang berlipat ganda implikasinya kepada masa depan bangsa dan negara berbanding dengan terlepasnya Pulau Batu Putih. 

Kerana tanah seluas ini, yang melibatkan lebih 38,000 hektar terletak di tengah-tengah negeri Johor dan bumi Semenanjung Malaysia, sangat tinggi sumbangan hasil ekonominya, dan jelas berlipat ganda nilainya berbanding dengan beberpa ketul batu di pinggir sempadan! Sebelum ini pun, (pada Disember, 2010), saya telah bangkit menentang cadangan Kulim menjual saham QSR (dan KFC) milik Kulim. 

Alhamdulillah, berkat sokongan kuat rakyat dan NGO Malaysia, cadangan ini telah dibatalkan. Malangnya, mungkin setelah kemarahan masyarakat sejuk dan reda kembali, ia timbul semula. Kali ini menerusi cadangan penjualan Kulim pula - iaitu syarikat induk KFC yang dimiliki JCorp. Kenapa JCorp? 

Mungkin kerana penjualan syarikat milik JCorp boleh dilakukan dengan lebih mudah. Tidak seperti QSR, iaitu sebuah syarikat tersenarai, JCorp adalah badan milik Kerajaan Johor yang tidak tertakluk kepada semua proses dan peraturan pengambilalihan syarikat tersenarai. Mungkin ini sebab utama kali ini mereka memilih pendekatan lebih mudah, iaitu menjual saham milik langsung JCorp! 

Mudah-mudahan cadangan dan perancangan ini kekal menjadi perancangan dan cadangan atas kertas dan di meja persidangan Lembaga Pengarah JCorp sahaja, dan tidak diteruskan. Sekiranya diteruskan, ia jelas tidak masuk akal kerana penjualan Kulim tidak langsung mempunyai kewajaran rasional dan pertimbangan strategi bisnes. 

Kalau ia diteruskan, tindakan ini seolah-olah JCorp bertindak ”menjual kelambu” kerana “tak pandai membunuh se-ekor nyamuk!”. Ia jelas satu tindakan tidak berfikiran panjang dan kurang bijak lagi tidak berhikmah, kerana Kulim juga memiliki aset bernilai tinggi dan bisnes strategik negara, seperti berikut:- 

1. Rangkaian bisnes KFC dan Pizza Hut di Malaysia, Singapura, Brunei (tidak termasuk Pizza Hut), Cambodia dan India (Negeri Maharashtra, termasuk di Mumbai). Rangkaian bisnes ini sangat strategik - bernilai berbilion ringgit dan berpotensi berkembang pesat, menambah nilai dan menyediakan peluang kerja kepada anak bangsa. Ia juga satu-satu bisnes yang sangat lengkap dan mempunyai rantaian nilai - “value chain” - yang menyeluruh yang payah ditandingi. 

Sejak Kulim berjaya mengambil alih KFC Holdings dan QSR Brands Bhd, KFC Malaysia memenangi Anugerah Harimau “Tiger award” sebagai rangkaian restoran terbaik di Asia, mengalahkan semua negara Asia lain buat dua kali berturut-turut, iaitu pada 2007 dan 2008. KFC Amerika Syarikat yang memberi pengiktirafan ini, langsung begitu yakin terhadap KFC Malaysia dan menawarkannya hak francais di Kemboja dan Mumbai India. 

Dengan menjual Kulim, KFC dan Pizza Hut akan terlepas langsung dari tangan JCorp - satu tragedi lebih buruk daripada peristiwa “Batu Putih”, kerana kehilangan peluang bisnes paling strategik, sekaligus bersama dengan 38,000 hektar tanah ladang sawit yang kedua-duanya tidak akan dapat diganti buat selama-lamanya! 

2. Pelaburan dalam syarikat sekutu, New Britain Palm Oil Ltd, satu-satunya syarikat milik Malaysia yang tersenarai di London Stock Exchange. New Britain Palm Oils Ltd adalah pemilik ladang dan bisnes minyak sawit terbesar di wilayah kepulauan Pasifik, iaitu di Papua New Guinea dan Kepulauan Solomons. Juga bisnes bernilai berbilion ringgit. 

Dalam perancangan JCorp sebelum ini, salah satu cara menyelaesaikan isu hutang RM3.6 bilion ialah, kalau terpaksa, dengan menjual saham milik Kulim dalam New Britain Palm Oils Ltd., dan langkah untuk berunding dengan pihak Bank-bank terbabit serta pihak yang berminat membelinya telah pun dimulakan. Namun cadangan ini ditolak ketepi oleh JCorp sekarang ini, mungkin kerana ada tujuan, niat dan pertimbangan ’strategi’ lain. 

Pada saya, langkah menjual Kulim atau sebahagian sahamnya yang akan mengakibatkan kehilangan kawalan (loss of control) adalah satu langkah yang tidak bijak, tidak berstrategik, tidak berhikmah dan amat merugikan. Yang paling rugi ialah generasi masa depan bangsa - dan generasi masa kini yang melakukan semua ini akan dituduh satu hari nanti sebagai telah mengkhianatai hak dan warisan harta anak-cucu generasi mendatang! 3. 

Kulim memiliki majoriti saham dalam satu lagi syaraikat tersenarai di Malaysia, iaitu Sindora Berhad Syarikat Sindora juga sangat strategik peranannya dalam membina barisan usahawan muda Malaysia untuk menjadi usahawan terulung negara. Proses ini memerlukan masa yang panjang, sokongan sumber modal dan jaringan bisnes kukuh serta dokongan kekuatan korporat (seperti yang ada pada sindora, Kulim dan JCorp). 

Dengan adanya gandingan ini, syarikat PKS (atau SME), milik negara dapat bersatu tenaga untuk membesar sehingga ke pasaran antarabangsa. Dengan cara ini juga, (iaitu satu pendekatan berinstitusi (an institutional approach to entrepreneur development), syarikat SME Malaysia berpotensi dikembangkan dan dibesarkan untuk disenarai, dan membina potensi sehingga menjadi MNC sekalipun satu hari nanti. 

Sindora telah pun mengambil langkah positif dalam hal ini. Buktinya dapat dilihat dalam contoh/kes syarikat E.A Technique Sdn Bhd, syarikat perkapalan yang dimiliki dan diterajui entrepreneur Dato’ Ir Abdul Hak Mohad Amin. 

Demikian juga beberapa syarikat lain yang dilabel sebagai syarikat Intrapreneur JCorp, yang keseluruhan nilai jualan tahunannya melebihi RM600 juta setahun dewasa ini. 

Dengan terlepasnya Kulim dari menjadi ahli Kumpulan JCorp, peluang dan kesempatan yang ada untuk membimbing dan memupuk syarikat SME Malaysia membina usaha, menambah nilai ekonomi dan menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara akan langsung tergendala dan terbantut. 

Sekali gus ia akan mematahkan semangat usahawan terbabit dan memusnahkan usaha 30 tahun membina JCorp dan Kulim sebagai institusi pembangunan ekonomi yang sangat strategik peranannya dalam menjayakan matlamat Kerajaan mengseimbangkan kedudukan ekonomi dalam negara. 

JUSTERU, PADA SAYA, SESUNGGUHNYA CADANGAN MENJUAL KULIM TIDAK MASUK AKAL! MUDAH-MUDAHAN PERANCANGAN DAN CADANGAN YANG DIUTARAKAN OLEH PIHAK BERKENAAN, KHASNYA LEMBAGA PENGARAH JCORP, TIDAK MENJADI KENYATAAN DAN TIDAK DILANGSUNGKAN UNTUK KEPENTINGAN BESAR BANGSA, AGAMA DAN NEGARA! 

Salam Jihad, Muhammad Ali Hashim, Isnin, 14 Mac, 2011.



kiriman: Onn Abu Bakar/18 Dis. 2011

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.